"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Friday, February 28, 2014

Sehari di Pulau Banggi



Di antara tugas rutin saya sebagai pensyarah di IPG ialah menyelia pelajar menjalani latihan mengajar (praktikum) di sekolah. Tugas menyelia ini dilakukan di sekolah-sekolah seluruh negeri Sabah.

Semenjak menjadi pensyarah pada tahun 2004 sehingga sekarang, sudah benyak sekolah saya lawati. Di bandar, di pekan di desa maupun di pulau nun jauh di pedalaman. Alhamdulillah, kata orang tua-tua “Jauh perjalanan luas pengetahuan, banyak pengalaman”.

يقول الشافعي ، وتنسب إلي علي بن أبي طالب – رضي الله عنه - :
تَغَرَّب عَنِ الأَوطانِ في طَلَبِ العُلى**** وَسافِر فَفي الأَسفارِ خَمسُ فَوائِدِ
تَفَرُّيجُ هَمٍ وَاِكتِسـابُ مَعيشَـةٍ ****وَعِلمٌ وَآدابٌ وَصُحبَةُ ماجِـدِ

Berkata al-imam as-Syafie dan dinisbahkan kepada Ali bin Abi Tholib
"Mengembaralah dengan meninggalkan negeri-negerimu untuk mencari kemuliaaan. Dan bermusafirlah kerana terdapat lima faedah bermusafir iaitu menghilangkan kedukaan, mencari rezeki, faedah ilmu, faedah adab dan menemani orang yang mulia."

Saya sudah banyak kali menyelia di pulau. Dalam banyak-banyak pulau, bagi saya Pulau Banggi adalah yang paling seronok. Sebelum ini saya belum pernah ke Pulau Banggi. Kali pertama kaki saya pijak Pulau Banggi ialah pada hari Isnin, 24 Februari 2014. Saya menyelia pelajar DPLI j-QAF yang bernama Fakhrudin Mat Zin di Sekolah Kebangsaan Kapitangan, Banggi. 



Perjalanan ke Pulau Banggi mengambil masa 1 jam 15 minit dengan menaiki feri dari jeti Kudat ke jeti Karakit, Pulau Banggi. Untuk sampai ke SK Kapitangan perlu menaiki kereta pacuan empat roda selama sejam kemudian berjalan kaki lebih kurang 5 kilometer. Saya memulakan perjalanan pada jam 230 petang menaiki feri menuju ke Karakit, Pulau Banggi.

terminal feri

Alhamdulillah. Sepanjang perjalanan saya dapat rakam pelbagai ragam kehidupan yang boleh dijadikan pengajaran dan tauladan. Perjalanan ke Pulau Banggi memberi saya beberapa catatan   yang perlu difikirkan.

Catatan Pertama, Sepanjang berada di atas feri banyak masa saya habiskan untuk mengaji. Saya mengaji dengan suara yang sekira-kiranya boleh didengari oleh diri sendiri bersama dengan deruan ombak.
اقرأوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعاً لأصحابه
“Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang menjadi syafaat kepada para pembacanya pada hari qiamat”

Rupa-rupanya suara mengaji saya juga dihayati oleh seorang makcik yang duduk depan saya. Semasa saya berdiri ketika feri hampir ke jeti makcik itu cakap dia suka dengar saya mengaji. Tenang katanya. Katanya lagi bahawa dia seorang muallaf, tak pandai mengaji. Katanya di tempat dia tinggal, Kampung Limbuak kebanyakannya muallaf.

Saya sempat berkenalan dan bertemuramah dengan makcik tadi sebelum berpisah menuju destinasi. Namanya yang dulu saya tak ingat tapi namanya yang baharu ialah Noraidah Abdullah. Tinggal di Kampung Limbuak, menganut Islam beberapa tahun yang lalu. Dia mengeluh kerana tiada ustaz yang nak ajar Islam.

Beliau hanya tahu solat melalui pembacaan buku sahaja. Katanya orang muallaf di kampung Limbuak lebih suka solat berbanding penduduk Islam yang asal. Saya terpukul dengan kata-kata makcik ni. Saya sempat memberi dorongan kepadanya agar belajar tentang Islam dengan lebih mendalam. Juga saya bagitahu Insya Allah kalau ada masa saya akan berprogram di sana.

" مُعَلِّمُ الْخَيْرِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ كُلُّ شَيْءٍ حَتَّى الْحِيتَانُ فِي الْبَحْرِ "
“Semua makhluk termasuk ikan-ikan di laut akan mendoakan kepada orang yang mengajar kebaikan”

Catatan kedua, saya disambut oleh Encik Taufiq, aktivis USIA di Pulau Banggi. Kehadiran saya ke Pulau Banggi diketahui melalui rakannya Encik Emran. Beliau minta supaya Encik Taufiq mengurus program ceramah saya di Pulau Banggi. 

bersama En. Taufik di Jeti Karakit

Melalui Encik Taufiq saya dapat sedikit maklumat tentang perkembangan Islam di sini.  Betullah apa yang makcik tadi cakap. Program keagamaan amat kurang dan jarang. Ramai lagi penduduk yang agamanya pagan. Orang Islam kehidupun mereka macam kapal selam. Timbulnya hanya masa keraian.

