"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, March 29, 2021

Rahmat Islam Kepada Umat

 


Agama Islam adalah agama yang sempurna ajarannya. Ianya datang daripada Allah yang menjadikan alam sarwa ini. Allat sememangnya bersifat dengan kasih sayang. Allah maha pemurah, Alah maha penyayang. Arahan Allah kepada hambaNya tidak ada satu pun yang membebankan. Ianya penuh dengan kasih sayang dan rahmat.

وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ

“dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.(al-Haj:78)”

Mungkin ada orang yang rasa tugas yang telah diberikan kepada mereka itu amat berat dan mereka rasa mereka tidak mampu melakukannya. Allah bagitahu di dalam ayat ini bahawa tugas yang diberikan kepada kita itu bukanlah berat lagi membebankan.  Allah tidak membebankan kepada kita apa-apa yang tidak mampu kita kerjakan.

Tiada kita dengar berita seorang wanita mati lemas kerana mengenakan jilbab. Tiada juga kita tahu bahawa ada orang mati kerana ibadat puasa. Mati sebab tercekik makan adalah. Syariat dalam agama Islam semuanya berbentuk mudah dan memudahkan. Bahkan kalau kita tengok kaedah usul fiqh ada beberapa perkara yang menekankan kemudahan. Di antaranya:

1. الضرر يزال

“Kemudaharatn itu dihalangkan” .

2. المشقة تجلب التيسير

“Kesukaran membawa kepada keringanan.”

 

Banyak dalil daripada al-Quran menerangkan akan hal ini. Contohnya firman Allah:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu” (al-Baqarah:185)

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”(al-Baqarah:286)

يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُخَفِّفَ عَنْكُمْ وَخُلِقَ الْإِنْسَانُ ضَعِيفًا

“Allah bendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (an-Nisaa’:28)

Nabi Saw. pernah bersabda:

بُعِثْتُ بالحنِيفيَّة السَّمحة

“Aku diutus dengan membawa agama Islam yang hanif lagi penuh toleransi.”

Rasulullah Saw. bersabda kepada Mu’az dan Abu Musa, ketika baginda mengutus  keduanya menjadi amir di negeri Yaman:

بَشِّرا ولا تُنَفِّرَا، ويَسِّرا وَلَا تُعسِّرَا

“Sampaikanlah berita gembira dan janganlah kamu berdua membuat mereka lari (darimu).

dan bersikap mudahlah kamu berdua, janganlah kamu berdua bersikap mempersulit.”

Sebab itu para ustaz dalam menyampaikan kuliah dan ceramah hendaklah jangan memayahkan. Contohnya dalam bab bersih najis selepas buang air besar janganlah bagitahu sampai kena masukkan jari ke dubur dan gerakkan ke kiri ke kanan supaya najis keluar dengan sempurna. Ini merumitkan. Boleh kena buasir lagu ni. Islam tidak memayahkan. Sehingga ada orang beribadat jadi was-was.

Kepada siapa keluasan dan kerahmatan hidup ini dapat dinikmati? Al- Quthubi dalam tafsirnya menyatakan bahawa ianya hanya dapat dirasai oleh orang yang beristiqamah dalam menjalankan suruhan Allah. Adapun para penjenayah, orang yang tak mahu tunduk kepada hukum Allah maka hidupnya sentiasa berada di dalam kesempitan.

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman (al-an’am: 175).

 

Monday, March 4, 2019

Amalan memudahkan Rezeki

Rezeki itu datangnya daripada Allah. Di antara nama-nama Allah ialah al-Razzaq – Yang Maha Pemberi Rezeki. Untuk memperoleh rezeki maka mestilah melalui pemberi rezeki. Antara amalan supaya dimudahkan rezeki ialah:
 
1) Solat berjemaah di masjid.

Mafhum firman Allah: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa. (Taha: 132)

Ramai orang yang mengeluh mengapa hidupnya susah. Hutang keliling pinggang, hidup payah, penyakit bertambah, ahli keluarga selalu berbalah, hati selalu keluh kesah. Kita bertanya mengapa hidup sulit seperti ini, adakah jalan keluar? Mengapa doa seakan tidak berjawab, mengapa Allah seolah tidak peduli? 

Dalam surah Al Baqarah ayat 153 Allah mengingatkan supaya minta pertolongan pada Allah dengan sabar dan solat. Jika hidup selalu dirudung malang dan berbagai kesulitan, periksalah diri, mungkin kita kurang mendekatkan diri kepada Ilahi. Mungkin kita enggan dan sombong untuk berdoa pada-Nya. Ayuh kita dekatkan diri kita dengan rumah Allah. Solat sejara berjemaah. Semoga rezeki kita bertambah.

