"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Showing posts with label Quran-Hadis. Show all posts
Showing posts with label Quran-Hadis. Show all posts

Thursday, July 2, 2015

Tazkirah Ramadan 1436 – Malam 15: Tadabbur surah al-isra’ ayat 26



Disampaikan oleh: al-ustaz Badrul Hisyam Sulaiman
Tempat: Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu

وَآَتِ ذَا الْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا
Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang terdekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu membazir. (al-isra’:26)

Sebenarnya antara pahala yang banyak ialah bersedeqah. Dan orang yang paling utama untuk kita beri sedeqah ialah kepada kaum kerabat. Ada kes berlaku di Kubang Kerian. Seorang lelaki yang meminta sedeqah di tengah-tengah jalan melalui pintu-pintu kereta orang yang lalu lalang. Di Jalan Kuala Krai pun ada juga, dekat dengan Restoren Horizon. Mereka meminta sedeqah daripada orang yang yang berhenti dalam kereta di lampu isyarat.

Kita terfikir dalam hati jika betul orang ini miskin dan memerlukan bantuan, takkan tak ada kaum kerabat dia. Ataupun takkanlah semua kaum kerabat dia miskin macam dia. Sedeqah yang paling utama ialah kepada kaum kerabat dahulu. Orang yang mempunyai pertalian darah dengan kita kemudian barulah orang miskin dan orang yang bermusafir.

Ada satu kisah dalam Sohih Bukhari dan Muslim. Seorang sahabat yang bernama Abu Talhah. Beliau seorang yang kaya memiliki harta dan kebun kurma, antaranya yang terletak betul-betul berhadapan dengan masjid nabi. Kebun itu bernama “Bairuha’”. Apabila turunnya ayat :
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ
Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sehahagian harta yang kamu cintai. (Ali-Imran:92)

Maka beliau menemui nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  dan berkata : “Allah telah berfirman dalam kitab-Nya yang bermaksud:

“Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. ” (Ali Imran: 92)
Sedangkan harta yang paling kucintai adalah kebun Bairuha, lalu kebun itu aku sedekahkan kerana Allah. Aku mengharapkan kebaikan dan bekalannya iaitu pahalanya di akhirat di sisi Allah. Dari itu, wahai Rasulullah! Manfaatkanlah kebun itu”. Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ pun bersabda::
"بخ بخ ذاك مال رابح"
Eloklah! Itu adalah harta yang menguntungkan, itu adalah harta yang menguntungkan!

Abu Talhah pun tanya pendapat nabi nak bahagi kepada siapa kebun itu maka baginda صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ menjawab:
“ seeloknya kebun itu engkau berikan kepada kaum kerabatmu. ”

Abu Talhah pun membahagikan kebun itu dan memberikan kepada kaum kerabat dan anak-anak saudaranya.

Satu kisah lagi ialah Zainab as Thasaqafiyyah . Beliau adalah seorang wanita bangsawan yang kaya-raya, suaminya Abdullah bin Mas'ud, seorang sahabat Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ yang miskin. Suatu ketika Zainab mendengar Nabi SAW bersabda, "Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu sekalian, walaupun dengan perhiasanmu".

Ketika tiba di rumah dan bertemu dengan suaminya, ia menceritakan sabda Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  tersebut kepada suaminya dan berkata, "Sesungguhnya engkau adalah orang yang tidak mampu, tolong datang dan tanyakan kepada Nabi SAW, apa boleh aku bersedekah kepadamu”.

