"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Showing posts with label catatan perjalanan. Show all posts
Showing posts with label catatan perjalanan. Show all posts

Saturday, June 27, 2015

Tazkirah Ramadan 1436 – Malam 10: Tadabbur Surah at-taubah



Disampaikan oleh: al-ustaz Azarizal Mohd Alawi(ust. Ja)
Tempat: Madinah Ramadan, Kota Bharu

Bermula dengan solat Isya’ tadi Imam kita membaca surah at-taubah ayat 111:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآَنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itulah janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar.

Adik kakak yang dihormati sekalian, surah at-taubah ini kembarnya ialah surah al-anfal. Sebelum surah at-taubah ialah surah al-anfal. Kita kata dua surah ni kembar sebab antara dua surah ini tiada bismillah. Kedua-kedua surah ini banyak membicarakan tentang perang.

Dalam ayat 111 surah at-taubah Allah memberitahu tentang kelebihan berjihad di jalan-Nya. Bahawa Allah membeli mereka dengan syurga. Inilah besarnya orang yang berjihad di jalan Allah. Kita baca surat khabar di rumah tentang peperangan di Syiria, ada orang kita menyusup ke sana. Di Afghanistan ada orang kita berjihad di sana, Yang terkini Rohingya. Apabila mereka disembelih dibakar maka ada pemuda yang mempunyai kesedaran bangkit menentang kezaliman dan ada orang kita pergi ke sana untuk berjihad fisabilillah.

Syahid di jalan Allah adalah jalan mudah untuk ke syurga. Ambo teringat as-Syahid Ibrahim Libya, kita panggil dia as-Syahid dan mudah-mudahan beliau mendapat syahid di sisi Allah. Beliau seorang yang selalu bercita-cita untuk syahid dan akhirnya beliau gugur kerana menegakkan Islam, bukan mati di atas katil.

Dalam ceramah beliau, kaset dia pun ada. Beliau mengatakan bahawa orang masuk syurga ini adalah kalangan nabi. Kita memang kompom tidak nabi. Yang masuk syurga juga dalam kalangan siddiqin. Kalangan siddiqin ini seperti Abu Bakar as-siddiq- yang membenarkan semua ajaran nabi. Kita membenarkan juga tapi.. ada tapi. Abu Bakar mensedeqahkan seluruh hartanya di jalan Allah. Apabila orang tanya Kar! Kar ini Abu Bakarlah. Kar!Mu tinggal gapo ko anak bini. Abu Bakar jawab Allah dan rasul.

Kita sedeqah juga tapi seringgit itupun duit buruk. Nak tanya adik kakak kalu ada dua helai duit seringgit, satu baru satu lama, hak mana yang disedeqahkan? Hak lama. Ambo tahulah sebab ambo bilang duit, jadi amilin. Tengah-tengah bilang tersalah carik, kalut cari soletep.

Kalangan ahli syurga juga daripada orang soleh. Ambo ni tak soleh tapi adik kakak ambo tak tahu. Nak soleh lagu mana baca quran baru Auuzubillah dah menguap dah. Jadi jalan ringkas nak masuk syurga ialah syahid di jalan Allah. Nak berjuang di jalan Allah tak perlu jadi alim. Sesiapa saja boleh.
Kita semua nak masuk syurga. Hak mari sini ni cuba angkat tangan siapa yang tak mahu syurga ada tak? Kalu ada nak pekong dengan speaker. Orang yang duduk atas wakaf main terup main gitar kalau kita kata kat mereka bahawa mereka ni masuk neraka mesti mereka marah.

Mereka berperang di jalan Allah. Mereka membunuh dan dibunuh. Kedua-duanya adalah mulia samada dapat membunuh musuh atau dibunuh oleh musuh dan ini adalah janji Allah. Allah apabila berjanji dia tak akan mungkir janji. Kita janji juga tapi tak ditepati. Janji dengan anak kalau dapat 3A UPSR abah nak beli basikal. Anak ni baca dan baca dan baca sehingga dapat 4A. Balik rumah abah kata tak boleh beli basikallah sebab dulu janji 3A. Jem kreng anak!

Janji Allah ini bukan saja dalam quran tapi juga dalam taurat dan Injil. Maknanya arahan berjihad ni bukan kita saja tapi juga kepada ummat terdahulu sebelum kita. Siapakah yang lebih menepati janji selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan. Itulah kejayaan yang besar.

