"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, June 25, 2011

Kaedah baghdadi


Pada 3 Jun 2011 yang lalu , satu bengkel Aplikasi Kaedah Baghdadi Dalam P&P Pendidikan Al-Quran telah diadakan. Program ini dikendalikan oleh Al Fadhil Ustaz Ghazali Sabin, pegawai agama Universiti Malaysia Sabah. Semua pelatih KPLI j-QAF ambilan Januari 2011 telah mengikuti bengkel ini yang merupakan program kendalian JAPIM IPG Kampus Keningau. Turut serta dalam bengkel ini ialah para pensyarah JAPIM. Bengkel ini telah diadakan di bilik Kuliah Sabur, bermula jam 830 malam. Program bermula dengan ucapan aluan Ustaz Mohd Rusli Ismail, penyelaras KPLI j-QAF, kemudian diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Ghazali Sabin. Bengkel diteruskan dengan praktik kaedah baghdadi dengan bimbingan penceramah. Antara yang menarik di dalam kaedah ini ialah teknik menggunakan alat pengetuk ketika sesi P&P yang mana sesi pembelajaran menjadi lebih menarik dan pelajar dapat memahami isi pelajaran dengan mudah terutamanya tentang sebutan panjag pendek di dalam al-quran. Bengkel ini memberikan input yang sangat bermanfaat kepada pelatih dalam melaksanakan aktiviti P&P Pendidikan Al-Quran di sekolah.

عن عثمان،
عن النبي صلى اللّه عليه وسلم قال: "خيركم من تعلم القرآن وعلمه".

Daripada Usman RA, daripada nabi SAW sabdanya: Yang terbaik di kalangan kamu ialah yang belajar al quran dan mengajarnya.

.

Friday, June 24, 2011

Azan Subuh

Solat subuh adalah solat yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam yang mukallaf. Waktu solat subuh merupakan waktu yang amat berat bagi orang yang lemah iman untuk melakukannya. Hal ini demikian kerana untuk bangkit daripada tidur lena amat susah sekali.

Azan subuh menandakan masuknya waktu subuh. Waktu subuh akan berakhir apabila terbitnya fajar sidiq, iaitu apabila keluar warna kemerah-merahan di langit dan selepasnya matahari akan keluar. Hukum azan adalah sunat sebelum melakukan solat lima waktu.

Dalam azan subuh ada satu lafaz yang sunat diucapkan yang mana lafaz ini tidak disunatkan pada waktu selain subuh. Lafaznya ialah:

الصلاة خير من النوم

Ertinya: Solat itu lebih baik daripada tidur.

Menghadiri solat subuh berjamaah merupakan amalan yang amat besar ganjarannya. Orang yang menghadirinya bukan calang-calang orang. Di kalangan agamawan yang bergelar ustaz pun susah untuk menghadirkan diri solat subuh berjamaah walaupun mereka tahu tentang fadhilatnya.

Dalam Sahih Muslim tarcatat satu hadis nabi SAW yang berbunyi:

"من صلى العشاء في جماعة فكأنما قام نصف الليل. ومن صلى الصبح في جماعة فكأنما صلى الليل كله".

Maksudnya: Sesiapa yang solat Isya’ berjamaah maka seolah-olah ia solat separuh malam dan sesiapa yang solat subuh berjamaah maka solah-olah ia solat sepanjang malam.

Umar al Khattab RA lebih suka untuk solat subuh berjamaah daripada qiyamullail sepanjang malam tetapi tidak menghadiri solat subuh berjamaah.

Kata ulama jika kita mahu melihat sesebuah kampung itu hidup dengan amalan agama maka pergilah solat subuh di kampung berkenaan dan lihatlah berapa kerat ahli qaryahnya yang hadir berjamaah. Jika tidak sampai lima puluh peratus maka sesungguhnya kampung itu tidak ada suasana Islami.

