Mengerjakan
ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Ibadat haji wajib
dikerjakan jika mampu. Tidak wajib jika tidak mampu. Dalilnya firman Allah dalam
surah Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud:
“.. mengerjakan haji adalah kewajipan manusia
terhadap Allah,iaitu (bagi) orang yang mampu mengadakan perjalanan ke
Baitillah. Barangsiapa mengingkarinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak
memerlukan sesuatu) dari semesta alam.”
Ironinya ramai orang Islam yang tidak mengerjakan
kewajipan tersebut walaupun ada kemampuan. Mereka boleh berbaris pergi ke
Paris, melancong ke Hong Kong, menonton wayang nun jauh di seberang, bercanda
di Sungai Nil sambil mengail, melancong ke Bali dan lain-lain lagi. Sayangnya
mereka tak mau ke Mekah menunaikan ibadat haji dan umrah.
Bagi yang malas dan culas untuk tidak
mahu buat haji dan umrah, ingatlah bahawa nabi ada bersabda bahawa barangsiapa yang ada
harta, bekalan, kenderaan yang boleh menyampaikan ia ke baitillah (ada
kemampuan) tetapi dia tidak mengerjakan ibadat haji maka tiada salah baginya untuk
Allah matikan ia dalam agama Yahudi ataupun Nasrani.
Ganjaran pahala untuk ibadat haji amatlah
lumayan. Haji mabrur tiada balasan yang setimpal dengannya kecuali syurga.
Untuk dapat haji mabrur bukanlah senang kecuali jika seseorang itu niatnya
ikhlas dan ikut semua tatasusila mengerjakan ibadat haji.
Mafhum firman Allah:
(Musim) haji adalah beberapa bulan yang
dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan
haji, maka tidak boleh rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan
berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh), berbuat fasik dan berbantah-bantahan di
dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya
Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa,
dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.
Kepada para jamaah haji, saya doakan agar
mandapat haji mabrur, selamat pergi dan selamat pulang ke tanah air. Selamat
Menyambut bulan Zulhijjah, bulan terakhir kalendar hijrah. Semoga kita dapat meraih
taqwa dan reda Allah.
0 comments:
Post a Comment