"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Thursday, December 9, 2010

Kenduri arwah

Sabda Nabi SAW:

( من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد )

Barangsiapa yang mengadakan dalam urusan kami ini sesuatu yang bukan darinya maka ianya adalah tertolak. Hadis ini sahih dengan statusnya muttafaq alaihi. Banyak lagi hadis lain yang membawa erti sedemikian.

Kehidupan terbaik ialah ikut nabi SAW, para khulafa ar rasyidin dan para salafus soleh yang terdahulu. Dalilnya Allah sebut dalam al-quran surah at taubah ayat 100:

( والسابقون الأولون من المهاجرين والأنصار والذين اتبعوهم بإحسان رضي الله عنهم ورضوا عنه وأعد لهم جنات تجري تحتها الأنهار خالدين فيها أبداً ذلك الفوز العظيم )

Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.

Tidak saya ketemui dalam hadis ataupun mana-mana riwayat daripada para sahabat yang mengatakan bahawa nabi SAW menganjurkan majlis perhimpunan kenduri arwah dan melakukan upacara zikir, tahlil dan berdoa untu arwah yang meninggal.

Umum mengetahui bahawa Khadijah binta Khuwailid adalah isteri nabi SAW yang banyak berjasa kepada nabi dan penyebaran Islam. Apabila beliau meninggal dunia tak ada pula nabi buat pengumuman kepada sahabat supaya dibuat kenduri arwah untuk isteri baginda yang tercinta, Khadijah RA.

Kematian adalah sesuatu yang menyedihkan. Keluarga terdekat simati biasanya diselubungi dengan kesedihan. Air mata gugur berlinangan. Ini adalah perkara biasa. Nabi SAW sendiri apabila anaknya Ibrahim meninggal dunia maka air mata baginda SAW gugur.

Biasanya kenduri adalah untuk upacara riang gembira untuk melahirkan kesyukuran seperti kenduri kahwin, akikah, naik pangkat dan lain-lain. Maka adakah wajar keluarga yang ditimpa musibah lantas ditambah lagi dengan penyediaan juadah?

Sepatutnya keluarga simati dilayan dengan dihidangkan kepada mereka hidangan, bukan mereka menghidangkan kepada kita hidangan. Dalilnya hadis nabi SAW tatkala keluarga Jaafar ditimpa musibah kematian kata Nabi SAW:

عن عبد اللّه بن جعفر، قال:
قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: "اصنعوا لآل جعفرٍ طعاماً فإِنه قد أتاهم أمرٌ شغلهم".

Daripada Abdillah bin Jaafar katanya sabda Nabi SAW: Buatlah kepada kelurga Jaafar makanan. Sesungguhnya telah datang kepada mereka sesuatu yang menyibukkan mereka.(ditimpa musibah kematian). Hadis ini ada dalam Sunan Abi Daud, kitabul janaiz, bab:membuat makanan kepada keluarga simati.

Setahu saya dalam fekah Syafie tidak ada dinyatakan anjuran mengadakan kenduri arwah. Al Imam as Syfie sendiri berpendapat bahawa tidak sampai pahala bacaan kepada simati kerana ia bukan amalan dia sendiri sebagaimana dosa seseorang tidak boleh ditanggung oleh orang lain.(sila buka tafsir ibnu Kathir dalam tafsirannya berkenaan ayat 39, surah an najm.)

Di antara kitab fekah dalam mazhab Syafie ialah kitab ( اعانة الطالبین ) , di antara lain tercatat:

وَیَكْرَهُ اتِّخَاذُ الطَّعَامِ فِى الْیَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقْلُ الطَّعَامِ اِلَى الْقُبُوْرِ

“Dan dilarang (ditegah/makruh) menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.

Saya juga tidak menolak bahawa ada perbezaan pendapat tentang kenduri arwah . Ada ulama yang mengharuskannya. Saya menghormati perbezaan ini, jadi tolong hormati saya yang tidak menyahut seruan kenduri tahlil kerana saya berpendat ianya adalah sesuatu yang tidak disarankan.

والله ولي التوفيق

5 comments:

Rafi Harumin said...[Balas]

Salam

Ustaz, saya sentiasa tertarik akan isu ini. Bukannya apa, di kampung saya pun perkara ini sudah menjadi budaya.

mohdrusli said...[Balas]

Bukan setakat Keningau. Isu ini global. Barangsiapa nak hadir, silakan. Tak hadirpun tak apa.

Anonymous said...[Balas]

barangkali artikel ini juga ustaz boleh menjadi perkongsian kerana ada hadith yg menyebut nabi menerima jemputan keluarga si mati. http://almalakawi.wordpress.com/2009/07/25/harus-buat-kenduri-arwah-dengan-menentukan-masa/

shamain said...[Balas]

apabila isu ini sudah menjadi budaya, yang akan tertekan ialah simiskin yang tak punya apa-apa, terpaksa juga mencari jalan agar yang hadir dapat dijamu, kalau tak malu pula, ini memang menyusahkan.

Zaman Al-Kelantani said...[Balas]

salam ust..ana nk minta kongsi,sbb kat kg rmai yg terlalu mengikut..ada sy nampak org tnggu kubur 3 hari 3 mlm, satu hari jumaat dia xgi solat jumaat krn xnk tnggal kubur..yg nabi xbuat dia buat, yg wajib pula dia tnggal...minta ust kupas tentang isu menunggu kubur..syukran

Post a Comment