Tetapi Ibnu Mas'ud meminta supaya Zainab sendiri bertemu nabi.  Zainab datang ke rumah Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, kebetulan di sana telah ada seorang wanita Ansar menunggu Nabi untuk menanyakan hal yang sama. Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ memerintahkan Bilal keluar menemui dua wanita tersebut, dan Zainab berkata,
"Wahai Bilal, sampaikan kepada Rasulullah, dua orang wanita menanyakan kepada kepada baginda, apakah kmi boleh berikan sedeqah kami kepada suami dan anak-anak yatim yang kami asuh? Tetapi, tolong jangan dijelaskan siapa kami" 

Bilal masuk kembali menemui baginda dan menyampaikan pertanyaan mereka berdua. Nabi tanya siapa mereka berdua. Zainab bagitahu dah jangan cakap siapa mereka tapi Bilal apabila Nabi tanya maka Bilal jawab "Seorang wanita Ansar dan Zainab, ya Rasulullah!"  Nabi tanya balik:
أَيُّ الزَّيَانِبِ هِيَ ؟ ، قَالُوا : امْرَأَةُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ
"Zainab yang mana?"  Zaman nabi ada ramai yang namanya Zainab. Maka dijawab "Isteri Abdullah bin Mas'ud" .

Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda,
لها أجران أجر الصدقة وأجر القرابة

"Baginya akan mendapat dua macam pahala, pahala membantu kerabatnya, dan pahala sedeqah"

Dalam ayat tadi juga Allah larang daripada membazir. Membazir ini ialah menggunakan harta lebih daripada yang dikehendaki. Berlebihan dalam makanan- Macan kita makan buka puasa sampai sepuluh lauk. Padahal cukup bagi kita dua tiga lauk saja. Membazir ni tak semestinya kita buang makanan tak habis. Walaupun kita makan habis tapi lebih daripada keperluan maka itu juga dikira membazir.

Dalam harta kita ada hak untuk orang lain yang perlu kita tunaikan. Harta kita bukan harta kita secara mutlak.

Dalam tafsir ayat
أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ
Satu hadis nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يقول بن آدم مالي مالي وهل لك من مالك إلا ما أكلت فأفنيت أو لبست فأبليت أو تصدقت فأمضيت
Berkta anak Adam “Hartaku! hartaku! Apakah engkau memiliki harta wahai anak Adam kecuali apa yang engkau telah makan dan habis, atau engkau pakai lalu lusuh, atau engkau sedekahkan lalu engkau berlalu membawanya.

Wallahu a’lam

Monday, June 29, 2015

Tazkirah Ramadan 1436 – Malam 12: Ramadan Satu Perjuangan




Disampaikan oleh: al-ustaz Badrul Hisyam Sulaiman
Tempat: Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu

Bulan Ramadan merupakan satu medan perjuangan untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Perjuangan dalam bulan Ramadan adalah dengan susah payah. Berlapar pada siang hari, menahan keletihan berqiam pada malamya. 

Para sahabat nabi diuji lebih hebat lagi daripada kita. Dalam bulan Ramadan berlakunya peperangan Badar.
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Sungguh Allahسبحانه وتعالىtelah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya. (Ali Imran:123)

Keadaan kaum muslimin lemah kerana jumlah mereka sedikit, hanya 313 orang sahaja berbanding dengan 1000 orang tentera kafir. Walaubagaimanapun perjuangan itu menjadi manis dan mudah kerena mereka memiliki kesabaran dan ketakwaaan. Iman dan takwa merupakan sumber kekuatan orang Islam dalam menempuh perjuangan.
بَلَى إِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا وَيَأْتُوكُمْ مِنْ فَوْرِهِمْ هَذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُمْ بِخَمْسَةِ آَلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُسَوِّمِينَ
Bahkan, jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka datang menyerang kamu dengan seketika itu juga, nescaya Allah menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda bersiap siaga.

Dalam bulan Ramadan juga berlaku satu peristiwa besar iaitu pembukaan Kota Mekah. Berlaku pada tahun kelapan hijrah. Dalam kitab sirah kita boleh baca bahawa betapa susahnya para sahabat untuk memasuki Kota Mekah menempuh perjalanan yang jauh dalam keadaan tubuh badan lemah dan haus sehingga ada dalam kalangan sahabat yang berbuka puasa.