Pahlawan Islam yang terkenal, Salahuddin Al Ayubi awal-awal lagi tidak akan memilih perajuritnya untuk betempur melawan musuh jika tidak qiyammullail, apatah lagi tidak solat subuh berjamaah.

Amat malang zaman sekarang apabila azan subuh berkumandang tapi manusia masih enak diulit mimpi. Ayuh kawan ayuh rakan! Bangunlah dan solatlah subuh di tempat azan diazankan. Janganlah kita jadi lebih bodoh daripada ayam jantan yang bertasbih memuji tuhan saat ketika kita masih lagi menikmati kencing syaitan!

Tuesday, June 21, 2011

Masjid Jamek


Masjid Jamek. Pernahkah anda dengar orang sebut Masjid Jamek? Di manakah Masjid Jamek terletak? Apa makna masjid Jamek? Kenapa namanya Masjid Jamek?

Di Malaysia Masjid Jamek diitlakkan kepada nama sesebuah Masjid. Selain nama Masjid Jamek ialah Masjid Syakirin, Masjid Ansar, Masjid at Taqwa dan lain-lain.

Jika anda menaiki train LRT dari hentian Putra ke KL Central anda akan dengar suara wanita menyebut "Stesen seterusya, Masjid Jamek".

Orang arab kadang-kadang panggil masjid dengan nama Jamek. Bolehlah kita katakan bahawa perkataan seerti bagi masjid ialah "jamek".


Masyarakat kita banyak menggunakan istilah yang membawa erti yang sama. Guna dua kalimah yang merujuk kepada yang sama. Contoh lain ialah malam lailatul qadr. Lailatul sebenarnya bermaksud malam.

Tak kiralah! Nak panggil masjid ke jamek ke Masjid Jamek atau sebagainya, yang penting ialah orang yang solat berjemaah di masjid dan memakmurkan masjid adalah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آَمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآَتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Saturday, June 18, 2011

Lawatan Sambil Belajar





17 Jun 2011. Hari ini Muhammad telah membuat satu lawatan sambil belajar ke Tenom dan sekitar Bandar Keningau. Muhammad pergi dengan abah, ummi, kak Idah dan kak Ngah . Bersama dengan Muhammad juga ialah Maknik dan tiga orang sepupu Muhammad.
Destinasi pertama Muahamad ialah ke Taman Pertanian Lagud Seberang, Tenom. Muhammad rasa sangat seronok sebab inilah kali pertama Muhammad diberi peluang untuk mencuba sendiri sesuatu yang baharu. Dulu Muhammad ada buat lawatan ke Melaka tapi masa itu Muhammad hanya duduk di atas dukungan atau kereta tolak sahaja.
Ketika melawat Melaka
Hari ini Muhamamd belajar banyak matapelajaran. Muhammad diberi peluang pegang stereng keretapi. Walaupun Muhammad tak memandu tapi Muhammad rasa seronok sangat sebab rasa macam betul- betul memandu.

Mana satu nak tekan ni?
Di taman ada berbagai pokok dan jenis bunga. Abah banyak bagitahu Muhammad tentang bunga. Abah ambil sekuntum bunga dan bagi pada Muhammad. Abah kata bunga akan layu. Cantik bunga tak kekal lama.
Abah juga kata keindahan hidup dunia diungkap dengan kalimah bunga. Abah baca quran surah Taha ayat 131.
وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى
Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk kami uji mereka dengannya. dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.
Taman evolusi. Kenapa tinggi sangat?
Di sini ada sejenis pokok yang mengeluarkan satu buah. Buah ini orang panggil buah ajaib. Ajaibnya ialah selepas memakannya kita boleh makan buah-buah masam dengan sedapnya sebab buah masam itu bertukar jadi manis.
Seronok makan buah ajaib dan belimbing
Muhammad menghabiskan masa di taman bunga lebih kurang selama 2 jam . Muhammad singgah di rumah Cik Fatin di Tenom. Makan tengahari. Sungguh sedap rasanya, Terima kasih Cik Fatin sebab hidangkan Muhammad ayam goreng yang sedap.
Sedapnya ayam goreng ini
Bersama Cik Fatin
Selepas solat asar abah bawa Muhammad tengok burung unta, payau, rusa, babi yang terdapat di sekitar Keningau. Seronok sungguh tengok burung unta main agguk-agguk kat Muhammad. Abah kata semua makhluk Allah termasuk burung unta ini berzikir dan bertasbih kepada Allah . Abah baca quran:
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ
Tidaklah kamu tahu bahawasanya yang di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. masing-masing, semuanya mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah maha mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Burung main angguk-angguk dengan Muhammad

