"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, November 21, 2009

Tauliah

"Mantan mufti Perlis dihadapkan ke mahkamah kerana mengajar tanpa tauliah." Satu perkhabaran yang menarik minat orang ramai termasuk para pemimpin kerajaan dan pembangkang untuk mengikutinya.

Menurut Kamus Dewan, edisi ketiga, muka surat 1384, perkataan "tauliah" bermaksud perlantikan menjadi wali(wakil dll), surat perlantikan, surat kuasa, surat kepercayaan.

Mengajar tanpa tauliah adalah menjadi satu kesalahan mengikut undang-undang pentadbiran negeri-negeri tertentu di Malaysia. Saya bukanlah pakar dalam undang-undang samada sivil mahupun syariah.

Pihak berkuasa memang ada hak untuk menyekat individu daripada mengajar tanpa tauliah. Tak kiralah nak guna kaedah مصالح المرسة ke سد الذرائع, تصرف الإمام منوط بالمصلحة atau lain-lain kaedah. Itu hak mereka.

Yang saya tahu ialah kita sebagai seorang muslim wajib berpegang teguh dengan dua saluran penting iaitu quran dan sunnah. Dalam soal menyampaikan ilmu pengetahuan, amar ma'ruf nahi mungkar, nasihat menasihati, memberikan tazkirah dan peringatan kepada orang ramai adalah salah satu tuntutan agama ke atas muslim.

Tauliah daripada Allah dan Rasul-Nya amat banyak termaktub di dalam al-quran dan hadis Nabi SAW. Islam menggesa supaya kita bersama meyampaikan Islam kepada orang ramai. Kebaikan Islam perlu dikongsi dengan orang lain.

Allah SWT sebut dalam al-quran:

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.(Ali-Imran:104)

Orang yang berilmu pengetahuan wajib menyampaikan kepada orang lain. Janganlah menjadi seperti ahli kitab yang menyembunyikan ajaran taurat dan injil. Mereka mendapat laknat kerana tidak amanah dalam ilmu yang dimilikinya.

Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil janji daripada orang-orang yang telah diberi Kitab (yaitu): "Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan jangan kamu menyembunyikannya," lalu mereka melemparkan janji itu ke belakang punggung mereka dan mereka menukarnya dengan harga yang sedikit. Amatlah buruknya tukaran yang mereka terima.(Ali-Imran:187)

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong kepada yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah daripada yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(at-taubah:71

Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma'ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, Maka kelak kami memberi kepadanya pahala yang besar.(an-nisa':114)

Kata Nabi SAW:

عن عبد الله بن عمرو:
أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (بلغوا عني ولو آية، وحدثوا عن بني إسرائيل ولا حرج، ومن كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار).

Dari Abdullah bin 'Amr ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sampaikanlah (apa yang kamu dapat) dari ku walau satu ayat sekalipun; dan ceritakanlah (apa yang sampai kepada kamu) darihal Bani Israel dan (dalam pada itu) tidak ada salahnya (kalau kamu tidak ceritakan). Dan (ingatlah!) sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyediakan tempatnya dalam neraka.

عن أبي بكرة.
- قال: خطب رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم النحر، فقال ((ليبلغ الشاهد الغائب. فانه رب مبلغ يبلغه، أوعي له من سامع)).

Dari Abi Bakrah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir (mendengar hadis ku) menyampaikannya kepada orang-orang tidak hadir kerana sesungguhnya diharap orang yang disampaikan hadis itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham daripada yang menyampaikannya.

عن حذيفة بن اليمان عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:
- (والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر وليوشكن الله أن يبعث عليكم عقابا منه فتدعونه فلا يستجيب لكم) .

Demi zat yang diriku ada di tangan-Nya hendaknya kamu menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang munkar, atau Allah akan menimpakan siksa kepadamu kemudian kamu berdo'a kepada-Nya lalu tidak dikabulkan.

Ini adalah sebahagian daripada "surat perlantikan", tauliah daripada Allah supaya setiap umat Islam melakukan kerja Dakwah. Semoga kita tetap di atas manhaj quran dan sunnah.

0 comments:

Post a Comment