"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Sunday, March 27, 2011

Kencing berdiri

Ada ahli jemaah yang meminta saya memberi komentar tentang kencing berdiri. Ini adalah kerana ada seorang yang telah kencing berdiri di tempat mengambil wudhu’. Apabila ditegur maka orang tersebut telah menegaskan bahawa ustaz Rusli kata boleh kencing berdiri.

Komentar saya:

Memang pernah dalam satu kuliah ada jemaah yang bertanyakan pasal hukum kencing berdiri. Saya telah menjawab bahawa kencing duduk adalah sunnah nabi SAW. Walau bagaimanapun tidak berdosa jika seseorang itu kencing berdiri.

Ini berdasarkan hadis nabi SAW:

( أن النبي صلى الله عليه وسلم أتى سباطة قوم فبال قائما )

Bahawa nabi SAW telah mendatangi satu tempat pembuagan sampah satu kaum, maka baginda kencing dengan keadaan berdiri. Hadis ini daripada Huzaifah RA, statusnya sahih muttafaq alaih. Ada hadis yang disebut oleh Aisyah RA mafhumnya: “Sesiapa yang menceritakan bahawa nabi SAW kencing berdiri maka jangan kamu mempercayainya. Sesungguhnya tidaklah nabi kencing kecuali dalam keadaan duduk”. Hadis ini direkod oleh Al Imam at Tirmizi.

Para muhaddithin mengatakan bahawa tidak ada pertentangan antara hadis Huzaifah dengan hadis Aisyah RA. Aisyah RA meriwayatkan sesuatu yang beliau tahu mengenai rutin hidup nabi SAW. Umum mengetahui bahawa Ummal Mukminin Aisyah RA tidaklah mengikuti nabi setiap saat dan ketika. Ada ketikanya baginda bermusafir tanpa ditemani Aisyah RA.

Kesimpulannya bahawa nabi SAW selalu kencing dalam keadaan duduk. Ini adalah yang paling afdhal. Hadis Huzaifah menunjukkan bahawa keharusan untuk kencing berdiri. Ada ulama mengatakan bahawa kencing berdiri hukumnya makruh.

Adapun jamaah yang kencing berdiri di tempat orang mengambil wudhu’, maka ini adalah satu perbuatan yang dilarang kerana beberapa alasan:

1.kencing di tempat yang salah. Tempat berwudhu’ adalah untuk mengambil wudhu’, bukan untuk kencing.

2.aurat terdedah pada khalayak ramai. Ini adalah tidak dibenarkan.

3.boleh menyebabkan tempat berwudhu’ menjadi kotor dan bernajis.

Akhir sekali saya menyeru supaya setiap orang perlu belajar agama betul-betul dan rujuk kepada mana-mana ustaz jika tidak jelas atau keliru dalam sesuatu masalah. Janganlah menyandarkan sesuatu perbuatan salah yang kita lakukan kepada orang lain(jual nama).

Manakala riwayat yang mengatakan bahawa nabi tidak mengaku umat jika kita kencing berdiri, maka saya tidak menjumpainya setakat yang saya mengaji. Jika anda menemuinya, sila kongsi dengan saya serta rujukan lengkap.

والله أعلم

1 comments:

kapten said...[Balas]

Terima kasih ustaz atas penjelasan.

Post a Comment