Sebelum solat maghrib abah bagi peluang kepada Muhammad bermain di taman permainan kanak-kanak di IPG Kampus Keningau. Kak Ngah cakap masa pra sekolah dulu dia belajar kat sini. Muhammad rasa seronok sangat dapat main buaian tanpa diganggu orang.
Apabila masuk waktu maghrib Muhammad solat di masjid IPG. Tak ada orang sebab semester baru belum mula lagi. Pelajar masih bercuti. Ada juga pelajar yang tak balik. Kak Suratni yang jaga Muhammad masa hari keluarga pun ada solat bersama.

Solat sunat dulu bah!
Selepas Maghrib abah bawa pusing-pusing Bandar Keningau. Abah letak Muhammad dan lain-lain di Dreamland untuk makan malam. Abah pergi solat isya’ berjemaah di masjid dahulu. Muhammad rasa letih sangat. Muhammad hanya tidur, manakala yang lain menjamu selera. Makan ikan bakar dan lain-lain.
Muhamad balik jam 9 malam. Abah suruh tidur awal sebab esok nak ke Kota Kinabalu untuk menghantar Maknik, Kak Ika, Abang Mad dan bang Cik balik Kelantan. Muhammad nak tidur la ni.

Monday, June 13, 2011

Tentang bola





Main bola VS tengok bola

Saya tak pandai main bola. Tengok orang main bola pun saya tak minat. Masa zaman kanak-kanak dulu ada juga saya main bola kadut di padang kampung saya. Sekarang padang itu sudah berubah menjadi bangunan besar-besar. Bola sepak ada juga saya join dengan geng mat yie tapi kena buang padang sebab tak reti main.

Seingat saya kali terakhir saya main bola ialah pada 2002, semasa perlawanan guru lawan murid sempena sambutan hari guru di SMKKP. Itupun saya hanya jadi penjaga tiang gol, nak cukup korum guru. Itupun aksi saya hanya lihat saja pelajar meloloskan bola masuk gol.(Kalau pelajar saya baca entri saya ini dan masih ingat peristiwa ini pasti dia gelak.)

Tengok orang main bola pun saya tak minat. Antara topik yang saya kurang pengetahuan tentangnya ialah bab bola dan cerita mengenai artis. Kalau rakan-rakan bersembang tentang itu saya hanya jadi tukang dengar saja.

Ikhwan, peminat Kelantan, keesokannya demam sebab Kelantan Kalah!

Pernah satu ketika tahun 2007 semasa saya merayau-rayau di Bandaraya Kuala Lumpur ada wartawan TV3 siap dengan kamera untuk masuk TV dengan secara rambang telah bertanya saya negara manakah yang akan menang perlawanan malam ini. Rupa-rupanya malam tu ada lawan bola peringkat akhir piala entah apa tah. Kalau tak silap saya piala Eropah.

Saya dengan selamba menjawab “Tak tahu, tak minat”. Abang wartawan terus angkat tangan best dan terus beredar. Ada abang kat kedai tegur saya kenapa tak jawab. Masuk TV satu kampung boleh tengok. Saya hanya dengar saja sambil mencari talipon bimbit yang saya nak beli.