Ambo juga ingin memetik ayat 122:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka Telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

Ayat tersebut menyatakan bahawa tidak boleh semua ikut berperang. Satu kampung pergi perang belaka, Tak boleh. Kena ada sebahagian yang mendalami ilmu agama supaya apabila mereka balik mereka boleh memberi peringatan kepada kaumnya. Memberi peringatan ini bukan sekadar mengajar saja, dia lebih daripada itu. Kena bagi peringatan.

Ada tok lebai ni dia lebai seorang dia, Ulang alik sekolah masjid sekolah. Orang tolak hukum Allah dia tak rasa apa, orang buat maksiat dia tak cegah. Yang penting dia pergi masjid. Maulud ngatik saja. Orang nak pergi berlaga ayam dia kata tak apalah, ambo nak gi masjid. Tak boleh lagutu.

Jadi ambo nak sebut kepada tok lebai hak balik Mesir ke Jordan ke Pakistan ke agar kita ni kena beri perigatan kepada orang ramai. Tak boleh kita lebai seorang diri.

Ada satu hadis nabi. Ambo bila dengar hadis ini Allah!!. Diriwayatkan bahawa Allah suruh Malaikat Jibril angkat satu bukit dan dirembah ke atas satu penduduk yang telah banyak melakukan maksiat. Jibril pun angkatlah bukit tersebut tiba-tiba masa dia nak rembah dia nampak seorang tok lebai. Rupa-rupanya dalam kampung tu ada seorang tok lebai yang sedikt pun tak buat maksiat. Jibril patah balik jumpa Allah. Allah jawab mu ambil bukit tu mu rembah mula-mula sekali atas kepala tok lebai tu sebab dia tak rasa langsung nak cegah penduduk kampung daripada buat maksiat. Mu rembah atas kepala dia dulu, ni nate tak guna.

wallahua’lam.

ambo-saya
gapo-apa
pekong-baling
wakaf-tempat rehat
rembah-hempas
ngatik-tahlil
nate-binatang
lagu mana-macamana
lagutu-begitu

Friday, February 28, 2014

Sehari di Pulau Banggi



Di antara tugas rutin saya sebagai pensyarah di IPG ialah menyelia pelajar menjalani latihan mengajar (praktikum) di sekolah. Tugas menyelia ini dilakukan di sekolah-sekolah seluruh negeri Sabah.

Semenjak menjadi pensyarah pada tahun 2004 sehingga sekarang, sudah benyak sekolah saya lawati. Di bandar, di pekan di desa maupun di pulau nun jauh di pedalaman. Alhamdulillah, kata orang tua-tua “Jauh perjalanan luas pengetahuan, banyak pengalaman”.

يقول الشافعي ، وتنسب إلي علي بن أبي طالب – رضي الله عنه - :
تَغَرَّب عَنِ الأَوطانِ في طَلَبِ العُلى**** وَسافِر فَفي الأَسفارِ خَمسُ فَوائِدِ
تَفَرُّيجُ هَمٍ وَاِكتِسـابُ مَعيشَـةٍ ****وَعِلمٌ وَآدابٌ وَصُحبَةُ ماجِـدِ

Berkata al-imam as-Syafie dan dinisbahkan kepada Ali bin Abi Tholib
"Mengembaralah dengan meninggalkan negeri-negerimu untuk mencari kemuliaaan. Dan bermusafirlah kerana terdapat lima faedah bermusafir iaitu menghilangkan kedukaan, mencari rezeki, faedah ilmu, faedah adab dan menemani orang yang mulia."

Saya sudah banyak kali menyelia di pulau. Dalam banyak-banyak pulau, bagi saya Pulau Banggi adalah yang paling seronok. Sebelum ini saya belum pernah ke Pulau Banggi. Kali pertama kaki saya pijak Pulau Banggi ialah pada hari Isnin, 24 Februari 2014. Saya menyelia pelajar DPLI j-QAF yang bernama Fakhrudin Mat Zin di Sekolah Kebangsaan Kapitangan, Banggi. 



Perjalanan ke Pulau Banggi mengambil masa 1 jam 15 minit dengan menaiki feri dari jeti Kudat ke jeti Karakit, Pulau Banggi. Untuk sampai ke SK Kapitangan perlu menaiki kereta pacuan empat roda selama sejam kemudian berjalan kaki lebih kurang 5 kilometer. Saya memulakan perjalanan pada jam 230 petang menaiki feri menuju ke Karakit, Pulau Banggi.

terminal feri

Alhamdulillah. Sepanjang perjalanan saya dapat rakam pelbagai ragam kehidupan yang boleh dijadikan pengajaran dan tauladan. Perjalanan ke Pulau Banggi memberi saya beberapa catatan   yang perlu difikirkan.