Saya minta maaf kepada Encik Taufiq kerana terpaksa masuk ke Kapitangan untuk tugasan menyelia pada hari esok. Insya Allah selepas ini mungkin dapat diatur. Saya meneruskan perjalanan ke  SK Kapitangan pada jam 4 15 petang, menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Sepanjang perjalanan saya dapat melihat keindahan alam ciptaan tuhan. Merenung kepelbagaian perbezaan yang mewarnai kehidupan. Kereta melalui jalan berhutan yang tidak berturap dengan keadaan hari yang semakin gelap.




Catatan ketiga, semasa point terakhir kereta berhenti ada seorang pelajar perempuan turun dari bahagian belakang kereta. Ainah namanya. Pelajar ini belajar di SMK Banggi dalam tingkatan tiga. Untuk ke sekolah dia mesti memulakan perjalanan  seawal jam 4 pagi untuk ke SMK Banggi. Saya berasa kagum dengan Ainah. Berulang alik pergi sekolah tanpa menghirau penat dan lelah. Semoga dia diredai Allah.

laluan kereta hanya setakat sini. perlu jalan kaki untuk sampai ke destinasi

Pelajar ini tinggal di kampung Nusa-Nusa, berdekatan dengan SK Kapitangan. Sambil berjalan ke tempat tujuan saya bertanya pelajar ini kenapa berulang alik ke sekolah, keluar pagi balik malam. Dia kata kemudahan asrama tidak cukup. Ada lagi orang yang lagi jauh daripadanya. Masya Allah Tabrakallah. Anak saya yang jarak sekolahnya dengan rumah 350 meter pun mahu dihantar diambil dengan kereta. Pelajar ini sanggup menghabiskan wang, masa dan tenaga untuk mencara ilmu yang berharga.
من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga”

Kereta pacuan empat roda berhenti di Kapitangan. Untuk ke SK Kapitangan kena berjalan kaki menelusi paya bakau  sejauh 5 km. Nasib baik ada Manja, sepupu Ainah yang masih lagi menunggu dengan perahu untuk melangkah muara sungai. Jadi jarak perjalanan menjadi lebih dekat.

tumpang perahu Manja untuk ke seberang sana

Selepas berjalan kaki akhirmya saya sampai di SK Kapitangan. Jam ditangan menunjukkan angka enam dua puluh lima petang. Hampir masuk waktu maghrib. Saya menginap di tempat Fakhrudin. Alhamdulillah tempatnya lebih baik daripada sulap. Bolehlah saya tumpang melelapkan mata buat seketika menunggu esok menjelang tiba.

alhamdulillah. ada tempat untuk berteduh selepas badan dibasahi peluh

Di sini elektriknya bersumberkan tenaga cahaya solar manakala air berhajatkan kepada tadahan hujan. Jika hujan tidak turun dalam tempoh yang lama maka keadaan agak tidak selesa. Nasib baik jika ada telaga ataupun beli je mineral water.

ada juga panel solar rupanya. kalau kat IPG panel penggubal soalan

Catatan keempat, saya menyelia Fakhrudin pada 15 Februari 2014. Saya betemu dengan pihak sekolah. Guru besar tiada penolang kanan pun begitu juga. Yang ada penolong KOKUM. Selepas memperkenalkan diri saya terus memulakan operasi.

Rutin biasa ialah menyemak buku rancangan pengajaran harian, jurnal dan portfolio. Seterusnya melihat PdP di kelas. Jumlah pelajar hanya beberapa belas. Seperti biasa apabila selesai mata pelajaran pelajar diberi sedikit ulasan dan teguran ke arah penambahbaikan.

Sekolah ini mempunyai 13 guru dan kurang lebih 90 murid. Dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid. Pemandangan sekolah amat menarik dengan pemandangan laut yang luas terbentang, enak mata memandang dan amat bermakna bagi mereka yang mahukan pengajaran.

اللَّهُ الَّذِي سَخَّرَ لَكُمُ الْبَحْرَ لِتَجْرِيَ الْفُلْكُ فِيهِ بِأَمْرِهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ 

Cumanya keadaan fizikal sekolah yang dhaif dan bersepah. Ada juga bangunan yang rebah menyembah tanah. Alhamdulillah, ada juga insan guru yang tabah dan gagah menabur bakti di pedalaman Sabah dengan susah dan payah.

Saya berbangga dengan Fakhrudin yang mengajar dengan rajin walaupun statusnya belum dapat makan gaji walau sepuluh sen. Melalui guru pembimbing saya dapat tahu bahawa Fakhrudin seorang yang boleh diberikan cemerlang dengan budaya kerja yang ditunjukkan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.
 
Saya memberi semangat dan dorongan kepada pelajar saya agar menjalankan tugas dengan penuh wibawa. Didiklah murid kepada ajaran tauhid. Biar mereka hidup beragama jaga solat pandai baca quran.


Seusai menjalankan penyeliaan saya terus meninggalkan sekolah membubut feri jam dua petang. Kali ini saya tak perlu jalan kaki untuk ke stesen kereta kerana bot sudah tersedia, Cuma perlu bayar sewa saja. 



sebelum pulang tulis dulu di buku pelawat


selamat jalan. semoga berjumpa lagi


Di Karakit saya sempat berjumpa Suziani Sapin, pelajar saya yang rajin. Selepas habis PISMP, beliau diutuskan mengajar di Pulau Banggi, Mengajar di Logtuhuk. Sempat juga saya melontarkan kata-kata indah supaya dia mencari hikmah keberadaannya jauh dari rumah dan ibu ayah menyambung risalah menunaikan amanah. Insya Allah! Ada hikmahnya.

Sehari di Pulau Banggi. Banyak perkara yang saya pelajari. Keperluan masyarakat mahu mengaji, program agama yang perlu dipelbaiki, tabahnya pelajar yang ke sekolah pada awal pagi, semangat para guru di sini menabur bakti dan lain-lain persoalan  yang bermain di naluri. 

وَمَا أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَى مَا أَنْهَاكُمْ عَنْهُ إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ  
(Hud:88)

11 comments:

Nazari Raduan said...[Balas]

"Yang hadir pada hari ini hanya 5 orang guru"...sedih,ada jugak guru yang begini....

Anonymous said...[Balas]

Allahuakbar....Mad'u yang dahagakan Dai'e.

Anonymous said...[Balas]

Amboi ustaz.....maaf cakapla...jgn asyik nk tuding jari or tuduh guru makan gaji buta....fahami dulu keadaan disana...duduk biar lebih seminggu....rasai dulu ribut barat...rasai dulu kehabisan bkln..rasai dulu mesyuarat yg perlu hadir berselang waktu di kudat tu....

hirro nick said...[Balas]

Klo mesyuarat isnin, rabu dan jumaat mcm mana ust..?

hirro nick said...[Balas]

Kasihannya guru2 pedalaman,sebulan hanya sekali jenguk family d kg...xder ja kat sek 1 malaysia tau...hanya guru pedalaman tau penderitaan mereka..tiada di sek bkn bermakna ponteng dn mkn gaji buta...mst ada mesyuarat n kursus...go2 guru2 pedalaman...wira sebenar...

Anonymous said...[Balas]

Setuju...dgn sumber yg terhad..makanan yg ala kadar ...berkongsi lg dgn lipas dan tikus..tiada liputan selular..tp mereka sanggup mengajar walau seketika...ampunilah org2 yang hanya pandai berkata kata...hidup di bandar bersama keluarga...tp bila dtg ke tempat org bermulut celupar pula....maaf cakap jangan terlalu berteori ustaz...

Anonymous said...[Balas]

Ustaz...tlalu cpt melabel guru itu makan gaji buta. Baru sehari ustaz berada dsna. Sedangkan mereka di dalam tu suda
bertahun2..jgn kerana sehari yg guru tu takda..dilabel sebegitu...nama pun skola pedalaman...pasti guru2 tu ada masalah urusan2 rasmi peribadi perlu diselesaikan, pejabat pos xda kot sna kan..sy pasti jauh di hati mereka masih merisaukan sekolah dan murid. Sebaiknya kt doakan terbaik utk mereka kerana sanggup bkorban jauh dr keluarga utk mngajar anak2 di sana...maafkan andai bicara sy tkasar ya ustaz..

Anonymous said...[Balas]

Alhamdulillah....menerima teguran..lain kali jgn hentam semberono....

hirro nick said...[Balas]

Good job Tn. Ust...sokongan dan inspirasi yg kita nak..kpd guru2 pedalaman jgnlah terasa hati dan lemah semangat..gunakanlah masa anda di pedalaman utk memajukan anak2 bangsa d pedalaman..dan kpd ust..terima kasih kerana sokongan anda...maaf jika terkasar bahasa

mohdrusli said...[Balas]

Alhamdulillah. Terima kasih kerana bertandang ke blog saya yang tak seberapa dan memberikan komen yang amat bermakna. Alangkah eloknya jika tanpa nama memperkenalkan diri. Mungkin kita sudah bertemu sebelum ini?

Catatan perjalanan saya adalah untuk muhasabah diri sendiri yang masih banyak perlu mengaji dan mengkaji. Bukan hendak mengata atau menunding jari kepada saudara ataupun saudari.

Gaji Buta dalam catatan saya adalah respon saya terhadap jawapan "Kat sini kerja mengajar nombor dua ustaz". "Tak pergi sekolah sebab ketam padi, urus kapal dua tiga biji". Kelapa sawit, getah belum kira lagi. Itulah orang yang saya maksudkan.

Makna katanya kalau saya mengabaikan murid sebab sibuk ketam padi, kira untung rugi niaga ikan sana sini, tak ke sekolah tanam getah, maka saya makan gaji buta.

Alhamdulillah sahabat-sahabat di Kudat, anda memang hebat. Kerja penat kurang rehat banyak mesyuarat di Kudat dengan kudrat yang terhad. Salam hormat!

akusape said...[Balas]

brapa harga sewa kereta pacuan 4 roda di Pulau Banggi itu?

Post a Comment