YB Kak Ani menyampaikan hamper kepada penonton bertuah

Saya rasa saya mula jadi minat tengok bola pada tahun 2009, iaitu apabila pasukan negeri saya yang diberi nama negeri Kelantan dapat masuk perlawanan akhir piala Malaysia menentang Negeri Sembilan. Saya lihat perlawanan itu di Mahallah Ali bersama dengan Mansor sambil minum air. Saya tak tengok sampai habis sebab baru nak minat tengok bola. Lagipun Negeri Sembilan sudah mendahului.

Pada tahun 2010 sekali lagi Kelantan bertemu dengan Negeri Sembilan dalam perlawanan yang sama. Pada hari itu saya bawa keluarga saya bercuti dan menginap di Borneo Paradise, dekat Kinarut. Tarikhnya ialah 30 Oktober 2010. Pada siangnya saya bagitahu kepada isteri saya malam ni Kelantan lawan Negeri Sembilan dan Kelantan akan menang.

Apabila malam saya buka TV dan tengok bola seorang diri. Isteri dan anak-anak dah tidur. Mungkin letih sebab berendam den berenanng dalam kolam lama sangat. Masa perlawanan berjalan ada juga saya kejutkan isteri saya bagi tahu Kelantan sedang menang, tapi saya tengok perlawanan sampai habis tanpa teman.

Saya rasa itulah rekod pertama saya tengok perlawanan bola dengan minat dan dapat melihatnya samapai wisel penamat. Walau bagaimanapun saya masih berpendapat saya tak minat tengok bola. Saya tengok tadipun mungkin sebab semangat anak Kelantan nak tengok orang Kelantan beradu jantan dalam gelanggang.

Piala FA

Gelagat penonton menyaksikan perlawanan

Pada mulanya saya tak tahu Kelantan masuk final piala FA bertemu Terengganu. Saya dapat tahu pun melalui utusan Malaysia online yang buat servay negeri mana yang akan menang piala FA tahun ini. Saya tak rajin beli kertas utusan ni. Saya hanya belek sekejap guna aplikasi di hujung jari.

Tarikh perlawanan saya tak ambil tahu. Saya tahu tarikhnya apabila seorang ahli group KISMA PB di Facebook dalam sembangnya bagitahu bahaw 11.06. lawan bola. Tak dapat pergi majlis kahwin adik kakak ipar di Ipoh.

Saya berada di Kota Bharu pada 11.06.2011. Di kampung saya, Padang Bongor disediakan skrin besar sempena perlawanan bola Kelantan jumpa Terengganu. Saya bersama penduduk kampung tengok bola pada separuh masa kedua sampai habis. Kali ini lebih teruk sebab perlawanan masuk sampai waktu tambahan. Jarang saya tidur lewat malam.

Alhamdulillah, beza suasana di sini ialah sebelum bola ada ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Badrul Hisyam, kemudian diikuti dengan solat Isya’ berjamaah, kemudian baru ke tempat skrin besar dipancarkan, bersebelahan dengan masjid. Jaraknya kurang lebih 100 meter.

SMS kawan

Saya pulang ke rumah kurang lebih jam 1130 malam. Saya ambil telefon bimbit saya dan terdapat satu sms kawan saya yang berbunyi “AL FATIHAH TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH AYAHNDA USTAZ JAM 8.20 MLM..”

Analogi bola

Ada kawan saya cukup minat dengan bola. Sekarang beliau mengajar di IPG Kampus Raja Melewar. Satu ketika dalam ceramahnya beliau bagitahu “kita mestilah jadi pendakwah yang turun ke medan. Macam pemain bola. Jadilah pemain yang bermain di padang. Bukan setakat pemain simpanan”. Jadi dalam dakwahpun kita kena duduk di depan. Kalu main bola biarlah jadi penyerang handalan.

