"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Tuesday, December 27, 2011

Mujahadah dan Rukun-rukunnya



Mujahadah ialah salah satu istilah yang sering kita jumpa dalam pengajian ilmu tasawwuf atau akhlak. Perkataan “mujahadah” berasal daripada perkataan “jihad”, yang bererti usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah.

Ia juga membawa pengertian penentangan (perlawanan) terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan negara dan lain-lain seperti hawa nafsu, diktator, kezaliman dan sebagainya.

Dalam ilmu tasawwuf, mujahadah lebih menitikberatkan kepada usaha melawan hawa nafsu secara bersungguh-sungguh untuk mencapai reda Allah. Orang yang bermujahadah dipanggil mujahid (bukan mu jahat).

Al marhum Said Hawwa dalam kitabnyaتربتنا الروحية menyebut rukun mujahadah ada empat iaitu pertama memencilkan diri, kedua diam, ketiga berjaga malam dan keeempat berlapar.

1. Memencilkan diri (al uzlah)

Yang didekehendaki dengan al-uzlah di sini ialah memencilkan diri daripada segala kekufuran, kemunafikan dan pembuat kejahatan, termasuk menjauhkan diri daripada majlis yang mempersendakan ayat-ayat Allah.

“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku".(Maryam:48)

Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu).(al an’am:68)

Walau bagiamanpun uzlah ini bukanlah berpanjangan sepanjang masa. Ianya merupakan ubat hati untuk melawan sifat mazmumah. Sekiranya hati sudah terubat dan tidak terikut kepada kejahatan maka hendaklah dizahirkan kebenaran di hadapan kebathilan sebagaimana hadis nabi SAW:

“Tetap akan ada dalam kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan terhina dengan penghinaan yang dilemparkan kepada mereka..”.

2. Berdiam (as somt)

Orang tua-tua ada berkata “Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”. sabda nabi SAW yang bermaksud “ Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata perkataan yang baik ataupun dia diam”.

As somt yang dikehendaki di sini ialah menjaga lidah daripada daerah dosa dan lagha seperti mengumpat, mencaci, mengadu domba, bertengkar, memaki hamun, bercakap perkara yang sia-sia dan sebagainya.

Sekiranya kedaan memerlukan kita untuk bercakap atau bersuara, seperti amar makruf nahi mungkar, mengajar manusia tentang Islam, maka ketika itu berdiam adalah haram. Diam adalah wasilah untuk mencapai reda Allah. Ianya bukanlah matlamat dalam kehidupan kita.

3. Berlapar (al ju’)

Hukum asal dalam soal makan minum ialah makan untuk menguatkan tubuh badan supaya dapat mengerjakan suruhan Allah. Membazir dan berlebihan adalah dilarang.


Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.(al a’raf:31)

Orang yang sentiasa berlapar akan dikurniai kejernihan hati dan hikmah. Lapar akan melemahkan hawa nafsu untuk mengerjakan kejahatan. Di antara rukun Islam ialah berpuasa. Puasa disifatkan oleh nabi SAW sebagai pendinding diri daripada mengerjakan sesuatu yang dilarang. Sabda nabi SAW:

“Wahai para pemuda! Barangsiapa yang mampu berkahwin, maka kahwinlah. Sesungguhnya dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah pendinding”.

4. Berjaga malam (as sahr)

Islam mengajar umatnya supaya pandai mengurus dan membahagikan masa. Sekiranya kita tidak pandai mengurus masa tidur, maka ianya boleh menyebabkan kita mengalami kerugian yang besar. Kita berkemungkinan tidak dapat solat subuh berjamaah, beristighfar pada waktu fajar, solat tahajjud dan solat isya’ berjamaah.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air, Sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam. Dan selalu memohonkan keampunan pada waktu pagi sebelum fajar. “ (az zariyat:15 – 18).

“Hai orang yang berselimut (Muhammad), Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (yaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu. dan Bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” (al muzzammil:1 – 8)

Amat malang pada zaman sekarang ini manusia berjaga malam bukan untuk beribadat tapi untuk buat maksiat. Keindahan malam yang mahal harganya ditukar dengan noda dan dosa. Lebih malag lagi sekiranya solat subuh tidak terlaksana apatah lagi solat tahujjud. Orang lain solat tahujjud kita bangun terkejut!

4 comments:

musafir kehidupan said...[Balas]

Salam, ustaz. Apa maksud Tajarrud?

mohdrusli said...[Balas]

@musafir kehidupan
Ikut tempat penggunaannya. Antara maknanya: to devote oneself to, dedicate, freedom(from), voidness

Tedi {interpretZZ} said...[Balas]

Perkongsian yang amat bagus :)

Anonymous said...[Balas]

Ya Allah...
aku hilang dalam mencarimu
makin bertambah kesesatanku
Ya Allah...
tunjukilah aku jalan yang lurus
jalan yang membawa ke syurgaMu
jalan yang Engkau redhai
Ya Allah...
rintihan ini
dari seorang hamba yang tak punya apa

Post a Comment