Nabi sendiripun berbuka puasa dan baginda mengangkat bekas air nenunjukkan kepada para sahabat. Baginda menyuruh para sahabat yang letih dan tak mampu supaya berbuka. Bagi yang tetap mahu berpuasa bagingda nabi bersabda أولئك العصاة  - mereka itu derhaka kerana tidak mengambil rukhsah yang diberikan oleh Allah. Mereka berada dalam musafir.
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maka barangsiapa dalam kalangan kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (al-baqarah:184)

Islam tidak mahu menyusahkan umatnya.
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Contohnya jika seseorang itu bekerja memandu bas ulang alik Kota Bharu Kuala Lumpaur. Jika puasanya menyebabkan dia letih dan membahayakan penumpang maka dia mesti buka puasa kerana menjaga maslahah yang lebih besar. Tapi jangan makan depan orang.

Semoga kita diberi kekuatan untuk meneruskan perjuanga pada bulan Ramadan sehingga ke akhirnya lebih kurang ada 18 hari lagi dan seterusnya pada bulan lain.

Friday, June 26, 2015

Tazkirah Ramadan 1436 – Malam 9: Ramadan: Mencari Keberkatan Dalam Iman dan Taqwa



Disampaikan oleh: al-ustaz Badrul Hisyam Sulaiman
Tempat: Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu

Bulan Ramadan disebut sebagai Ramadan al-mubarak-Ramadan yang penuh berkat. Al-quran juga merupakan kitab yang mempunyai keberkatan.
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayat-Nya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

Kita berusaha untuk mencari keberkatan pada bulan ini dengan puasa dan banyak membaca al-quran. Selain daripada itu, iman dan taqwa juga merupakan nilai tambah untuk memperoleh berkat. Dalam surah al-a’raf ayat 96 Allah berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.

Kita memerlukan kehidupan yang berkat. Rezeki yang berkat. Ada orang Allah bagi dia harta banyak tapi tak cukup. Ada orang Allah bagi dia harta sedikit tapi cukup. Bagaimana kita nak tahu hidup kita berkat atau tidak? Jika Allah bagi harta yang melimpah ruah kepada seseorang tapi dia masih rasa gundah masih tak tenang kehidupannya itu tanda bahawa hartanya tak berkat.

Iman kita ada kalanya naik ada kalanya turun. Bulan Ramadan adalah masa yang paling baik untuk kita jana iman dan taqwa kita. Kita rebut peluang yang Allah bagi ini untuk mempertingkatkan iman kita pada musim ibadat begini. Macam musim buat haji di Mekah. Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  bersabada:

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةُ
Haji mabrur itu tiada baginya balasan kecuali syurga.
 
Pergi Mekah dan beribadat di sana dengan penuh keikhlasan akan menjadikan iman kita meningkat. Begitu juga bulan Ramadan. Ianya merupakan medan terbaik untuk kita jana iman dan taqwa kita seterusnya mendapat keberkatan.

Keberkatan bulan Ramadan ini ada di mana-mana saja kita tak tahu. Sebab itu kena sentiasa berusaha dan beramal pada segenap masa. Ibadat kita kena buat sungguh—sungguh janganlah buat secara sambil lewa saja. Orang Kelanta kata gapo dio? Buat kerja leweh? Nak eja pun payah. Buat kerja sambil melepaskan betuk di tangga. Masjid kita tak ada tangga. 

Macam kita makan. Bukankah nabi pada setiap kali selepas makan menyarankan agar kita jilat jari. Jilat jari ni bukan kempen KFC ni. Sedap sehingga menjilat jari. So good. Sebab kita tak tahu bahagian makanan yang mana satu ada berkat.
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أَصَابِعَهُ ؛ فَإِنَّهُ لا يَدْرِي فِي أَيَّتِهِنَّ الْبَرَكَةُ

Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka hendaklah dia menjilat jari-jemarinya. Sesungguhnya dia tidak tahu mana satu bahagian makanan yang ada berkat.