Tok guru Menteri besar Kelantan dalam taujihatnya kepada pemain bola juga ada buat analogi tentang bola. Main bola ni macam politik. Kena licik baca strategi lawan. Kita main bola sungguh-sungguh kejar bola sampai terguling-guling. Dalam Islam Tuhan ajar kita supaya berkejar kepada kebajikan.

Babak terakhir, Kelantan akur dengan kekalahan

Sedikit renungan

1.Kita boleh bangun jam 2 pagi 3 pagi untu tengok bola. Alangkah baiknya kalau ruang masa itu diguna juga untuk solat malam.

2.Kita sanggup bayar RM30 RM80 untuk beli tiket bola. Alangkah bagusnya kalau RM itu juga disalurkan untuk gerakan Islam.

3.Kita pakai baju sama warna ikut tema, ikut warna pemain yang kita sokong, Alangkah indahnya jika hati perut kita sama untuk sokong Islam.

4.Kita tengok orang berasak-asak masuk stadium sampai ada yang mati kediri. Pernahkah kita tengok manusia berasak-asak masuk masjid berebut-rebut cari redha Ilahi?

Sunday, June 12, 2011

Syukur dan sabar


Imelda Esther said...[Balas]

Salam ustaz. Ada sy tgk satu program d tv kan ustaz, Penceramah tu ckp, bersyukur lebih baik dr bersabar. Bersyukur smsa mdpt kesenangan mahupun kesusahan :)

June 7, 2011 10:15 PM

Pada entri kali ini saya cuba untuk memberi ulasan terhadap komen salah seorang pembaca saya dalam entri saya sebelum ini yang bertajuk “Alhamdulillah”.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi ulasan dalam tulisan saya dan saya berdoa agar kita semua diberi taufik dan hidayah untuk mendengar dan mengikut yang lebih baik.

وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَنْ يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّهِ لَهُمُ الْبُشْرَى فَبَشِّرْ عِبَادِ (17) الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ (18)

17. Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (yaitu) tidak menyembah- nya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba- hamba-Ku,

18. Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya, mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka Itulah orang-orang yang mempunyai akal.

Thaghut ialah syaitan dan apa saja yang disembah selain Allah s.w.t. Maksud mereka yang mendapat berita gembira daripda Allah ialah mereka yang mendengarkan ajaran-ajaran Al Quran dan ajaran-ajaran yang lain, tetapi yang diikutinya ialah ajaran-ajaran Al Quran kerana ia adalah yang paling baik.

Kembali kepada tajuk sabar dan syukur.

Sabar dan syukur adalah dua sifat mahmudah yang perlu ada dalam setiap peribadi mukmin. Al Imam al Ghazali dalam kitab Ihya’ membahaskan tentang sifat-sifat tersebut. Perbahasannya telah diringkaskan oleh ulama nusantara, Syeikh Abdul Samad al Palembani dalam kitabya Hidayatus salikan, manakala Al Imam an nawawi menulis satu bab dalam riyadhus solihin berkenaan sabar. Al Imam Ibn Qayyim pula membincangkannya dengan panjag lebar dalam kitabnya عدة الصابرين.

Di dalam kitab Hidayatus salikin, pengarangnya menerangkan bahawa hakikat sabar iaitu menahan diri daripada memarah atas sesuatu yang tidak disukainya dan menahan lidah daripada mengadukan kepada yang lain daripada Allah.

Bermula sabar atas berbuat taat dan meninggalkan maksiat itu iaitu fardhu atas setiap mukallaf dan demikian lagi sabar atas bala’ dan segala kesakitan.

Adapun syukur maka iaitu martabat yang tinggi iaitu terlebih daripada sabar dan daripada segala sifat yang kepujian yang telah tersebut dahulu.

