"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Wednesday, August 31, 2011

Minal Aidin Wal Faizin


Kurinduimu Ramadhan..

Salam dihulur pohon kemaafan,

Salah dan silap harap dimaafkan

MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Daripada:

Haji Mohd Rusli, Hajjah Wan Norlaila, Hafizah, Husna Solihah, Hamidah dan Muhammad.

Monday, August 29, 2011

Majlis Penutupan Ihya Ramadhan IPG Kampus Keningau


Alhamdulillah, dengan taufik dan inayah daripada Allah maka dapat kita laksanakan aktiviti yang dirancang dengan jayanya. tahniah dan syabas kepada semua jawatankuasa yang terlibat.

Madrasah Ramadhan adalah satu medan untuk kita membersihkan hati kita. Ia ibarat seperti pengecas bateri. Objektif pensyariatan puasa itu sendiri supaya melahirkan manusia yang bertaqwa.

Proses taqwa tidak boleh berhenti selepas berakhirnya Ramadhan. Tuhan yang kita sembah bukan sahaja tuhan kepada Ramadhan bahkan juga tuhan kepada Syawwal dan lain-lain bulan.

Saya teringaat kata-kata Dr Yusuf Qardhawi dalam satu khutbah idil fitri satu ketika dahulu. Beliau berkata:

فمن كان يعبد رمضان فإن رمضان قد فات ومن كان يعبد الله فإن الله حي لا يمـوت

Barangsiapa menyembah Ramadhan, maka Ramadhan telah pergi. Namun barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah tetap hidup dan tidak akan pernah mati.”

Sekian.

Merinduimu Ramadhan


Pada 26 Ramadhan 1432 saya dijemput untuk menyampaikan ceramah di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Keningau. Tajuk yang diberikann ialah “Merinduimu Ramadhan”. Majlis bermula pada jam 9 pagi dan berakhir sejam setengah selepas itu.

Sememangnya mukmin akan sentiasa menunggu kedatangan Ramadhan yang menawarkan pelbagai pahala dan ganjaran. Kedatangannya disambut dengan penuh makna kepada insan yang mahu menjana taqwa.

Jika seseorang tahu nilai Ramadhan, nescaya dia akan bercita-cita agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan. Kedatangannya dinanti manakala pemergiannya ditangisi. Kita masih lagi kebudak-budakan jika tidak sabar menghitung hari menjelang aidil fitri.

Kalau di dunia ada tawaran mega sale maka akan berduyun-duyun manusia ke sana. Jika Air asia menawarkan harga runtuh nescaya trafik online mengalami gangguan kerana ramai orang menggunakan talian. Sepatutnya tawaran Ramadhan tidak dipersiakan.

Hari ini Ramadhan semakin mahu menghilangkan diri. Satu hakikat dan realiti bahawa perjalanan hidup manusia mengikut pergerakan masa yang datang dan pergi silih berganti. Semoga Ramadhan tahun ini lebih bererti dalam merealisasikan insan bertaqwa kepada Ilahi.

Ramadhan.. Kami kau tinggalkan. Pastinya kau akan dirindui dan kedatanganmu tahun hadapan akan dinanti. Ya Allah! pertemukanlah kami dengan Ramadhan pada tahun-tahun mendatang dan khatamkanlah Ramadhan kami pada tahun ini dengan pengampunan!

Saturday, August 27, 2011

Bersama Pejuang Islam Sempena Ramadhan 1432

Syukur alhamdulillah, kita masih dipertemukan dengan Ramadhan pada tahun ini. Bulan yang dinantikan kehadirannya oleh insan bergelar mukmin. Pemergiannya diratapi. Hari ini Ramadhan kian hampir ke garisan penamat.

Pada tahun ini saya menyambut Ramadhan di Sabah sehingga hari ke 26 sahaja. Selebihnya saya berada di Kampung tempat saya di lahirkan, Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan. Kali terkhir saya pulang beraya ialah pada 2007.

