"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Tuesday, October 8, 2013

Ibadat Haji




Mengerjakan ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Ibadat haji wajib dikerjakan jika mampu. Tidak wajib jika tidak mampu. Dalilnya firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud:

 “.. mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah,iaitu (bagi) orang yang mampu mengadakan perjalanan ke Baitillah. Barangsiapa mengingkarinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.”

Ironinya ramai orang Islam yang tidak mengerjakan kewajipan tersebut walaupun ada kemampuan. Mereka boleh berbaris pergi ke Paris, melancong ke Hong Kong, menonton wayang nun jauh di seberang, bercanda di Sungai Nil sambil mengail, melancong ke Bali dan lain-lain lagi. Sayangnya mereka tak mau ke Mekah menunaikan ibadat haji dan umrah.

Bagi yang malas dan culas untuk tidak mahu buat haji dan umrah, ingatlah bahawa  nabi ada bersabda bahawa barangsiapa yang ada harta, bekalan, kenderaan yang boleh menyampaikan ia ke baitillah (ada kemampuan) tetapi dia tidak mengerjakan ibadat haji maka tiada salah baginya untuk Allah matikan ia dalam agama Yahudi ataupun Nasrani.

Ganjaran pahala untuk ibadat haji amatlah lumayan. Haji mabrur tiada balasan yang setimpal dengannya kecuali syurga. Untuk dapat haji mabrur bukanlah senang kecuali jika seseorang itu niatnya ikhlas dan ikut semua tatasusila mengerjakan ibadat haji.

Mafhum firman Allah:

(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh), berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa, dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.
Kepada para jamaah haji, saya doakan agar mandapat haji mabrur, selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air. Selamat Menyambut bulan Zulhijjah, bulan terakhir kalendar hijrah. Semoga kita dapat meraih taqwa dan reda Allah.


Thursday, October 3, 2013

Manfaatkan Waktu Sihat



Jaga Kesihatan

Pepatah arab ada mengatakan:

الصحة تاج المرء لا يعرفه إلا المريض

Sihat itu mahkota seseorang yang tidak diketahui kecuali orang sakit.
Orang tua-tua ada berpesan “Akal yang cerdas berasal dari badan yang sihat”.

Kesihatan amat penting kepada seseorang. Setiap orang mahu supaya dirinya kekal sihat sepanjang masa. Tidak hairan jika ada yang sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata mahu kekal sihat.

Islam menyuruh umatnya supaya menjaga kesihatan. Sebab itu dalam maqasid syar’iyyah antara lain menekankan supaya menjaga akal. Justeru Islam melarang umatnya bersigup, minum arak, hisap dadah kerana perbuatan tersebut amat membahayakan kesihatan dan akal seseorang.

Kesihatan perlu dijaga. Punca penyakit ialah perut. Nabi صلى الله عليه وسلم banyak kali berpesan agar jaga makan untuk kesihatan. Baginda sendiri makan mengikut keperluan. Negara kita ramai orang mati sebab makan.

Masa sihat ini perlu diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat samada untuk dunia kita maupun untuk akhirat. Ramai orang terpedaya dengan nikmat sihat. Masa sihat tidak diguna untuk buat taat, bila sakit baru ingat.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ)

“Daripada Ibni Abbas Radhiyallahu Anhuma, ia berkata, ‘Rasulullah صلى الله عليه  وسلم bersabda, ‘Ada dua nikmat dimana manusia banyak tertipu kerananya, iaitu kesihatan dan waktu luang’.” (Diriwayatkan oleh Bukhari)

عن بن عباس رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لرجل وهو يعظه : " اغتنم خمسا قبل خمس شبابك قبل هرمك وصحتك قبل سقمك وغناءك قبل فقرك وفراغك قبل شغلك وحياتك قبل موتك "
أخرجه الحاكم في المستدرك

“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara :Waktu mudamu sebelum  tuamu,
sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, hidupmu sebelum datang kematianmu.”

Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, maksudnya: “Beramallah di waktu sihat, sebelum datang waktu yang menghalangi untuk beramal seperti pada waktu sakit.”
Amat beruntung bagi orang yang sentiasa memenuhi waktu sihatnya dengan amalan soleh. Sabda nabi

عن أبي موسى - رضي الله عنهما - قال: قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم -: ((إذا مرض العبد أو سافر كتب له مثل ما كان يعمل مقيمًا صحيحًا))؛ رواه البخاري 
.
Daripada Abi Musa katanya, Sabda nabi صلى الله عليه وسلم Apabila seseorang hamba sakit atau bermusafir, maka ditulis pahala ke atasnya seperti mana ia beramal ketika bermukim dan sihat. Contohnya kalau kita semasa sihat sentiasa solat berjamaah, apabila sakit kita dapa juga pahala berjamaah walaupun solat di rumah.

