"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Monday, August 5, 2013

Puasa dan Doa



Ayat puasa dalam surah al-baqarah disebut pada ayat 183. Berkenaan ayat puasa ini disebut lagi keterangannya pada ayat 184, 185 dan 187. Antara ayat tersebut Allah sebut tentang doa iaitu pada ayat 186. Ayat berkenaan doa terletak antara dua ayat puasa. Dalam hal ini Ibnu Kathir dalam tafsirnya ada menyebut:

"وفي ذكره تعالى هذه الاَية الباعثة على الدعاء متخللة بين أحكام الصيام, إرشاد إلى اجتهاد في الدعاء عند إكمال العدة, بل وعند كل فطر "
“Dalam firman Allah swt dalam ayat ini berkenaan doa disebut selang antara hukum-hukum puasa, sebagai petunjuk supaya bersungguh-sungguh berdoa ketika menyempurnakan hari puasa bahkan ketika setiap kali berbuka”.

Alhamdulillah kita sekarang sudah masuk 10 terakhir daripada bulan Ramadan. Marilah kita bermuhasabah sejauh mana mutu puasa dan amalan ibadat kita. Bacaan al-quran kita dan doa kita kepada Allah swt.

Aisyah ra satu ketika bertanya kepada nabi berkenaan bacaan yang perlu dibaca sekiranya bertepatan dengan lailatulqadr. Nabi saw ajar supaya Aisah membaca doa ini:
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
“Ya Allah! Sesungguhnya engkau maha pengampun dan pemaaf, suka kepada kemaafan maka maafkanlah aku”.

Salah seorang yang doanya diterima ialah seorang tabiin yang bernama Uwais al-Qarni. Al imam an Nawawi dalam syarah Sahih Muslim telah menceritakan satu bab berkenaan kelebihannya.

Rasulullah pernah berpesan kepada Umar agar bertemu Uwais al-Qarni. Memang benarlah kata-kata Rasulullah. Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Umar setelah puas menunggu dan mencari kabilah.

Apabila Umar berjumpa dengan Uwais al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah beliaupun meminta supaya Uwais mendoakan untuknya. Setelah itu  Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: 

“Anda hendak pergi ke mana?” 

“Kufah”, jawab Uwais.
  
Sayyidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?”  

Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”

Cerita berkenaan Uwais al-Qarni amat masyhur dalam kalangan masyarakat kita. Antara yang diceritakan ialah perihal ketaatannya terhadap ibunya yang tua. Beliau sanggup mendukung ibunya dari Yaman ke Mekah untuk mengerjakan haji. 
Ibnu Jauzi dalam kitabnya " الموضوعات"   memberikan komentar dalam satu bab berkenaan Uwais:

“Sesungguhnya yang sahih berkenaan cerita Uwais ialah beberapa kalimah yang ringkas antaranya dengan Umar ra, Nabi saw bersabda:
( يأتي عليكم أويس ، فإن استطعت أن يستغفر لك فافعل )
“Akan datang kepadamu Uwais, sekiranya kamu dapat meminta supaya dia mohon ampu untuk kamu maka lakukanlah”.

Para tukang cerita telah memanjangkan cerita Uwais cerita yang tiada faedah untuk diceritakan.”
والله أعلم

0 comments:

Post a Comment