والله أعلم، والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Thursday, June 25, 2015

Tazkirah Tarawih 1436 – Malam 8: Ramadan: Peluang Memperoleh Cahaya



Disampaikan oleh: al-ustaz Badrul Hisyam Sulaiman
Tempat: Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu

Amalan yang kita buat pada bulan Ramadan ini adalah salah satu daripada cahaya yang kita harapkan untuk alam kubur kita. Manusia memerlukan cahaya untuk menyinari kehidupan dan alam akhirat. Tidak sama hidup disinari cahaya dengan hidup dalam kegelapan.

Dalam surah al- an’am ayat 122 Allah berfirman:

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan apakah orang yang sudah mati Kemudian dia kami hidupkan dan kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya? Demikianlah kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan.

وَمَا يَسْتَوِي الْأَعْمَى وَالْبَصِيرُ (19) وَلَا الظُّلُمَاتُ وَلَا النُّورُ (20) وَلَا الظِّلُّ وَلَا الْحَرُورُ (21) وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَنْ يَشَاءُ وَمَا أَنْتَ بِمُسْمِعٍ مَنْ فِي الْقُبُورِ (22)

Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat. Dan tidak (pula) sama gelap gelita dengan cahaya, Dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas, Dan tidak (pula) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.

Setiap orang memerlukan cahaya. Kita kalau naik kereta waktu malam dengan tiada cahaya lampu maka bahaya. Jika ada cahaya tapi tak cukup, hanya sekadar cahaya serebe pun susah nak bawa kereta. Kehidupan tanpa cahaya berada dalam gelap. Hidup meraba-raba tak dapat cari punca. Hidup tanpa cahaya ni samada dia buta tak dapat melihat ataupun dia tak buta tapi berada dalam keadaan gelap.

Banyak amalan yang menjadikan cahaya antara lain solat itu sendiri. Dalam satu hadis nabi bersabda:

من حافظ عليها كانت له نورا وبرهانا ونجاة يوم القيامة ومن لم يحافظ عليها لم تكن له نورا ولا برهانا ولا نجاة ويأتي يوم القيامة مع قارون وفرعون وهامان وأبي بن خلف
"Siapa yang menjaga dan memelihara sembahyangnya, menjadilah ia cahaya, keterangan dan kemenangan di hari kiamat. Dan barang siapa yang tidak menjaga sembahyangnya ia tidak akan mempunyai cahaya, keterangan dan kemenangan. Dan adalah ia bersama Qarun, Fir'aun, Haman dan Ubai bin Khalaf di hari kiamat".

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آَمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan nabi dan orang-orang mukmin yang bersama Dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah Kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Kita tengok dalam ayat ini, orang yang dapat cahaya pun berdoa agar disempurnakan cahaya maka bagaimanakah kalau tak dapat cahaya langsung. Ini menunjukkan betapa cahaya amat diperlukan oleh manusia. Sumber cahaya ialah Allah. Kalau tuan-tuan rujuk dalam surah an nur, tuan-tuan dapat lihat perumpamaan yang cukup cantik berkenaan cahaya.

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus- yang dimaksud lubang yang tidak tembus (misykat) ialah suatu lobang di dinding rumah yang tidak tembus sampai kesebelahnya, Biasanya digunakan untuk tempat lampu, atau barang-barang lain. yang di dalamnya ada Pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya)- pohon zaitun itu tumbuh di puncak bukit ia dapat sinar matahari baik di waktu matahari terbit maupun di waktu matahari akan terbenam, sehingga pohonnya subur dan buahnya menghasilkan minyak yang baik. yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.

وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ

(dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.

Semoga kita diberi petunjuk untuk mandapatkan cahaya dan kita menjadi salah seorang yang menerangi cahaya Allah. Musuh Islam mahu memadamkan cahaya Islam jadi kita mesti beusaha untuk menjadikan  kehidupan kita bercahaya dan kita menjadi asbab cahaya ini berterusan.
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah  menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya".
Semoga kehidupan kita disinari cahaya.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين