Ustaz bila nak buat phd? Soalan yang selalu saya terima daripada sahabat di IPG. Semenjak maktab perguruan dinaik taraf menjadi IPG ramai para pensyarahya telah menaiktaraf ijazah mereka. IPG induk mensasarkan pada 2018 nanti semua pensyarah memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana.
Saya sendiri telah ditawarkan cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa untuk membuat ijazah sarjana pada tahun 2007. Saya mula mengikuti pengajian sarjana pada 2008 selepas mengikuti kursus bahasa Inggeris di CELPED, UIAM.
Pengalaman membuat sarjana amat berguna kepada saya. Saya akui banyak ilmu dan pengetahuan saya timba seputar pengajian saya di peringkat sarjana.
Minggu ini ada di kalangan rakan saya di IPG akan menghadapi temuduga biasiswa untuk pengajian peringkat doktor falsafah. Saya doakan agar mereka berjaya mendapat tempat masing-masing.
Kembali kepada soalan tadi. Ramai rakan dan teman bercerita kepada saya akan pentingya untuk mendapat gelaran Dr. Zaman sekarang kalau tak ada gelaran tersebut maka perkataan kita tak akan didengar walaupun betul, manakala perkataan yang keluar daripada mulut dr. ditelan bulat-bulat walaupun ianya merupakan racun berbisa lagi kelat.
“Kena ada phd untuk dakwah”. Kata salah seorang rakan. “Ustaz kalaupun ilmu penuh di dada tapi tak ada phd siapa nak dengar?” Seorang rakan lain menambah.
Saya cuba meneliti akan kata-kata ini. Saya akui kata-kata ini ada asas dan kewajarannya dalam konteks zaman sekarang. Manusia menilai keilmuan seseorang dengan sijil dan ijazah. Inilah musibah besar yang melanda umat.
Lebih malang lagi jika pemegang ijazah tidak ada ilmu sepertimana yang tercatit dalam skrip ijazah mereka. Ijazah quran dan hadis tapi baca quran tajwidnya lintang pukang. Mendapat sijil hafiz rupa-rupanya lupa habis.
Kepada rakan yang mengejar phd dan sebagainya saya suka bawakan hadis nabi SAW, mudah-mudahan menjadi iktibar dan panduan. Hadis ini terdapat dalam jami’Tirmizi bab berkenaan orang yang menuntut ilmu kerana habuan dunia.
Sabda Nabi SAW:
عن كعب بن مالك عن أبيه، قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: "من طلب العلم ليجاري به العلماء أو ليماري به السفهاء ويصرف به وجوه الناس اليه أدخله الله النار
Maksudnya: Daripada Ka’b bin Malik R.A., katanya: Aku mendengar RasululLah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orangramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka."
Saya ingatkan kepada diri saya sendiri dan rakan-rakan agar memperbetulkan niat dalam menuntut ilmu pengetahuan. Tujuan menuntut ilmu adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keimanan.
Malangnya ramai di kalangan pemegang ijazah sekarang samada sarjana atau kedoktoran lupa akan hal ini. Sepatutnya lebih berilmu seseorang maka lebih bertambahlah amalan, makin elok budi pekerti.
Zaman sekarang orang memandang keilmuan seseorang berdasarkan sijil yang diperolehi. Jadi kepada pemegang ijazah ini sepatutnya meletakkan dirinya sebagaimana tanggapan orang.
Saya sendiri insya Allah, ada juga niat untuk buat ijazah doktor falsafah walaupun peringkat sarjana saya hampir lemas. Saya harap gelaran doktor falsafah itu adalah doktor falsafah. Jangan jadi sampah sudah!
0 comments:
Post a Comment