"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Wednesday, July 27, 2011

Tazkirah buat ustaz

Saya ada membaca satu tulisan Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang bertajuk “Dr Lo’ Lo’ sekadar yang saya kenali”. Di antara isi tulisan beliau ialah teguran Dr lo’Lo’ kepada para ustaz yang mendapat habuan selepas menyampaikan ceramah atau tazkirah agama. Beliau memetik kata-kata nasihat Dr Lo’ Lo’ yang berbunyi:

“Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.

Kata-kata nasihat yang keluar daripada mulut daiyah ini diakui kebenarannya oleh Dr Asri yang di ungkapkan sebagai “ penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau ‘pendakwah’. Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah”.

Dalam entri ini saya mahu kongsi dengan pembaca akan situasi para pendakwah atau yang memakai gelaran ustaz di Sabah, khususnya di bahagian pedalaman.

Berdakwah di Sabah ini cukup seronok dan menarik. Bumi Sabah amat subur untuk medan dakwah.

Mengikut pemerhatian dan pengalaman saya sendiri di Sabah walaupun baru memasuki tahun ke dua belas, saya dapati bahawa penyakit “ustaz sampul” boleh dikatakan tidak ada di kalangan ustaz di sini.

Alhamdulillah, kami diberi kemudahan untuk meyampaikan ceramah tanpa apa-apa sekatan. Nak berkhutbah pun dialu-alukan. Hampir semua bahagian di Sabah menggunakan khidmat ustaz untuk menjadi imam dan khatib jumaat. Mereka kebanyakannya terdiri daripada ustaz-ustaz dari semenanjung yang berkhidmat di Sabah.

Di Sabah, para ustaz di address sebagai “Yang Mulia”, satu penghormatan masyarakat Sabah buat para asatizah. Kami bersyukur kerana dapat buat kerja agama ini tanpa sampul yang diberi ketika salam bersimpul. Sebenarnya kerja agama ini memerlukan kita menghabiskan wang dan tenaga, bukan mendapat imbuhan ataupun nama. Firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.(surah saff:10-11)

Teringat saya dakwah nabi SAW bersama anak angkatnya di Kota Thaif. Di sana baginda bukan setakat tak dapat sampul surat, malah di lontar dengan kata-kata kesat, ditambah lagi dengan balingan batu-batu dan najis binatang. Nak banding dengan pendakwah zaman sekarang, maka jawabnya amat jauh bagai bumi dengan bulan.

Menerima habuan bukanlah salah, tapi kena ingat bahawa itu bukan matlamat kita nombor wahid. Kami berdoa agar Allah SWT tetapkan hati dan iman kami agar dapat membuat amal islami dengan jiwa yang tulus lagi murni. Kepada rakan seperjuangan , ingatlah hadis nabi SAW yang berbunyi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah; Sabda Rasulullah S.A.W.: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat."


3 comments:

shahirah said...[Balas]

yup...
Sabah bumi yg amat sbur utk medan dakwah~

Anonymous said...[Balas]

teruskan berdakwah.. bumi ini perlukan pendakwah seperti ust

abu mahdi said...[Balas]

Allahu Akbar!!!
mustafidh jiddan..

Post a Comment