Puasa pada bahasa ialah menahan. Dalam istilah syarak beerti menahan nafsu daripada segala yang membukakan puasa pada siang hari bermula dari terbit fajar Sodiq hingga terbenam matahari.
PUASA YANG WAJIB
Terdapat beberapa jenis puasa yang diwajibkan oleh ALlah ke atas umat Islam;
a.Puasa Ramadan di bulan Ramadan al-Mubarak pada setiap tahun
b.Puasa Nazar.
c.Puasa Kaffarah kerana sebab-sebab berikut;
•Jimak di siang hari bulan Ramadan.
•Zihar (isteri diserupakan dengan ibu).
•Melanggar sumpah.
•Kerana membunuh manusia yang diharamkan secara disengajakan atau tersalah.
SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA
1-Islam, tidak sah ke atas orang kafir.
2-Berakal, tidak wajib ke atas orang gila.
3-Baligh, tidak wajib ke atas kanak-kanak.
4-Berkemampuan, tidak wajib ke atas orang yang sakit.
RasuluLlah saw bersabda,
رُفِعَ القلمُ عن ثلاثةِ عن الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وعن المَجْنُونِ حَتَّى يَفِيقَ
Riwayat Abu Dawud dan Nasai
Yang Mewajibkan Puasa
Pertama :Kerana telah melihat awal bulan Ramadan (Ru’yah al-Hilal) dengan pandangan mata yang zohir. Sebagaimana firman ALlah dalam surah al-Baqarah ayat 185.
فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمْ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;Nabi saw juga ada bersabda,
صوموا لرؤية وافطروا لرؤية فإن غم عليكم فاكملوا عدة شعبان ثلاثين يوما
Maksudnya, “ Puasalah kamu kerana telah melihat bulan dan berbukalah kamu kerana melihat bulan; apabila bulan itu tertutup (kerana awan tebal) maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya’ban tiga puluh hari”. Riwayat al-Bukhari dan Muslim.Kedua :Dengan perkiraan (hisab). ALlah berfirman,
هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ
مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَلِكَ إِلا بِالْحَقِّ يُفَصِّلُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
“Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya)”. [Yunus : 5 ]مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَلِكَ إِلا بِالْحَقِّ يُفَصِّلُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Menurut Syafie untuk رُؤْيَةُ الْهِلاَلِ ( Rukyat al-Hilal) cukup dengan seorang saksi. Manakala untuk hilal berbuka sebaran harus dua orang saksi.
Yang Membatalkan Puasa
Di antara perkara yang membatalkan puasa ialah;
1.Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan seperti lubang hidung, mulut, dubur dan telinga.
2.Jimak (persetubuhan) di siang hari Ramadan dengan kemahuan sendiri kecuali timbul talazzuz.
3.Muntah dengan sengaja seperti menjolok-jolok jari ke dalam kerongkong.
4.Istimna’ iaitu mengeluarkan mani dengan sengaja.
5.Kedatangan haid dan nifas.
6.Gila atau pitam sepanjang hari.
7.Murtad yakni keluar daripada Islam.
TERTIB PUASA
Puasa tidak sempurna tanpa mengikut tertibnya. Di antaranya ialah:
•Memelihara lidah agar tidak menipu, mencaci. Mengekang mata dan telinga daripada yang haram.
•Menahan perut daripada makan-minum haram dan syubhat. Carilah rezeki yang halal supaya berbuka puasa dengan yang halal. Jadi, perhatikanlah apa, siapa dan di mana anda berbuka.
•Memelihara semua anggota daripada berbuat maksiat.
Ramai mereka yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Sabda Nabi saw, كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
[ Berapa ramai orang yang berpuasa , tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga ].
•Hendaklah tidak terlalu banyak tidur di waktu siang hari dan terlalu banyak makan di waktu malam hari.
•Meninggalkan segala kemewahan dalam makan minum sekurang-kurangnya sama seperti bulan biasa. Jangan sampai berdendam dengan puasa.
•Memperbanyakkan amal ibadat, zikir dan tilawah.
•Dan lain-lain.
RUPA DAN RUH PUASA
Rupa Puasa ialah menahan diri dari makan minum, berjimak dan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Ruh Puasa ialah menahan diri dari segala jenis dosa dan larangan ALlah serta sentiasa mengerja yang fardu dan wajib.
SUNAT-SUNAT PUASA
•Makan sahur, di dalam makan sahur adanya keberkatan.
Sabda Nabi saw, تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِى السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya, “ Bersahurlah kamu, maka sesungguhnya pada makan sahur itu ada
keberkatan”. Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Waktu untuk makan sahur ialah sehingga terbit fajar Sodiq. Lihat firman ALlah di dalam surah
al-Baqarah ayat 187,
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمْ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنْ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنْ الْفَجْرِ
“….dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar…..”
•Melewatkan makan sahur
•Segera berbuka puasa apabila masuk waktunya.
•Memperbanyakkan membaca al-Quran
•Memperbanyakkan sedekah
•Menunaikan solat Tarawih
•Mengadakan majlis Iftar ( jamuan berbuka puasa).
•Dan lain-lain.
KHATIMAH
إذا جاء شهر رمضانَ فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين
[ Apabila datang bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka dan terbelenggulah syaitan-syaitan ] Riwayat Bukhari dan Muslim.
[ Apabila datang bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka dan terbelenggulah syaitan-syaitan ] Riwayat Bukhari dan Muslim.
(artikel ini dipetik daripada koleksi tarbiah Ust. Yusof Embong)
0 comments:
Post a Comment