Catatan Pertama, Sepanjang berada di atas feri banyak masa saya habiskan untuk mengaji. Saya mengaji dengan suara yang sekira-kiranya boleh didengari oleh diri sendiri bersama dengan deruan ombak.
اقرأوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعاً لأصحابه
“Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang menjadi syafaat kepada para pembacanya pada hari qiamat”

Rupa-rupanya suara mengaji saya juga dihayati oleh seorang makcik yang duduk depan saya. Semasa saya berdiri ketika feri hampir ke jeti makcik itu cakap dia suka dengar saya mengaji. Tenang katanya. Katanya lagi bahawa dia seorang muallaf, tak pandai mengaji. Katanya di tempat dia tinggal, Kampung Limbuak kebanyakannya muallaf.

Saya sempat berkenalan dan bertemuramah dengan makcik tadi sebelum berpisah menuju destinasi. Namanya yang dulu saya tak ingat tapi namanya yang baharu ialah Noraidah Abdullah. Tinggal di Kampung Limbuak, menganut Islam beberapa tahun yang lalu. Dia mengeluh kerana tiada ustaz yang nak ajar Islam.

Beliau hanya tahu solat melalui pembacaan buku sahaja. Katanya orang muallaf di kampung Limbuak lebih suka solat berbanding penduduk Islam yang asal. Saya terpukul dengan kata-kata makcik ni. Saya sempat memberi dorongan kepadanya agar belajar tentang Islam dengan lebih mendalam. Juga saya bagitahu Insya Allah kalau ada masa saya akan berprogram di sana.

" مُعَلِّمُ الْخَيْرِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ كُلُّ شَيْءٍ حَتَّى الْحِيتَانُ فِي الْبَحْرِ "
“Semua makhluk termasuk ikan-ikan di laut akan mendoakan kepada orang yang mengajar kebaikan”

Catatan kedua, saya disambut oleh Encik Taufiq, aktivis USIA di Pulau Banggi. Kehadiran saya ke Pulau Banggi diketahui melalui rakannya Encik Emran. Beliau minta supaya Encik Taufiq mengurus program ceramah saya di Pulau Banggi. 

bersama En. Taufik di Jeti Karakit

Melalui Encik Taufiq saya dapat sedikit maklumat tentang perkembangan Islam di sini.  Betullah apa yang makcik tadi cakap. Program keagamaan amat kurang dan jarang. Ramai lagi penduduk yang agamanya pagan. Orang Islam kehidupun mereka macam kapal selam. Timbulnya hanya masa keraian.

Saya minta maaf kepada Encik Taufiq kerana terpaksa masuk ke Kapitangan untuk tugasan menyelia pada hari esok. Insya Allah selepas ini mungkin dapat diatur. Saya meneruskan perjalanan ke  SK Kapitangan pada jam 4 15 petang, menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Sepanjang perjalanan saya dapat melihat keindahan alam ciptaan tuhan. Merenung kepelbagaian perbezaan yang mewarnai kehidupan. Kereta melalui jalan berhutan yang tidak berturap dengan keadaan hari yang semakin gelap.




Catatan ketiga, semasa point terakhir kereta berhenti ada seorang pelajar perempuan turun dari bahagian belakang kereta. Ainah namanya. Pelajar ini belajar di SMK Banggi dalam tingkatan tiga. Untuk ke sekolah dia mesti memulakan perjalanan  seawal jam 4 pagi untuk ke SMK Banggi. Saya berasa kagum dengan Ainah. Berulang alik pergi sekolah tanpa menghirau penat dan lelah. Semoga dia diredai Allah.

laluan kereta hanya setakat sini. perlu jalan kaki untuk sampai ke destinasi

Pelajar ini tinggal di kampung Nusa-Nusa, berdekatan dengan SK Kapitangan. Sambil berjalan ke tempat tujuan saya bertanya pelajar ini kenapa berulang alik ke sekolah, keluar pagi balik malam. Dia kata kemudahan asrama tidak cukup. Ada lagi orang yang lagi jauh daripadanya. Masya Allah Tabrakallah. Anak saya yang jarak sekolahnya dengan rumah 350 meter pun mahu dihantar diambil dengan kereta. Pelajar ini sanggup menghabiskan wang, masa dan tenaga untuk mencara ilmu yang berharga.
من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga”