2) Menghadiri Majlis Ilmu.

Banyak kemuliaan yang Allah berikan kepada para pencari ilmu. Allah memuliakan hamba-Nya yang menyibukkan dirinya dalam ilmu, dengan ilmulah seorang hamba mengenal Tuhannya. Bahkan Allah berjanji menjamin rezeki pencari ilmu. Nabi Muhammad SAW. memberikan perkhabaran bahawa Allah menjamin rezeki pencari ilmu, maka tidak sepatutnya bagi para pencari ilmu khuatir tentang rezeki yang akan mereka dapatkan. 

Jaminan Allah Swt. yang diberikan kepada pencari ilmu adalah rezeki yang memiliki hubungan dengan kebahagiaan, kemuliaan, dan keselamatan dari tabir Allah Swt. Para pencari ilmu mendapatkan rezeki yang menyenangkan. Alhamdulillah, masjid di kampung kita dipenuhi dengan majlis ilmu. Kuliah dan ceramah boleh dikatakan ada setiap hari. Hadirlah majlis-majlis ini. Tak lama pun. Antara maghrib dengan Isya sahaja. Banyak manfaat yang kita akan dapat.  

Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [ Muslim ]

3) Mentadabbur Ayat Suci al-Quran

Cara mentadabbur ayat al-Quran ialah membaca, memahami dan menghayati  maknanya. Semuanya itu bermula dengan belajar. Belajarlah al-Quran. Tiada istilah terlewat dan lewat untuk memulai mempelajari al-Quran. Ruginya hidup jika tak pandai baca quran. Al-Quran ini untuk dibaca, difahami, dihayati. Barulah hidup kita diberkati dengan rezeki daripada Ilahi. Untuk pencari rezeki, Fahami dan tadabburlah ayat 2 – 3 surah al-Tholaq.

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di duga, dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkannya, sesungguhnya Allah melaksana urusan yang dikehendakiNya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.

Saturday, April 29, 2017

Jahannam Yang Mengintai




(21). إِنَّ جَهَنَّمَ كَانَتْ مِرْصَادًا
Sesungguhnya neraka Jahannam itu (adalah disediakan) ada tempat pengintai,


(22). لِلطَّاغِينَ مَآبًا
lagi menjadi tempat kembali bagi orang-orang yang melampaui batas,


(23). لَابِثِينَ فِيهَا أَحْقَابًا
mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya,

Allah sediakan dua tempat saja untuk manusia, samada syurga atawa neraka. Neraka jahannam ni tempat azab. Tiada manusia suka masuk ke dalamnya. Semoga Allah selamatkan kita daripada neraka jahannam. Dalam ayat 21 surah an-naba’, Allah bagitahu bahawa neraka jahannam sebagai intaian siapa yang masuk ke dalamya. Neraka jahannam mengintai, mengintip, mencari manusia yang akan masuk ke dalamnya.

Siapa yang akan masuk dalam jahannam ini? Tempat ini disediakan untuk orang yang melampaui batas. Ayat ini tak kata bahawa jahannam ini untuk orang kafir.  لِلطَّاغِينَ- untuk orang yang melampaui batas. Mungkin juga orang Islam sebab ada juga orang Islam yang melampaui batas. Ciri-ciri orang yang melampaui batas ini dia sombong, takabbur, tak dengar kata, lawan hukum Tuhan. Ini semua adalah ciri-ciri yang mana Allah nak masukkan dia dalam jahannam.

Berapa lama dalam neraka jahannam ini? Mereka duduk berabad-bad.  Perkataan أَحْقَابًا membawa maksud plural- beberapa huqub. kata ulama satu huqub bersamaan dengan 80 tahun. Maknanya kalau masuk jahannam paling kurang kena 3 huqub. Dalam bahasa Arab dia ada mufrad, muthanna, jamak. Tiga baru jamak. Dia tak serupa dengan bahasa orang putih lepas singular jadi plural selalu.

Kalimah أحقاب paling sikit 3 dan ke atas. Kita ambillah yang paling sikit iaitu 3 huqub. Lama tu. 240 tahun duduk dalam neraka. Kita kena ingat bahwa satu hari akhirat bersamaan dengan seribu tahun dunia. Kiralah berapa juta tahun paling minimum orang masuk dalam neraka jahannam. Allahu akbar.

Mudah-mudahan kita semua selamat daripada neraka jahannam. Ada satu doa nabi pesan supaya kita baca masa tahiyyat akhir sebelum bagi salam. Doanya berbunyi begini 
:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Kita pakat doa sepaya aman daripada neraka jahannam. والله أعلم