"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Sunday, November 14, 2010

Haji Akbar Tiba Lagi

Tak lama lagi umat Islam sekali lagi akan meyambut hari raya haji. Hari raya haji dikenali juga dengan hari raya korban. Dinamakan hari raya haji bersempena dengan amalan ibadat haji di Tanah Suci Mekah manakala korban adalah bersempena dengan amalan korban yang disunatkan kepada umat Islam melakukannya.

Tahun ini sekali lagi umat Islam berpeluang menyambut hari raya haji akbar. Sebenarnya haji akbar berlaku pada setiap tahun. Faham masyarakat Islam di sini haji akbar ialah hari yang mana hari wuqufnya jatuh pada hari Jumaat adalah satu kefahaman yang saya tidak peroleh dalil yang kuat. Tentang haji akbar ini Allah SWT sebut dalam quran surah at-taubah ayat 3 kata Allah SWT:

وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَرِيءٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ وَرَسُولُهُ فَإِنْ تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللَّهِ وَبَشِّرِ الَّذِينَ كَفَرُوا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Dan (Inilah) suatu pemakluman daripada Allah dan rasul-Nya kepada umat manusia pada hari haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, maka taubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih.

Saya telah meneliti beberapa kitab tafsir tentang haji akbar di antaranya Tafsir Ibn Kathir, Al-Qurthubi, At-Tobari, Jalalain, Addur almanthur, Fathul qadir dan lain-lain. Setelah ditelaah pendapat ahli tafsir tentang haji akbar maka didapati ulama khilaf tentangnya. Walau bagaimanapun tidak saya ketemui dalam kitab-kitab tafsir pendapat yang mengatakan bahawa haji akbar ialah haji yang mana wuquf jatuh pada hari Jumaat.

Ulama khilaf berkenaan haji akbar. Ada pendapat mengatakan ianya ialah hari Arafah (9 zulhijjah), ada yang mengatakan hari nahar (10 zulhijjah). Ini adalah pendapat kuat yang berlegar di kalangan ulama di samping ada pendapat bahawa ianya ialah haji qiran, semua hari ibadat haji dilakukan, ada juga berpendapat haji akbar ialah ibadat haji manakala haji asgrar ialah umrah. Ibnu Sirin pula mengatakan bahawa haji akbar ialah tahun haji yang dilakukan oleh baginda Nabi SAW.

Pendapat yang terpilih ialah haji akbar ialah hari nahar. Inilah yang dipilih oleh Al Imam Tobari sebagaimana riwayat Umar, Uthman, Ibnu Abbas, Tawus dan Mujahid. Juga menjadi pendapat dalam mazhab Abi Hanifah dan disebut juga oleh Al- Imam Syafie.

Kesimpulannya hari yang disebut sebagai haji akbar ialah pada hari raya idil adha yang mana kita umat Islam di Malaysia akan menyambutnya pada hari Rabu, 17 November 2010. Pendapat yang mengatakan haji akbar itu jatuh apabila hari wuqufnya pada hari Jumaat adalah pendapat yang lemah dan batil.

Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Zaadul Ma'ad menyatakan, haji akbar dengan pengertian apabila hari wuquf berlaku pada hari Jumaat dan keistimewaan haji pada tahun itu menyamai 72 kali haji biasa adalah batil dan tidak bersumberkan dalil-dalil yang sahih, sama ada daripada Rasulillah, para sahabat, mahupun tabiin.

Selamat Menyambut Haji Akbar.

2 comments:

Fuziani JSR said...[Balas]

Jadi ustaz... haji akbar yang sebenarnya tu maksudnya mcm mana sb saya pernah ke kuliah pengajian utk muallaf dan ustaz tu kata haji akbar tu ialah hari wuqufnya jatuh pada hari Jumaaat....

mohdrusli said...[Balas]

ustaz tu kena bawa hujah dan dalil konkrit untuk menyokong pendapatnya.

Post a Comment