"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, September 26, 2009

Idul Fitri 1430H di Keningau(siri 2)

Hari-hari terakhir Ramadhan di Masjid Pekan Keningau. Saya banyak menghabiskan masa di masjid bersama para jamaah. Alhamdulillah. Selepas subuh saya membuat pengisian Kuliah Tujuh Minit(KULTUM). Menerangkan kekeliruan para jamaah tentang solat witir dengan satu salam, sujud tilawah, fidyah puasa dan lain-lain. Ada juga para jamaah yang terus bertanya selepas KULTUM. Berlarutan sehingga waktu syuruq. Selepas zohor pun saya layan mereka yang bertanya tentang masalah agama. Selepasa asar begitu juga. Alhamdulillah.

Solat witir

Ada ahli jamaah yang keliru dengan amalan solat witir tiga rakaat satu salam. Dalam kalngan jamaah ada yang melakukan witir tiga rakaat dua salam dan ada yang melakukannya dengan satu salam. Mana satu yang betul ustaz? Tanya si Fulan.
Dalam Mazhab Syafie sendiri ada beberapa cara menunaikan solat witir:
1-dilakukan 3 rakaat dengan dua salam.
2-dilakukan 3 rakaat dengan satu salam bersama tahiyyat awal
3-dilakukan 3 rakaat satu salam tanpa tahiyyat awal.

Sujud Tilawah

Di balik tabir sana bising para jamaah muslimat mengatakan bahawa imam tersalah sujud. Ustad saaalah… bilang mereka. Apabila melalui ayat yang disunatkan sujud biasanya saya akan memperingatkan para jamaah sebelum takbiratul ihram, namun ada yang tak pernah tahu apa itu sujud tilawah.

Sujud tilawah ialah sujud yang dilakukan sempena membaca ayat yang disunatkan untuk sujud. Hukumnya adalah sunat menurut pendapat jumhur ulama. Mazhab Hanafi mengatakan wajib sujud tilawah.

Hukum sunat ini bersandarkan hadis Muttafaq alaihi daripada Ibnu Umar:

عن ابن عمر؛ أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يقرأ القرآن. فيقرأ سورة فيها سجدة.فيسجد. وتسجد معه. حتى ما يجد بعضنا موضعا لمكان جبهته.

"Bahawasanya Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam telah membaca al-Qur’an, lalu Baginda membaca satu surah yang di dalamnya ada ayat ‘sajdah’, maka Baginda pun bersujud lalu kami pun sujud bersama-sama Baginda sehingga sesetengah daripada kami tidak mendapati tempat untuk meletakkan dahinya”.

AYAT-AYAT SAJDAH DI DALAM AL-QURAN

Ayat-ayat yang disunatkan sujud setelah membacanya, menurut mazhab Asy-Syaf‘ie, adalah seperti berikut:

1. Ayat ke 206 dari surah Al -A’raf.

2. Ayat ke 15 dari surah Al- Ra’d.

3. Ayat ke 50 dari surah Al- Nahl.

4. Ayat ke 109 dari surah Al- Isra’.

5. Ayat ke 58 dari surah Maryam.

6. Ayat ke 17 dari surah Al- Haj.

7. Ayat ke 77 dari surah Al- Haj.

8. Ayat ke 60 dari surah Al -Furqan.

9. Ayat ke 25 hingga 26 dari surah Al- Naml.

10. Ayat ke 15 dari surah Al -Sajdah.

11. Ayat ke 38 dari surah Fusshilat.

12. Ayat ke 62 dari surah Al- Najm.

13. Ayat pertama dari surah Al- Insyiqaq.

14. Ayat ke 21 dari surah Al -Insyiqaq.

15. Ayat ke 19 dari Al- ‘Alaq

Bayar Fidyah

Seorang yang tidak berpuasa bertahun-tahun kerana kejahilan, kemudian dia bertaubat. Apakah hukum puasa yang ditinggalkan? Adakah dikenakan fidyah? Adakah fidyah itu akan menjadi berganda?

Alhamdulillah, Setiap tahun ada sahaja jamaah baru yang mendapat taufiq dan hidayah untuk mengamalkan Islam. Syukur kepada Allah di atas hidayah ini. Berkenaan dengan puasa dan amalan lain yang ditinggalkan dengan sengaja, ulama khilaf tentang mengqadanya.

Jawapan saya, Bersyukurlah kepada Allah kerana diberi sinar hidayah. Bertaubatlah kepada-Nya yang maha pemurah lagi maha penyayang. Solat dan puasa yang ditinggalkan maka qadhalah ia, manakala fidyah puasa kalau hendak dibayar adalah bagus. Jika tidak, tidak mengapa. Yang penting taubat nasuha. Insya Allah. Allah menerima taubat hamba-Nya.

0 comments:

Post a Comment