"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, June 24, 2017

Munajat di Penghujung Ramadan



الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Dalam sisa-sisa berbaki saat dan detik Ramadan ini, dengan rasa rendah diri, kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh rasa kehinaan kepadaMu ya Allah, sudilah apa kiranya engkau mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar.
يا فتاح يا عليم
Tunjukkanlah kami yang lemah ini jalan keluar daripada semua masalah, bukakanlah hijab kepada kami yang tak mampu melihat setiap kebaikan pada setiap musibah. Ya Allah, takdirkanlah yang baik-baik untuk diri kami.  Janganlah kau memberatkan kami dengan bebanan yang tak mampu kamu tanggung. Bukakanlah pintu-pintu rahmatMu untuk kami ya Allah.
يا الله يا رحمان يا رحيم
Kami memohon kepadaMu Ya Allah agar engkau tetapkan hati kami dengan keikhlasan dalam menunaikan tanggungjawab. Jangan engkau jadikan kami golongan yang berpura-pura dengan amalan kami. Jauhkanlah kami daripada kecenderungan memiliki sifat-sifat mazmumah, sfat ego, dengki mendengki, sombong, adu domba, bongkak, ungkit mengungkit, keluh kesah.
يا حي يا قيوم
Jadikan kami insan yang ikhlas dalam setiap amal perbuatan kami. Bebaskan kami semua Ya Allah daripada mengharapkan penghargaan sesama manusia. Sesunguhnya, Balasan yang hakiki hanya daripada-Mu ya Allah.  Ya Allah Ya Rahman! andai engkau tidak melindungi kami dari sifat-sifat tersebut, sudah tentu kami akan menjadi golongan yang menyesal di akhirat kelak.
يا الله، يا ذالجلال والإكرام
Kurniakanlah kepada kami kesihatan yang baik, supaya dengannya kami dapat beribadah kepadaMu. Ya Allah, ampunkanlah segala dosa kami, kerana kami terlalu banyak berdosa kepadaMu Ya Allah. Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMu tatkala ditimpa sakit, kami lupa kepadaMu ketika senang, kami ingat kepadaMu bila datang kesusahan. Kami lupa kepadaMu ketika kami gembira, kami ingat kepadaMu ketika sedih dan kecewa, kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula mengingatiMu ketika usia sudah tua, justeru ya Allah, ampunilah semua dosa kami. Berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang sentiasa melalaikan kami daripada mengingatimu ya Allah.
يا الله يا رحمان يا رحيم
 Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami, setiap titik susu ibu yang mengalir dalam diri kami, kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya ke syurgaMu. Ya Allah…ya Rahman, pada setiap keringat yang mengalir pada tubuh ayah kami dalam mencari rezeki kepada keluarga kami, kau gantikanlah dengan keampunan yang membawanya ke syurgaMu ya Allah.
 Balaslah kebaikan mereka kerana telah mendidik kami, Berikan ganjaran kepada mereka kerana telah memuliakan kami, Jagalah mereka sebagaimana mereka memelihara kami pada masa kecil, .. Wahai Yang Paling baik untuk dimintai bantuan, Bimbinglah kami,  Jangan jadikan kami orang yang derhaka kepada ayah bunda pada hari ketika setiap diri dibalas kerana hasil kerjanya dan mereka tidak dianiaya.
يا ذالجلال والإكرام
Kami juga memohon ampun untuk kaum kerabat kami, sahabat-sahabat, guru-guru kami yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kami. Golongkanlah mereka dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai. Apabila tiba pula giliran kami, maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang baik-baik; dalam keampunan dan rahmatMu Ya Allah. Jadikanlah kami Ya Allah, daripada kalangan hamba-hambaMu yang taat dan bersyukur. Jauhkanlah kami Ya Allah, daripada melanggari perintahMu. Kurniakanlah kepada kami kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan yang sempurna, fikiran yang waras, minda yang cergas, rezeki yang halal, zuriat dan generasi yang beriman serta kurniakanlah kepada kami segala kebaikan di dunia dan juga di akhirat.
اللهم يا مجيب الدعوات وقا ضي الحاجات
Janganlah kau jadikan Ramadan ini sebagai Ramadan yang terakhir buat kami, temukanlah kami dengan Ramadan yang akan datang. Tapi, andai ini Ramadan terakhir buat kami, jadikankanlah puasa kami sebagai puasa yg diganjari, jadikanlah Ramadan ini Ramadan yang paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju reda serta kasih sayangmu ya Rahman.
Jadikanlah Ramadan ini sebagai penghapus dosa-dosa kami. Ya Allah, temukanlah kami dengan lailatul qadr. Pilihlah kami dalam kalangan hambaMu yang dapat beramal pada malam al-Qadr. Ya Allah, terimalah amalan kami, terimalah taubat kami, ampunkanlah segala dosa kami, amankanlah kehidupan kami di sana nanti yang kekal abadi.
يوم لا ينفع مال ولا بنون، إلا من أتى الله بقلب سليم