Daripada huraian di atas maka bolehlah disimpulkan bahawa syukur lebih tinggi martabatnya daripda sabar, walau bagaimanapun martabat sabar tetap tinggi dan balasannnya tidak dapat dihisab. Kata Ibn Qayyim:

فخير عيش أدركه السعداء بصبرهم , وترقوا إلى أعلى المنازل بشكرهم ، فساروا بين جناحي الصبر والشكر إلى جنات النعيم ، وذلك فضل الله يؤتيه من يشاء ، والله ذو الفضل العظيم "

“Sebaik-baik kehidupan yang diperoleh orang-orang berbahagia kerana kesabaran mereka, dan tingkatan martabat mereka menjadi lebih tinggi dengan kesyukuran mereka. Mereka berjalan dengan sayap sabar dan syukur menuju syurga yang penuh nikmat, itulah kelebihan yangAllah beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah maha memberi kurnia yang besar”.

Alhamdulillah. Kehidupan mukmin semuanya ada kebaikan samada ketika senang mahupun susah. Hidup atas muka bomi ini adalah ujian semata. Allah nak tengok hambanya yang mana pandai syukur dan sabar. Apabila kehidupan dihiasi dengan dua sifat ini maka kehidupannya dipenuhi dengan kebaikan yang banyak. Dalam hadis sahih riwayat Muslim:

عَنْ صُهَيْبٍ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ ، وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلا لِلْمُؤْمِنِ ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ .

Daripada Abi Yahya Shuhaib bin Sinan RA. Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya menakjubkan keadaan orang mu’min, karena segala urusannya sangat baik baginya, dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi orang mu’min. Bila ia memperoleh kesenangan, ia bersyukur, yang demikian itu baik baginya. Dan bila ia tertimpa kesusahan ia juga bersabar, yang demikian itupun baik baginya”.

Saturday, June 11, 2011

Daurah Ilmu


Semua muslimin dijemput hadir

Thursday, June 9, 2011

Bible



Amerudin Zakaria

Salam, menarik sekali baca blog anak tok iman. Nak buat permintaan sikit, boleh tak ayah li bagi penjelasan berkenaan kitab injil dan bible yang Ada sekarang. Hehehe klu Ada Kesempatanlah. Tq.

Top of Form

3 hours ago via iPhone · Like · · See friendship

Bottom of Form

Saya salin balik soalan dan permintaan rakan Facebook saya yang dikirim ke dalam wall saya. Untuk memenuhi permintaan di atas, saya sertakan bahan perkongsian saya semasa menyertai kursus peningkantan dae' beberapa tahun lalu.

Saya banyak berdiskusi mengenai bible dengan kawan baik saya, Ustaz Abdullah Din yang sekarng ini mengajar di Kedah. Beliau telah menulis satu kitab bertkenaan Bible dan kristian, hasil daripada bahan-bahan kursus yang dikendalilan oleh Tuan Haji Nicholas Sylvester.

Di sini saya salin apa yang saya dapat daripada kursus peningkatan dae yang saya hadiri beberapa tahun yang lalu. Kursus ini dikendalikan oleh Tuan Haji Nicholas sendiri.

Bab atau surah yang terdapat di dalam Bible disebut dalam Bahasa Inggeris sebagai Book atau buku. Berdasarkan ini Bible adalah himpunan 66 surah atau buku, 39 daripadanya dikenali sebagai Kitab Perjanjian Lama atau Old Testament. Manakala 27 buah lagi dikenali sebagai Kitab Perjanjian Baru atau New Testament. Kitab Perjanjian Lama mengandungi undang-undang Nabi Musa, kisah-kisah sejarah, puisi dan kebijaksanaan disamping satu bab yang dipenuhi ramalan –ramalan perkara akan datang.

Kitab Perjanjian Baru pula mengandungi kisah kehidupan Nabi Isa yang ditulis oleh tokoh Agama Kristian yang bernama Matthew, Mark, Luke dan John. Tulisan-tulisan ini dikenali sebagai Gospels(INJIL). Disamping itu, Kitab Perjanjian baru juga mengandungi surah atau buku The Acts yang mengisahkan keadaan Agama Kristian pada peringkat awal kewujudannya , surat-surat yang ditulis oleh St Paul dan tokoh-tokoh Kristian terdahulu dan sebuah buku yang bernama Revelation.

