Bersetuju untuk tidak bersetuju, orang putih kata “Agree to disagree”. Itulah ungkapan yang selalu kita dengar dalam perselihan pendapat yang timbul dalam mana-mana perbincangan atau perdebatan.
Perselisihan atau perbezaan pendapat disebut khilaf dalam bahasa Arab. Lawan kepada Khilaf ialah bersatu atau bersepakat dan tidak berpecah belah. Umat Islam diwajibkan bersatu dan bersepakat serta meninggalkan perpecahan.
Allah swt telah berfirman: “Jika tuhan-mu menghendaki nescaya akan dijadikan manusia itu umat yang satu tetapi mereka itu sentiasa berselisih” (Hud : 118).
“ Bersatulah kamu semua di atas tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah” (Ali-Imran : 103).
Perpaduan dan kesatuan tidak bermakna kita tidak boleh berbeza pendapat . Perbezaan adalah fitrah yang yang menjadi sifat semula jadi manusia. Perbezaan tersebut tidak seharusnya membawa kepada pertelingkahan dan perpecahan.
Perbezaan tersebut seharusnya memperkaya pilihan dan pendekatan kita dalam dakwah, juga menyumbang dalam mematangkan minda. Hal ini dapat kita capai sekiranya kita bijak menghayati etika dan adab perbezaan pendapat.
Kata-kata al-imam al-Syafi'i yang berbunyi: "Pandanganku adalah benar menurut pendapatku, tetapi berkemungkinan silap, dan pendapat lawanku adalah silap pada pandanganku, tetapi berkemungkinan mengandungi kebenaran".
Kata-kata al-Marhum Rashid Redha yang kemudiannya dipopularkan oleh Hassan al-Banna "Kita bekerjasama di dalam perkara yang kita sepakati dan kita berlapang dada di dalam apa yang kita perselisihkan".
Di dalam berikhtilaf semua pihak perlulah ikhlas dan benar-benar meletakkan Islam sebagai matlamat mereka dan bukannya untuk kepentingan peribadi dan agenda tersendiri. Dengan kata lain, kita berikhtilaf kerana Allah SWT.
Walaupun kita bersetuju untuk tidak bersetuju, janganlah ukhuwwah Islamiyyah dirobekkan sehingga ianya menjadi bahan ketawa musuh Islam. Hormatilah pandangan yang tidak sehaluan dengan kita selagi ianya dalam ruang lingkup yang diharuskan.
0 comments:
Post a Comment