ربنا آتنا في الدنيا حسنة ، وفي الآخرة حسنة ، وقنا عذاب النار ،
سبحان ربك رب العزة عما يصفون ، وسلام على المرسلين ، والحمد لله رب العالمين ، وصلى الله وسلم وبارك على سيد ولد آدم ، وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين ، وعنا معهم برحمتك يا رب العالمين

Monday, May 29, 2017

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan



Bulan Ramadan datang lagi. Bulan yang penuh dengan keberkatan. Kehadirannya dinanti manakala pemergiannya ditangisi oleh setiap diri mukmin. Antara nikmat Allah ke atas hambanya ialah menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadat. Pahalanya digandakan manakala dosa diampunkan, rahmat dan limpah kurnia Allah amat banyak.

{ شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ  } [البقرة:185]

Bulan Ramadan diturunkan padanya al-Quran yang menjadi hidayah kepada manusia dan keterangan tentang petunjuk dan sebagai pembeza antara hak dan batil.

روى الإمام أحمد في مسنده عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((هَذَا رَمَضَانُ قَدْ جَاءَ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ النَّارِ وَتُسَلْسَلُ فِيهِ الشَّيَاطِينُ)).
Sesungguhnya sudah datang Ramadan, dibuka padanya pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.

Rasulullah menyatakan bahawan Ramadan sebagai bulan barakah. Sungguh, bahawa bulan ini penuh dengan keberkatannya. Setiap detik dalam bulan Ramadan adalah keberkatan. Berkat waktu, berkat amal, Berkat dalam balasan dan pahala. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Amalan-amalan pada bulan ini digandakan pahalanya. Bulan yang dijanjikan Allah sebagai bulan pembebasan daripada api neraka.

وثبت في الصحيحين عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ، وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ )
Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampun dosanya yang lampau, dan barangsiapa mendirikan malam lailatul qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampun dosanya yang lampau. 

Maka amat rugi bagi sesiapa yang tidak mengambil ruang dan peluang untuk merebut anugerah Allah yang amat besar ini kerana tenggelam dengan nafsu dan cinta kepada dunia. Bulan Ramadan adalah tetamu istimewa yang datangnya hanya sebulan dalam setahun. Maka sayugia bagi setiap mukmin untuk melayan tetamu istimewa ini dengan melipat gandakan amalan  ke arah menuju  taqwa ilahi.

 { قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ  }

Saturday, May 6, 2017

Teknik Mudah Menghafaz Al-Quran




Smart Hafazan
Kem Kecemerlangan Suntikan STAM Maahad Ar-Rahmah Kenali, 4 hingga 6 April 2017 bertempat di IPG Kampus Sultan Mizan Besut Terengganu. 


1.Banyakkan berdoa.

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ صَدْرِي، وَجَلَاءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي

2. Mulakan harian anda dengan al-Quran.

Sebolehnya jangan lakukan aktiviti lain selagi belum membaca/ menghafaz al-Quran. Buatlah undang-undang untuk diri sendiri. Contohyan jika jika  tidak dapat buka al-quran maka kena denda sepuluh sen satu hari. Bubuh dalam tabung masjid. Disiplin kena tinggi. Jangan melayari internet, facebook, Whatapps dan lain-lain selagi belum membaca/menghafaz al-Quran.

3. Gunakan satu jenis mushaf sahaja untuk menghafaz.

Mushaf yang disyorkan ialah Mushaf Uthmani yang dimulai dengan ayat dan diakhiri dengan ayat bagi setiap muka surat. Pastikan kedudukan ayat dalam mushaf yang kita guna adalah sama. Cuba tengok muka 121. Nampak? Di sini ada yang atasnya surah al-maidah ayat 78, ada mushaf ayat 77. Ada sedikit kelainan sampailah muka 124 dia sama balik. Kita guna yang muka 121 ayatnya bemula dengan ayat 77. Boleh?

