"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, February 19, 2011

Halaqah Riyadhus solihin 3 (HARIS 3)

Tarikh:4 Feb 2011
Tempat:Masjid IPG Kampus Kenigau
Masa:selepas solat Subuh
Sabar

Sabar ialah salah satu sifat mahmudah yang dituntut di dalan Islam. Sabar ada beberapa macam, sabar dalam mentaati perintah Allah SWT, sabar dalam menjauhi larangan Allah dan sabar ketika menghadapi ujian dan musibah.

قال الله تعالى " يا أيها الذين آمنوا اصبروا وصابروا " آل عمران

Hai orang-orang yang beriman, Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu.(Ali Imran:200)

Bersabar di sini ialah bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT dengan tetap melakukan ibadat dan melawan hawa nafsu, juga bersabar daripada berbuat maksiat. Allah SWT juga memerintahkan kita supaya tetap berjuang menghadapi musuh dengan penuh kesabaran dan tetap berada di atas kesabaran.

قال تعالى " ولنبلونكم بشيء من الخوف والجوع ونقص من الأموال والأنفس والثمرات وبشر الصابرين " البقرة

Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit perasaan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.(al baqarah:155)

Apakah berita gembira yang allah SWT nak beri kepada orang sabar dan siapakah mereka itu? Dalam ayat seterusnya Allah SWT sebut:

(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun"[ Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali.] Mereka Itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka Itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Kalimat Inna lillah.. ini dinamakan kalimat istirjaa (pernyataan kembali kepada Allah). Kita disunatkan menyebutnya ketika ditimpa musibah samada besar ataupun kecil. Tak semestinya semasa dengar berita kematian baru nak sebut inna lillaah..

قال تعالى " إنما يوفي الصابرون أجرهم بغير حساب " الزمر

Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa batas.(az zumar:10)

Balasan pahala sabar ini tak boleh nak dikira dengan alat penimbang ataupun pengukur. Balasannya cukup besar. Sebab itu dalam bab puasa Allah sebut dalam hadis qudsi bahawa Allah sendiri akan membalas pahalanya. Kata ulama sebabnya ialah amalan puasa berkait rapat dengan nilai kesabaran pengamalnya.

عن أبي يحيى صهيب بن سنان رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله له خير وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له رواه مسلم

Daripada Abi Yahya Suhaib bin Sinan RA katanya sabda Nabi SAW “Sungguh pelik urusan orang mukmin, semua perkara baginya baik belaka, semua ini tidak didapati oleh orang lain kecuali orang mukmin: Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya, dan jika dia ditimpa kemudharatan, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Yahya, namanya Suhaib bin Sinan ar Rumi. Ada pendapat mengatakan beliau berketurunan Parsi tetapi telah ditawan oleh tentera Rom ketika beliau masih kecil sehingga tidak boleh bertutur bahasa ibundanya(Parsi). Beliau dinisbahkan kepada Rum kerana berada di Rum sebagai hamba.

Ada juga riwayat mengatakan bahawa beliau telah lari dari Rum dan menuju ke Mekah. Beliau adalah salah seorang sahabat yang terawal masuk Islam. Menurut Al Waqidi, Suhaib dan Ammar memeluk Islam pada hari yang sama.

Hadis ini menegaskan bahawa kehidupan mukmin berada dalam kebaikan pada setiap saat dan ketika. Ketika senang dia bersyukur, ketika susah dia bersabar. Kedua-dua keadaan ini memberikan pahala dan kebaikan yang banyak kepada mukmin. Hanya orang mukmin yang pandai bersyukur dan bersabar.

0 comments:

Post a Comment