Kereta pacuan empat roda berhenti di Kapitangan. Untuk ke SK Kapitangan kena berjalan kaki menelusi paya bakau  sejauh 5 km. Nasib baik ada Manja, sepupu Ainah yang masih lagi menunggu dengan perahu untuk melangkah muara sungai. Jadi jarak perjalanan menjadi lebih dekat.

tumpang perahu Manja untuk ke seberang sana

Selepas berjalan kaki akhirmya saya sampai di SK Kapitangan. Jam ditangan menunjukkan angka enam dua puluh lima petang. Hampir masuk waktu maghrib. Saya menginap di tempat Fakhrudin. Alhamdulillah tempatnya lebih baik daripada sulap. Bolehlah saya tumpang melelapkan mata buat seketika menunggu esok menjelang tiba.

alhamdulillah. ada tempat untuk berteduh selepas badan dibasahi peluh

Di sini elektriknya bersumberkan tenaga cahaya solar manakala air berhajatkan kepada tadahan hujan. Jika hujan tidak turun dalam tempoh yang lama maka keadaan agak tidak selesa. Nasib baik jika ada telaga ataupun beli je mineral water.

ada juga panel solar rupanya. kalau kat IPG panel penggubal soalan

Catatan keempat, saya menyelia Fakhrudin pada 15 Februari 2014. Saya betemu dengan pihak sekolah. Guru besar tiada penolang kanan pun begitu juga. Yang ada penolong KOKUM. Selepas memperkenalkan diri saya terus memulakan operasi.

Rutin biasa ialah menyemak buku rancangan pengajaran harian, jurnal dan portfolio. Seterusnya melihat PdP di kelas. Jumlah pelajar hanya beberapa belas. Seperti biasa apabila selesai mata pelajaran pelajar diberi sedikit ulasan dan teguran ke arah penambahbaikan.

Sekolah ini mempunyai 13 guru dan kurang lebih 90 murid. Dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid. Pemandangan sekolah amat menarik dengan pemandangan laut yang luas terbentang, enak mata memandang dan amat bermakna bagi mereka yang mahukan pengajaran.

اللَّهُ الَّذِي سَخَّرَ لَكُمُ الْبَحْرَ لِتَجْرِيَ الْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ 

Cumanya keadaan fizikal sekolah yang dhaif dan bersepah. Ada juga bangunan yang rebah menyembah tanah. Alhamdulillah, ada juga insan guru yang tabah dan gagah menabur bakti di pedalaman Sabah dengan susah dan payah.

Saya berbangga dengan Fakhrudin yang mengajar dengan rajin walaupun statusnya belum dapat makan gaji walau sepuluh sen. Melalui guru pembimbing saya dapat tahu bahawa Fakhrudin seorang yang boleh diberikan cemerlang dengan budaya kerja yang ditunjukkan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.
 
Saya memberi semangat dan dorongan kepada pelajar saya agar menjalankan tugas dengan penuh wibawa. Didiklah murid kepada ajaran tauhid. Biar mereka hidup beragama jaga solat pandai baca quran.


Seusai menjalankan penyeliaan saya terus meninggalkan sekolah membubut feri jam dua petang. Kali ini saya tak perlu jalan kaki untuk ke stesen kereta kerana bot sudah tersedia, Cuma perlu bayar sewa saja. 



sebelum pulang tulis dulu di buku pelawat


selamat jalan. semoga berjumpa lagi


Di Karakit saya sempat berjumpa Suziani Sapin, pelajar saya yang rajin. Selepas habis PISMP, beliau diutuskan mengajar di Pulau Banggi, Mengajar di Logtuhuk. Sempat juga saya melontarkan kata-kata indah supaya dia mencari hikmah keberadaannya jauh dari rumah dan ibu ayah menyambung risalah menunaikan amanah. Insya Allah! Ada hikmahnya.

Sehari di Pulau Banggi. Banyak perkara yang saya pelajari. Keperluan masyarakat mahu mengaji, program agama yang perlu dipelbaiki, tabahnya pelajar yang ke sekolah pada awal pagi, semangat para guru di sini menabur bakti dan lain-lain persoalan  yang bermain di naluri. 

وَمَا أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَى مَا أَنْهَاكُمْ عَنْهُ إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ  
(Hud:88)

Thursday, September 12, 2013

Menawan Puncak Gunung Kinabalu(sambungan)



                                                                    Menikmati dinner di Laban rata

Sampai di Laban Rata kami terus ke kantin isi perut yang dah keroncong. Malam ni ada perlawanan bola sepak akhir Piala Malaysia, Kelantan lawan ATM. Tok Nebang berminat untuk mengikutinya namun apakan daya TV tak ada.