Di dalam Encarta Encyclopedia disebutkan, “Bible agama Kristian mengandungi keseluruhan kitab suci Agama Judaime yakni Agama Yahudi. Perkataan Old Testament atau Perjanjian Lama merujuk kepada tulisan yang berkaitan dengan agama Yahudi ini... justeru, Bible Kristian mempunyai 2 bahagian , iaitu Perjanjian Lama dan 27 buku Perjanjian Baru”. Bible yang asal tidak lagi wujud . Perkara ini disebutkan di dalam The Interpreter’s Dictionary of The Bible “Tulisan –tulisan asal Perjanjian Baru sudah lama tiada , perkara ini tidaklah mengejutkan kerana sumber-sumber itu ditulis di atas bahan-bahan yang tak tahan lama”1

Pendapat yang sama disebut di dalam The Catholic Encyclopedia “Bible yang lengkap seperti yang asal masih wujud sebenarnya tidak berasas sama sekali. Bible yang kini menjadi pegangan umum kini, seperti juga Kitab Perjanjian Lama, telah melalui beberapa perkembangan dan proses ... sehingga akhirnya isi-isinya diputuskan secara rasmi oleh Majlis Trident atau Tridentint Council. 2

Ada antara tokoh-tokoh Kristian yang berpendapat, Bible adalah dokumen yang dikeluarkan oleh pihak gereja. Justeru, gerejalah yang menentukan isi Bible dan bukan Bible yang menentukan perjalanan Gereja. Hal ini disebutkan oleh Paderi Besar dari Gereja Ortodoks di Denver iaitu His Eminence Metropolotan Isiah of Proikonisou and Presiding Hierarch of the Greek Orthodox Diocese of Denver di dalam Denver Buletin yang diterbitkan pada Bulan Mac 1995, jilid 3, no 3. Beliau berkata “Landasan perjalanan gereja tidak didasarkan kepada Kitab Bible kerana isi Bible ditentukan oleh pihak gereja . Pada abad-abad awal Agama Kristian, tidak ada seorang manusia pun yang dapat menyentuh kitab yang bernama Bible” kerana ia mmang tidak wujud”. Pernyataan ini menunjukkan dalam Agama Kristian, kedudukan gereja berada di atas Bible , dan ia berkuasa menentukan segala-galanya termasuk isi-isi Bible. Sebaliknya dalam Agama Islam, Quran berada ditempat di atas dan ia menentukan segala perkara.

Oleh kerana Injil atau Bible yang asal tidak wujud lagi , penulis-penulis Bible terpaksa menggunakan pelbagai sumber yang tidak lengkap bagi menulis isi-isi Bible. Di dalam The Anchor Bible Dictionary disebutkan “Disebabkan salinan asal Bible tidak wujud lagi , isi Bible terpaksa dibina dengan menggunakan teks-teks yang tidak sempurna yang seringkali saling bercanggahan”. 3 . Sumber-sumber yang tidak sempurna ini wujud dalam bentuk salinan yang ditiru daripada salinan yang sebelumnya dan saling berbeza dan bercanggah.