Banyak aktiviti dan program sepanjang 26 hari menyambut kehebatan Ramadhan di bumi Sabah, samada aktiviti rasmi saya sebagai pensyarah di IPG kampus Keningau maupun aktiviti rasmi saya sebagai salah seorang pendokong gerakan Islam.

Saya bersyukur kerana mempunyai ramai rakan seperjuangan yang berjuang hanya untuk mencari redha tuhan, bukan kerana habuan ataupun pujian. Semoga sinar Islam semakin bertapak di bumi Sabah ini.

Banyak program dakwah dan mendekati masyarakat berjaya kami laksanakan. Disamping tugas rutin sebagai imam terawih, program-program lain juga dapat dilaksanakan. Antaranya ialah Program Menyantuni Masyarakat di Kampung Nandagan yang terletak 90 km dari Keningau, melalui 60 km jalan yang tidak berturap.

memberi tazkirah di Masjid as Syakirin, Nandagan

Program bubur lambuk rakyat dan mengedar risalah Islam juga dapat dilaksanakan. Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Bubur lambuk percuma dan risalah Islam dapat diedarkan di Bazar Ramadhan dekat Taman Luagan.

proses memasak bubur lambuk

Untuk merapatkan lagi semangat ukhuwwah di kalangan kami, maka diadakan majlis ifthar jamae betempat di Masjid Taqwa. Mudah-mudahan hubungan terbina kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana-Nya.

sama-sama ingat mengingati

Golongan yang tidak bernasib baik tidak dilupai. Sempena dengan kedatangan Ramadhan ini maka kami telah membuat satu lawatan mahabbah ke Hospital Keningau. Kami bertemu setiap pesakit dan kakitangan yang bertugas. Sedikit pemberian tanda ingatan kami hulurkan walaupun kecil nilainya.

menyampaikan buah tangan kepada kakitangan hospital

Program sekampit beras sekilo gula dan sepaket minyak juga dapat di jayakan. Hasil daripada sumbangan para sahabat dan rakan yang budiman maka dapatlah kami salurkan kepada golongan miskin yang memerlukan.

Saya mengucapkan terima ksih dan tahniah kepda semua rakan seperjuanagn di atas komitmen yang diberikan. Saya cukup bangga dan kagum dengan kalian yang bekerja tidak kira siang malam walaupun tidak mendapat habuan dunia yang lumayan.

Mudah-mudahan semua sumbangan tenaga dan wang ringgit kita semua mendapat imbuhan pahala daripada Allah SWT. Tahniah dan syabas sahabat seperjuangan!

Friday, August 26, 2011

Balik Kampung




Sempena Hari Raya Puasa tahun ini, saya dan keluarga pulang beraya di kampung. Sekarang kami sedang berada di KKIA untuk terbang ke KLIA dan seterusnya menyambung penerbangan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Pada kesempatan ini saya ucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada semua pengunjung blog saya. Semoga kita mendapat pointer yang maksimun dalam University of Ramadhan pada tahun ini. WASSALAM

Tuesday, August 23, 2011

Maafkan Aku Ya Allah

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Monday, August 22, 2011

Lailatul Qadar: Peluang Keemasan Yang Diabaikan

Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan al-quran pada malam “lailatul qadar” dan apakah itu malam “lailatul qadar”? Malam “lailatul qadar” itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".(surah al-qadr: 1-5)

Malam lailatul qadar adalah satu anugerah Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ianya mempunyai kelebihan yang amat besar. Setiap orang mukmin pastinya tidak akan melapaskan peluang keemasan ini untuk meraih keuntungan pahala yang berlipat ganda. Beribadat pada malamnya lebih baik daripada 1000 bulan.

Diriwayatkan bahawa pada satu hari Rasulullah telah menceritakan tentang 4 orang Bani Israel yang beribadah kepada Allah SWT selama 80 tahun. Para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Malaikat Jibril memberitahu Rasulullah bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka. Jibril pun membaca surah al- qadar.