Jam 930 malam saya kesejukan. Jawabnya terus tidur dalam selimut tebal. Sajuk bah. Tidur saya taklah jenak mana. Sekitar jam 10 malam saya dengar perbualan Hadi. Hadi dapat maklumat daripada kampung di Kelantan bahawa Kelantan mendahului ATM 2- 1. Gomo Kelate Gomo!

            Talimat ringkas sebelum mendaki

Ahad, 21 Oktober 2012, jam 130am kami sudah bangun untuk meneruskan pendakian. Seusai qiamullail dan mengambil sedikit makanan kami berkumpul untuk taklimat perjalanan. Berbekalkan semangat yang tinggi menggunung, doa dan tawakkal serta motivasi berita kemenangan Kelantan malam semalam, kami mulakan pendakian jam 230am.

Kami akan menempuh 2 km untuk sampai ke puncak. Perjalanan biasa mengambil masa 2 hingga 3 jam. Laluan kali ini agak mencabar dan memeritkan. Dalam kumpulan kami tiada seorangpun bawa lampu. Makanya dalam penglihatan yang kurang impas kami meraba-raba mengikuti trek. Hanya tumpang peserta lain yang ada lampu. Memang gelap. Nasib baik kat dunia ni boleh tumpang cahaya  daripada lampu orang. Kat akhirat tak boleh. Masing-masing bawa diri.

Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: "Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu." Dikatakan (kepada mereka): "Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)." Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada siksa. Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) seraya berkata: "Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?" Mereka menjawab: "Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu- ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah;dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.(al hadid:13-14)

Di pertengahan jalan sudah ramai yang kecundang. Mereka patah balik ke belakang. Masalah altitude sickness. Kebanyakannya pendaki dari Korea. Saya pun sudah mula terasa kekurangan oksigen. Saya, Hadi dan Tok Nebang sudah kepenatan. Alif dan Ikram dah jauh ke hadapan.
                                                  Tok Nebang bersama dua orang anaknya


Dalam susah payah kami berjaya juga sampai di Sayat-sayat check point, tempat yang melayakkan pendaki mendapat sijil penuh. Subuh sudah masuk. Kami solat di kawasan lapang atas batu. Ikram dan Alif sudah sampai Low’s Peak, tempat paling kemuncak.

 berehat selepas solat subuh

                                                      Kepenatan, kesejukan sambil merenung keindahan alam
 

630 am. Kami berada di kawasan lapang Gunung tapi belum sampai ke puncak. Siang sudah muncul manakala malam sudah pergi. Nampak indah alam ini. Alam ciptaan ilahi.

Subhanallah! Jika sebelum ini saya hanya dengar pengalaman kawan, tapi hari ini saya sendiri dapat rasakan. Penat mendaki disusuli dengan takbir membesarkan ilahi, memberi pengajaran dan iktibar bagi mereka yang mengerti.




Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun ? Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang utuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata, untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat Allah).(qaf:6-8)
                                                                 Kelantan 2 ATM 1 Tahniah Kelantan!



Betullah. Kejayaan tidak dapat dicapai dengan jalan senang. Puncak Gunung Kinabalu tidak dihampar dengan permaidani merah. Begitu juga perjalanan hidup sebagai pembela agama Allah. Untuk melihat Islam tertegak maka kita tidak boleh menyerah kalah. Kita mesti berusaha dan terus berusaha sehingga ke gerbang jaya- Kemuncakya ialah nikmat syurga.

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”(al ankabut:2-3)

                                                               Low's Peak, kemuncak Gunung Kinabalu


Dengan tenaga yang masih berbaki kami terus mendaki untuk sampai Low’s Peak. Jam 800am kami sampai akhirnya. Walaupun kumpulan kami uncit tapi kami syukur sebab sampai. Tidak semua pendaki sampai kawasan ini. Oleh kerana masa sudah lewat maka kami terus mulakan aktiviti turun.




Alhamdulillah, kami selamat tiba di Timpohon jam 5pm. Di kaki gunung, isteri dan anak- anak sudah sedia menunggu. Kami buat sedikit majlis penyerahan sijil sesama kami. Terima kasih kepada Abang guide yang amat sabar ikut kami naik dan turun gunung.

 Antara tempat curam dan bahaya, perlu guna tali

                                                                                PALAPES KUSZA



Kumpulan terakhir meninggalkan Sayat-sayat Check Point

Majlis penyampaian sijil kepada peserta yang berjaya