"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, August 27, 2011

Bersama Pejuang Islam Sempena Ramadhan 1432

Syukur alhamdulillah, kita masih dipertemukan dengan Ramadhan pada tahun ini. Bulan yang dinantikan kehadirannya oleh insan bergelar mukmin. Pemergiannya diratapi. Hari ini Ramadhan kian hampir ke garisan penamat.

Pada tahun ini saya menyambut Ramadhan di Sabah sehingga hari ke 26 sahaja. Selebihnya saya berada di Kampung tempat saya di lahirkan, Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan. Kali terkhir saya pulang beraya ialah pada 2007.

Banyak aktiviti dan program sepanjang 26 hari menyambut kehebatan Ramadhan di bumi Sabah, samada aktiviti rasmi saya sebagai pensyarah di IPG kampus Keningau maupun aktiviti rasmi saya sebagai salah seorang pendokong gerakan Islam.

Saya bersyukur kerana mempunyai ramai rakan seperjuangan yang berjuang hanya untuk mencari redha tuhan, bukan kerana habuan ataupun pujian. Semoga sinar Islam semakin bertapak di bumi Sabah ini.

Banyak program dakwah dan mendekati masyarakat berjaya kami laksanakan. Disamping tugas rutin sebagai imam terawih, program-program lain juga dapat dilaksanakan. Antaranya ialah Program Menyantuni Masyarakat di Kampung Nandagan yang terletak 90 km dari Keningau, melalui 60 km jalan yang tidak berturap.

memberi tazkirah di Masjid as Syakirin, Nandagan

Program bubur lambuk rakyat dan mengedar risalah Islam juga dapat dilaksanakan. Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Bubur lambuk percuma dan risalah Islam dapat diedarkan di Bazar Ramadhan dekat Taman Luagan.

proses memasak bubur lambuk

Untuk merapatkan lagi semangat ukhuwwah di kalangan kami, maka diadakan majlis ifthar jamae betempat di Masjid Taqwa. Mudah-mudahan hubungan terbina kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana-Nya.

sama-sama ingat mengingati

Golongan yang tidak bernasib baik tidak dilupai. Sempena dengan kedatangan Ramadhan ini maka kami telah membuat satu lawatan mahabbah ke Hospital Keningau. Kami bertemu setiap pesakit dan kakitangan yang bertugas. Sedikit pemberian tanda ingatan kami hulurkan walaupun kecil nilainya.

menyampaikan buah tangan kepada kakitangan hospital

Program sekampit beras sekilo gula dan sepaket minyak juga dapat di jayakan. Hasil daripada sumbangan para sahabat dan rakan yang budiman maka dapatlah kami salurkan kepada golongan miskin yang memerlukan.

Saya mengucapkan terima ksih dan tahniah kepda semua rakan seperjuanagn di atas komitmen yang diberikan. Saya cukup bangga dan kagum dengan kalian yang bekerja tidak kira siang malam walaupun tidak mendapat habuan dunia yang lumayan.

Mudah-mudahan semua sumbangan tenaga dan wang ringgit kita semua mendapat imbuhan pahala daripada Allah SWT. Tahniah dan syabas sahabat seperjuangan!

0 comments:

Post a Comment