"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Monday, June 15, 2009

Bacaan secara tankis di dalam solat

Assalamualaikum ustaz,

A. Pada rakaat pertama imam membaca surah Al Lahab, rakaat kedua An Nashr, komen ustaz.

B. Bagaimana pula ada imam membaca surah At Takaatsur pada rakaat pertama dan dia membaca petikan dari surah Al Anfaal atau lain-lain surah selain ayat2 lazim.

C. Ada juga imam membaca petikan dari surah seperti An Nur ataupun surah2 yang lain selain ayat2 lazim pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua dari ayat2 lazim contohnya At Tiin

Harap dapat penjalasan dari ustaz tiga perkara berbeza ini, terima kasih.

Wassalam.

Sahmain Hj. Hassim

Keningau.



Soalan tersebut adalah kiriman penanya kepada saya melalui e-mail. Oleh kerana perkara ini kerap terjadi di kalangan kita maka saya ingin berkongsi ilmu ini kepada yang bertanya dan pembaca semua.

Bagi situasi A dan B bacaan tersebut dipanggil التنكيس (tankis) - Iaitu membaca di dalam rakaat pertama surah yang terkemudian mengikut mashaf daripada rakaat kedua sepeti membaca surah an-nas pada rakaat pertama dan al-ikhlas pada rakaat kedua.



Hukum tankis surah di dalam solat.


Imam Ahmad apabila ditanya hal demkian beliau menjawab “tidak mengapa”.


Syeikh Abdullah Al-Jibrin apabila ditanya adakah berdosa membaca surah di dalam solat dengan tidak mengikut tertib susunan di dalam Al-Quran? Beliau menjawab berdosa kerana ia menyalahi tertib susunan mashaf muslimin dan para qurra’ di seluruh negara Islam, tetapi sekiranya di baca sekali sekala(tidak melazimi) untuk menunjukkan keharusan atau terlupa atau dalam keadaan jahil tentang hukum atau surah pertama lebih panjang daripada selepasnya seperti membaca surah al-qadr selepas surah al-bayyinah maka dimaafkan.



Hanafi berpendapat tidak ada tankis di dalam solat dan tidak harus kerana susunan surah di dalam mashaf adalah tauqifi.(ketetapan Allah dan Rasul)


Jumhur ulama mengatakan bahawa harus dengan beberapa sebab:


1.Kerana tertib susunan surah walaupun tauqifi tetapi tiada kaitan dengan bacaan.


2.Ada dalil yang menunjukkan bahawa Nabi membaca surah an-nisa’ sebelum surah ali-imran di dalam solat malamnya sebagaiman yang dilaporkan oleh Huzaifah.


3. Hadis di dalam sahih Bukhari, Kitabus solah. Berkata Al-Imam al- Bukhari “Adalah Umar ketika memgimami solat membaca surah al-kahfi di dalam rakaat pertama dan surah yusuf atau yunus di dalam rakaat kedua”.


Al- Imam An-Nawawi berkata membaca ayat secara tankis secara sengaja dalam satu rakaat adalah haram dan membatalkan solat kerana menyalahi susunan al-quran (seperti membaca ayat 200 surah al-baqarah sebelum ayat 199.) Sekiranya membaca secara tankis dalam dua rakaat hukumnya makruh seperti membaca ayat 155 hingga 160 surah al-baqarah di dalam rakaat pertama kemudian membaca ayat 150 hingga ayat 154 surah yang sama di dalam rakaat kedua.


Kesimpulan:


Harus tankis surah seperti yang disebutkan tadi tetapi yang lebih utama ialah membaca mengikut tertib mushaf, dengan syarat tidak memanjangkan bacaan pada rakaat kedua lebih daripada rakaat pertama.
والله أعلم


2 comments:

sahmain said...[Balas]

terima kasih, mudah-mudahan ianya menjadi panduan kepada para imam kita dan juga kepada mereka yang diamanahkan untuk mengimamkan solat, kerana ada juga yang bergelar ustaz melakukan kesilapan sedemikian.

fredd said...[Balas]

terima kasih. akhirnya terjawab persoalan yang saya cari ini

Post a Comment