Inilah anugerah yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Sepatutnya anugerah ini tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa pengisian yang boleh mendekatkan diri kepada redha Tuhan. Kita tidak mampu menandingi ibadat umat terdahulu. Justeru kelebihan inilah yang dinantikan.

Jika di dunia kita akan merebut tawaran keduniaan yang berupa pangkat, ganjaran wang dan sebagainya sehingga ada yang sanggup mencantas antara satu sama lain maka kenapa untuk akhirat yang lebih baik dan kekal itu kita tidak bersungguh-sungguh merebutnya.

Bila terjadinya malam lailatul qadar tidak disebut secara tepat sama ada dalam quran mahupun hadis nabi. Pendapat yang paling sahih ialah ia akan berlaku satu kali setiap tahun pada bulan Ramadhan. Banyak hadis yang mengisyaratkan bahawa pada 10 malam terakhir adalah paling diharapkan berlakunya lailatul qadar.

Disebut dalam satu hadis bahawa rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 malam akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya. Hal ini demikian kerana baginda berharap terjadinya malam lailatul qadar.

Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya, menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah dan tidak menggauli isteri.

Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi kita. Walaupun baginda adalah seorang maksum yang terlepas daripada noda dan dosa namun masih lagi beribadat dengan bersungguh-sungguh lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan. Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah.

Ironinya, kita sekarang telah leka dan lupa tentang ganjaran dan kelebihan yang dijanjikan ini. Di mana-mana masjid dan kita dapati para jemaah akan berkurangan apabila tiba penghujung Ramadhan. Mereka telah mula sibuk untuk membuat persiapan menyambut hari lebaran.

Jiwa orang mukmin sebenarnya akan merasa sedih dan sayu apabila Ramadhan akan pergi. Hari-hari terakhir ini dijadikan sebagai pecutan terakhir untuk merebut tawaran keemasan yang tidak akan diperoleh apabila perginya Ramadhan. Jika boleh orang mukmin tidak mahu bulan lain selain Ramadhan.

Antara amalan sunah pada 10 terakhir bulan Ramadhan ialah beriktikaf, mandi antara Maghrib dan Isyak’ dan mengenakan pakaian yang indah serta memakai bauan yang harum. Disunatkan menghidupkan sepanjang malam dengan amalan seperti solat, membaca al-quran, berzikir, berdoa dan lain-lain.

Marilah sama-sama kita merebut peluang yang ada sekarang ini. Janganlah kita abaikan peluang ini. Mungkin Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan terakhir bagi kita sebelum dijemput oleh Yang Maha Esa. Janganlah kita menjadi hamba yang celaka, memasuki fasa Ramadhan dan melewatinya dalam keadaan diri masih bersalut dengan noda dan dosa.

Sunday, August 14, 2011

Terlebih Lapan Minit

Aku sahul sampai 48 minit. terlebih 8 minit. macamana puasa aku? bolehka aku buka puasa atau puasa saja ustad?
(+60178141***)

Mesej ini saya terima pada pagi 3 Ramadhan yang lalu. Sekali baca saya tak faham soalan ini. Dua kali baca maka saya buat kesimpulan bahawa penanya telah makan sahur melewati waktu imsak di dalam takwim selama 8 minit.

Imsak pada hari itu ialah jam 4.40 minit. Dia makan sehingga 4.48 minit. Masuk waktu Subuh ialah 4.50 minit. Sebagaimana saya terangkan sebelum ini bahawa bahawa waktu mula puasa ialah waktu subuh. Jadinya waktu mula imsak ialah 4.50. Tiada petunjuk daripada nabi SAW bahawa imsak itu sepuluh minit sebelum Subuh.

Maksud saum (puasa) itu sendiri dari segi bahasa ialah imsak. Imsak ialah menahan. Menahan diri daripada semua perkara yang membatalkan puasa daripada terbit  matahari (subuh) sehingga terbenam matahari(maghrib).

Maksud firman Allah dalam surah al-baqarah:187

dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam,
والله أعلم