4. Perdengarkan ayat-ayat yang dihafaz kepada guru (تسميع).

Ini cukup penting. Ayat yang sudah dihafaz perlu ditasmikkan untuk mendapat pengesahan guru. Guru boleh membetulkan bacaan yang salah. Kalu boleh biarlah guru itu hafiz jugak tapi kalu tak dak maka guru tak hafiz pun boleh. Dia semak guna al-quranlah.

5. Selalu mengulangi ayat hafazan sepertimana membaca surah al-fatihah.

Surah al-Fatihah kita baca paling kurang 17 kali sehari semalam. Siapa yang sangkut baca fatihah? Ada tak imam ditegur dalam solat sebab lupa al-Fatihah? Hampir tiada. Sebab al-fatihah ini kita baca sentiasa. Sudah jadi darah daging kita.  Begitulah jugak ayat lain yang kita hafaz. Kena ulang berkali-kali. Ayat yang sentiasa diulang-ulang akan sebati dalam ingatan. Sesungguhnya al-Quran itu amat mudah hilang daripada ingatan jika tidak dijaganya seelok mungkin. Nabi kata nak jaga quran ini lebih sukar daripada nak jaga unta liar. أشد تفلتا من الإبل

6. Membaca ayat hafazan dalam solat sunat.

Orang hafaz quran kena selalu melakukan solat sunat seperti tahajjud, witir, dhuha dan lain-lain. Baca dalam solat itu ayat-ayat yang  dah hafaz. Jika terlupa dalam solat maka terus melihat ayat yang terlupa itu selepas solat. Kena mujahadah sikit. Kita nak hafaz quran kena lain kerja buat kita dengan orang lain. Jika orang lain solat tahajjud kita bangun subuh pun terkejut maka teruk lagu tu. Amat tak kena.

7. Menjadi imam.

Antara cara untuk menjaga hafazan ialah menjadi imam  solat berjamaah. Bacalah ayat yang dihafaz itu.  Buat sedikit muraajaah sebelum jadi imam. Al-Quran ada 114 surah, bukan hanya stakat  ad- dhuha dan ke bawah! Tapi kalau masjid tu dah ada imam tetap jangan duk berguduh dengan imam pula. Kena reti juga fekah beragama ini. Tapi masalahnya malas nak jadi imam. Imam tak ada bilal dah qamat dia buat-buat nak perbetulkan serban kat belakang. Duduk kat kolah pun ramai juga. Berebut tak nak jadi imam.

8. Tulis ayat hafazan dalam satu buku.

Ayat yang ditulis mestilah sama kedudukannya seperti  dalam mushaf, Ingat kedudukan ayat dalam mushaf : kanan, kiri, atas bawah. Bila kita baca dalam ingatan, iaitu tanpa mushaf, kita kena bayang kan seolah quran ada depan kita. Ikut bacaan quran macam mata kita tengok mushaf. Kalau kita dengar orang baca quran cuba kita cari dalam disket kepala kita ayat ini duk mana. Paling kurang kena tahu ayat ini terletak di atas, bawah, kiri, kanan.

9. Berkawan dengan rakan yang boleh membantu kita dalam hafazan.

Minta tolong kawan semak bacaan kita dari semasa ke semasa. Carilah kawan yang sama hobi dengan kita. Masa ruang yang terluang pakat semak quran. Seronok tengok budak-budak hafiz hari-hari di tangannya ada quran, contohnya Irfan. Masya Allah Tabarakallah. Jadi kena pakat jumpa Irfan untuk tasmik quran.

Ini antara tips smart hafazan yang ustaz kogsikan. Ustaz doakan agar kalian dirahmati Tuhan, diberikan kejayaan dalam STAM yang akan datang, dipermudahkan urusan dalam hafazan al- quran bukan setakat dalam sukatan pelajaran tapi hafaz seluruh kandungan quran sebab orang berilmu itu dalam dadanya ada al-Quran.



Monday, May 1, 2017

Isra' dan Mikraj


30 APRIL 2017


1. Hidup kita atas muka bumi ini adalah sebagai hamba kepada Allah yang maha berkuasa. Kita mulia apabila menjadi hamba kepada-Nya. Allah sebut dalam awal surah al-isra’: “Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya. Allah sebut nabi Muhammad sebagai hamba. Maka kita sebagai umat Nabi juga mesti meletakkan diri kita sebagai hamba. Memperhambakan diri kepada Allah adalah kemuncak kemuliaan manusia. Sebaliknya memperhambakan diri kepada selain Allah adalah celaka dan merana.