Bart Ehrman , di dalam The Orthodox Corruption of Scripture berkata “Manuskrip Bible yang asal sudah tidak wujud lagi pada hari ini, yang ada hanyalah salinan yang ditiru daripada salinan-salinan yang sebelumnya. Sebanyak 5366 daripada salinan-salinan yang tua ini ditulis dalam Bahasa Greek Klasik atau Yunani Kuno antara abad ke-2 hingga ke-16 Masehi.Yang menarik perhatian adalah tidak wujud persamaan kecuali sedikit sahaja antara satu salinan dengan yang lain .Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui jumlah sebenar perbezaan dan percanggahan ini , tetapi ia mungkin mencecah ratusan ribu”4

Bible yang ada pada hari ini ditulis dengan berpandukan salinan-salinan yang tidak sempurna ini. Sejarah juga membuktikan bahawa kisah hidup Nabi Isa(Jesus) yang terdapat di dalam Bible (Bahagian Gospels @ Injil) disusun berdasarkan cerita oang-orang dahulu. Hal ini disebutkan di dalam New Bible Dictionary “Kebanyakan kisah hidup Nabi Isa(Jesus) diperoleh melalui khabar-khabar lisan sebelum ia ditulis dalam bentuk yang kita kenali sekarang”5. Di dalam Peake’s Commentary on The Bible disebutkan “Memang diketahui umum , Gospel adalah berasaskan khabar-khabar lisan orang-orang Kristian terdahulu dan hal ini melahirkan pelbagai variasi berhubung perkataan dan perlakuan Nabi Isa(Jesus) Semua ini dilakukan secara sengaja ataupun tidak sengaja oleh penulis-penulis Bible...”.6

Penulis Bible sering tidak menyalin dengan tepat kisah Nabi Isa . Hal ini diakui oleh tokoh kristia Bruce M. Metzger di dalam The Text of The New Testament , “Penulis-penulis tidak menyalin dengan tepat segala sumber yang mereka temui , sebaliknya mereka menulis pentafsiran mereka sendiri berhubung sumber-sumber itu . Mereka melakukannya bagi membetulkan kesilapan penulis-penulis lain tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah mereka sendiri telah melakukan kesilapan dengan tindakan mereka itu”.7.

Perkara yang sama juga turut berlaku ke atas Kitab Perjanjian Lama seperti yang disebutkan di dalam The Interpriter’s Dictionary of The Bible yang bermaksud “Banyak kisah yang terdapat dalam Perjanjian Lama mengikut gaya dan olahan penulis-penulisnya...”8

Tambahan lagi , sebahagian sumber Bible tidak diketahui asal usulnya tetapi soalnya kenapa Bible masih mendapat tempat di dalam Bible dan diiktiraf sebagai Kalam Tuhan Yang Suci sehingga disebut Holy Bible. Di dalam The Cambridge History of The Bible disebutkan “Kebanyakan tulisan di dalam Perjanjian Baru adalah dari sumber yang tidak diketahui asal ususlnya kecuali surat-surat yang ditulis oleh St Paul”9

Penjelasan-penjelasan ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa Bible yang ada pada hari ini tidak boleh diiktiraf sebagai Kalam Tuhan secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, ajaran Kristian dari A to Z tertolak sebagai ajaran yang benar kerana ajaran Kristian semestinya bersumberkan Bible atau Alkitab. Kajilah Islam!!!

_______________________________________________

1. George Arthur Buttrick . The Interpreter’s Dictionary of The Bible, Vol 1 . Abingdon Press 1962. Bab “Text NT”, hal 599.

2. George J Reid. The Catholic Encyclopedia, online addition , vol 3, 1999 http://www.newadvent .org/cathen/03274a.htm

3.David Noel Freedman. The Anchor Bible Dictionary (CD Rom). Bab Textual Criticism, New Testament.

4. Bart Ehrman. The Orthodox Corruption of Scripture. Oxford University Press 1996 Hal 27

5. New Bible Dictionary. 2nd Edition. Inter –Varsity Press, 1982 . Hal 436.

6. Peake’s Commentary on The Bible. Thomas Nelson and Sons Ltd 1919 Hal 633.

7. Bruce M. Metzger. The Text of The New Testament Oxford University Press Hal 195

8. The Interpriter’s Dictionary of The Bible Vol 4 Hal 683

9. The Cambridge History of The Bible, Vol 1 1970 Hal 233.