Wednesday, October 2, 2013

Islam dan Integriti



Islam adalah agama yang amat menitikberatkan integriti dalam kalangan penganutnya. Menurut kamus Dewan Edisi 3, integriti (intégriti) ditakrifkan sebagai kejujuran,  keadaan sempurna dan utuh, keutuhan.

Kejujuran pula ialah berkenaan perihal jujur, kelurusan hati, keikhlasan. Jujur itu lurus hati, tulus, ikhlas.

Dalam Kamus al-Maurid, Integrity diertikan dalam bahasa Arab dengan perkataan  سلامة, كمال، استقامة، أمانة yang membawa maksud selamat, sempurna, istiqamah dan amanah.

Menelusi maksud perkataan integriti, maka Islam sudah lama mengajar umatnya supaya berintegriti bahkan ianya dihubungkaitkan dengan keimanan.

لا إيمان لمن لا أمانة له
“Tiada iman bagi sesiapa yang tidak beramanah”

Orang yang tiada integriti adalah orang yang tidak amanah. Dalam hatinya ada  mempunyai ciri-ciri munafik. Orang munafiq kelasnya dalam api neraka yang paling bawah.

Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka.”(an-nisa’:145)

Integriti itu ikhlas dalam amalan. Ikhlas adalah salah satu prasyarat untuk seseorang hamba mendapat pahala. Setiap sesuatu  amalan dinilai berdasarkan niat.

وإنما لكل امرئ ما نوى

Islam itu sempurna. Allah telah reda Islam itu sebagai anutan. Nikmat Islam sungguh bermakna kepada kita. Integriti itu mengajar kita supaya buat kerja dengan sempurna tidak sambil lewa.

Seterusnya dalam integriti juga ada istiqamah. Istiqamah ialah terus menerus berbuat sesuatu yang membawa kita kepada reda Allah. Tidak berintegriti namanya jika kita tidak istiqamah.

Kesimpulannya, dalam kita berkademat sebagai penjawat awam, sifat integriti amat diperlukan. Jika seseorang tiada integriti rosaklah organisasi, hilanglah iman daripada diri. Akhirat kelak amatlah rugi.

Tuesday, September 24, 2013

Hati



Hati ialah satu makhluk Allah yang paling unik. Ramai orang sebut tentang hati ini. Sakit hati, buah hati, makan hati, hati busuk, hati keras, hati mati, mata hati, cendera hati dan lain-lain istilah berkaitan hati.

Nabi صلى الله عليه وسلم ada bersabda bahawa dalam satu jasad ada satu ketul daging yang mana jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad , jika buruk maka buruklah keseluruhan jasad. Itulah namanya hati.

Allah سبحانه وتعالى berfirman yang bermaksud (yaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih,”(as syuara’:88-89)

Hati orang beriman adalah hati yang bersih. Hati yang bersih dipancari nur iman. Lantas terserlahlah dia melalui amalan yang salih, budi pekerti yang mulia. Apabila iman memasuki hati maka hati akan menjadi tenang dan lapang.

Orang beriman malar mengingati Allah. Dengan mengingati Allah hati akan tenteram. Allah سبحانه وتعالى berfirman yang bermaksud (yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (ar ra’d:28).

Ironinya, manusia mencari ketenteraman dan kelapangan hati dengan perkara-perkara yang boleh membuatkan hati menjadi mati. Hati boleh menjadi mati dengan maksiat kepada Allah.

Apabila seseorang buat maksiat maka satu titik hitam akan ternoktah di dalam hatinya. Jika ia bertaubat maka terpadamlah titik hitam itu. Jika ia terus menerus melakukan maksiat maka seluruh hatinya akan menjadi hitam yang boleh menjadikan cahaya iman terpadam.

Jika hati diselubungi karat maka semua kerja tidak berkat. Ilmu yang dipelajari tidak bermanfaat. Belajar agama sampai tahap PHd tapi hukum agama ditolak ke tepi kerana masalah hati. Hati mati adalah pengundak daripada mentaati Allah.

Sebagai intiha, marilah sama-sama kita sirami hati dengan baja iman dan taqwa supaya ia sentiasa mekar dan bersinar. Jauhi diri daripada maksiat kerana maksiat hati berkarat. Jika terlanjur buat maksiat maka segeralah bertaubat.Semoga kehidupan kita mendapat berkat!