2. Perjalanan nabi berlaku pada waktu malam. Waktu malam adalah waktu yang sangat sesuai untuk seorang hamba bersama tuannya. Saat ketika orang tidur tapi si hamba bangun tunduk dan rukuk menyembah Tuhan. Solat yang paling Afdhal selepas solat fardhu ialah solat malam.

“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan apa apa rezeki yang Kami berikan.”(as-sajdah:16).

3. Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Hubungan antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa adalah hubungan yang mulia dengan yang mulia. Atas muka bumi ini tempat yang paling mulia ialah masjid. Masjid yang paling mulia ialah Masjidil Haram, nombor dua Masjid Nabawi, nombor tiga Masjidil Aqsa. Nombor empat masjid kita ni. Begitu juga masjid lain. Orang mukmin dia akan jatuh cinta dengan masjid. Sesiapa yang hatinya terpaut dengan masjid maka dia akan dapat lindungan  pada hari qiamah. يوم لا ظل إلا ظله.

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.(at-taubah:18)

4. Perkara paling penting dalam isra’ mikraj ialah pengsyariatan solat. Solat merupakan tiang bagi agama. Solat adalah lambang keimanan seseorang. Awal mula penghisaban hari akhirat ialah solat. Batas antara iman dan kufur ialah solat. Tiada bahagian dalam Islam bagi sesiapa yang tak solat. Solat ibarat kepala kepada jasad.

5. Sejauh mana amalan solat kita? Adakah solat kita lakukan sehari semalam seperti mana kehendak nabi صلى الله عليه وسلم?
صلوا كما رأيتموني أصلي

Bagi laki-laki solat lima waktu hendaklah dilaksanakan berjamaah di masjid. Berapa orang boleh berjamaah lima waktu? Nabi amat menitikberatkan solat berjamaah. Dalam hadis riwayat Muslim Nabi bagitahu bahawa tiada yang tidak hadir jamaah itu kecuali dia seoarang munafik yang maklum akan kemunafikannya. Tak rasa munafikkah kita kalau tak hadir solat berjamaah? Suka sangat kita tunding jari orang itu munafik orang ini munafik. Kita tak pergi masjid tak munafiq? Hadis daripada Ibni Mas’ud:

من سره أن يلقى الله غداً مسلماً فليحافظ على هؤلاء الصلوات الخمس حيث ينادى بهن، فإن الله شرع لنبيكم سنن الهدى وإنهن من سنن الهدى ولو أنكم صليتم في بيوتكم كما يصلي هذا المتخلف في بيته لتركتم سنة نبيكم ولو تركتم سنة نبيكم لضللتم وما من رجل يتطهر فيحسن الطهور ثم يعمد إلى مسجد من هذه المساجد إلا كتب الله له بكل خطوة يخطوها حسنة ويرفعه بها درجة، ويحط عنه سيئة، ولقد رأيتنا وما يتخلف عنها إلا منافق معلوم النفاق، ولقد كان الرجل يؤتى به يهادى بين الرجلين حتى يقام في الصف
Barangsiapa yang suka untuk bertemu Allah esok hari (qiamat) dalam keadaan muslim, maka hendaklah dia menjaga solat lima waktu dengan berjemaah di mana sahaja azan berkumandang. Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan kepada Nabi kamu jalan-jalan hidayah, dan sesungguhnya solat berjemaah itu sebahagian daripada jalan-jalan hidayah. Maka jika kamu solat di rumah-rumah kamu sebagaimana orang yang tidak hadir ini bersolat di rumahnya, maka sebenarnya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan jika kamu meninggalkan sunnah nabi kamu, nescaya kamu akan sesat. Dan tidaklah seseorang yang bersuci dengan sebaiknya kemudian dia menuju ke masjid melainkan ditulis baginya setiap langkah satu kebaikan, diangkatnya satu darjah dan dihapuskanya satu dosa. Dan sesungguhnya kami melihat dalam kalangan kami bahawa tiada yang tidak hadir untuk berjemaah melainkan orang munafik yang jelas kemunafikannya. Dan sesungguhnya ada seorang lelaki yang uzur dibawa untuk berjemaah dengan dipapah oleh dua orang, sehinggalah dia diletakkan ke dalam saf.

Semoga Allah selamatkan kita daripada penyakit nifaq. Berpura-pura beragama sedangkan hatinya kosong daripada keimanan. Teringat pesan tok guru satu ketika dulu, “Orang nak perjuang islam tapi malas solat jemaah sebenarnya dia main-main saja tu. Tak ssungguh”. 

Kalu tak bersungguh maka bila Allah nak bagi kemenangan?