"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Wednesday, November 16, 2011

Jibril Bersoal-jawab Dengan Nabi Muhammad SAW

HADIS 40: Hadis ke 2

عن عمر بن الخطاب قال: بينا نحن عند رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم إذ طلع علينا رجل شديد بياض الثياب شديد سواد الشعر لا يرى عليه أثر السفر ولا نعرفه، حتى جلس إلى رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم فأسند ركبتيه إلى ركبتيه ووضع كفّيه على فخذيه فقال: يا محمد! أخبرني عن الإِسلام، قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: "الإِسلام أن تشهد أن لا إله إلا اللّه وأن محمَّداً رسول اللّه وتقيم الصلاة، وتؤتي الزكاة، وتصوم رمضان، وتحج البيت إن استطعت إليه سبيلاً" قال: صدقت، قال: فعجبنا له يسأله ويصدقه، قال: فأخبرني عن الإِيمان، قال: "أن تؤمن باللّه وملائكته وكتبه ورسله، واليوم الآخر، وتؤمن بالقدر خيره وشرِّه" قال: صدقت، قال: فأخبرني عن الإِحسان قال: "أن تعبد اللّه كأنك تراه، فإِن لم تكن تراه فإِنه يراك" قال: فأخبرني عن الساعة؟ قال: "ما المسئول عنها بأعلم من السائل" قال: فأخبرني عن أمارتها قال: "أن تلد الأمة ربتها، وأن ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء يتطاولون في البنيان" قال: ثم انطلق فلبثت ثلاثاً، ثم قال: "يا عمر، هل تدري من السائل؟" قلت: اللّه ورسوله أعلم، قال: "فإِنه جبريل أتاكم يعلمكم دينكم".

Daripada Umar RA katanya: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulillah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang putih melepak pakaiannya, bersangatan hitam rambutnya, tiada tanda orang itu kesan musafir, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya lalu ia duduk berdekatan kepada Nabi s.a.w lalu ia menyandarkan kedua lututnya kepada dua lutut Nabi S.A.W. dan meletakkan kedua telapak tangannya di atas dua pahanya, kemudian ia berkata:Wahai Muhammad, Khabarkanlah kepadaku perihal Islam. Rasulullah SAW menjawab: Islam itu ialah engkau mengakui bahawa tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, puasa Ramadhan, dan mengerjakan haji di Baitillah sekiranya engkau bekemampuan pergi ke sana. Ia berkata: Benarlah engkau!

Maka kami kehairanan kerana ia bertanya dan ia pula yang membenarkannya. Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku berkenaan Iman. Rasulullah SAW menjawab: Iman itu ialah engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya, segala kitab-Nya, para Rasul-Nya dan hari akhirat dan engkau beriman kepada taqdir baik-Nya dan jahat-Nya. Ia berkata: Benarlah engkau! Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasulullah menjawab: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya,maka sesungguhnya ia melihat engkau.

Seterusnya dia bertanya: Maka khabarkan kepadaku darihal hari kiamat. Rasulullah menjawab: Tidaklah yang ditanya kepadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya. Kalau begitu, katanya, khabarkan kepadaku tanda-tandanya sahaja. Rasulullah menjawab: Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau melihat orang-orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing berlumba-lumba menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan. Kemudian ia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah s.a.w bertanya: Hai ‘Umar! Adakah engkau tahu siapa orang yang bertanya itu? Kataku: Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu. Rasulullah berkata: Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.

Hadis ini adalah salah satu hadis yang menjadi asas kepada agama seluruhnya yang mana ianya menekankan berkaitan ad-din yang merangkumi Islam, Iman dan Ihsan. Daripada hadis ini dapat kita lihat peribadi rasulillah SAW yang unggul. Baginda senang didampingi, selalu bersama dengan para sahabat walau di mana sahaja berada.

Rasulullah tak ada PA yang membuat jaji temu bagi siapa yang nak bertemu denganya. Inilah pemimpin contoh yang perlu dijadikan ikutan oleh pemimpin sekarang. Apabila rasulullah SAW bersama para sahabat baginda tidak membuang masa begitu sahaja. Ada sahaja perbincangan baik bersangkutan kepentingan dunia maupun akhirat. Tiada istilah buang masa dengan sia-sia dalam kehidupan nabi SAW dan para sahabat pada zaman baginda.

Ketika para sahabat duduk bersama nabi SAW tiba-tiba muncul seorang lelaki yang tidak dikenali. Berpakaian bersih dan kemas, tiada tanda orang ini telah menempuh perjalanan yang panjang. Datang menghampiri nabi SAW sepertimana yang disebut dalam hadis tadi.

Panggilan Jibril kepada nabi “Ya Muhammad!”(wahai Muhammad)

Malaikat Jibril tidak memanggil nabi dengan ungkapan “Ya Rasulallah tetapi sebaliknya menggunakan ungkapan “Ya Muhammad”(wahai Muhammad). Kenapakah Jibril memanggil sedemikain?

Para ulama mengatakan bahawa Jibril berbuat demikian kerana yang pertama supaya sahabat merasa lebih ingin tahu siapakah gerangan yang datang dan yang kedua Jibril tidak termasuk dalam perintah Allah dalam firman-Nya:

لَا تَجْعَلُوا دُعَاءَ الرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَاءِ بَعْضِكُمْ بَعْضًا قَدْ يَعْلَمُ اللَّهُ الَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنْكُمْ لِوَاذًا فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (63)

Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang berangsur- angsur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpa cobaan atau ditimpa azab yang pedih.

Inilah kemuliaan baginda nabi SAW. Di dalam al-quran tidak ada panggilan “ya Muhammad”. Selain daripada nabi Muhammad SAW quran ada sebut antaranya:

وَقُلْنَا يَا آَدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ

قَالُوا يَا نُوحُ قَدْ جَادَلْتَنَا

قَالُوا يَا صَالِحُ قَدْ كُنْتَ فِينَا مَرْجُوًّا

قَالُوا يَا هُودُ مَا جِئْتَنَا بِبَيِّنَةٍ

فَلَمَّا أَتَاهَا نُودِيَ يَا مُوسَى

يَا يَحْيَى خُذِ الْكِتَابَ بِقُوَّة

Tetapi rasulullah SAW di dalam al-quran diseru dengan:

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ

Kemudian berlakulah soal jawab antara Malaikat Jibril dengan rasulillah SAW. Jibril bertanya tentang islam, iman dan ihsan. Apabila rasulullah menjawab maka Jibril telah membenarkan jawapan baginda. Ini menyebabkan para sahabat berasa hairan.

Nak sebut sikit tentang lafaz “malaikat”. Lafaz ini ialah kata jamak yang bermaksud ramai. Kalau satu kita panggil “malak”. Malakun. Malakaan. Malaikat. Dalam quran surah Yusuf ayat 31:

وَقُلْنَ حَاشَ لِلَّهِ مَا هَذَا بَشَرًا إِنْ هَذَا إِلَّا مَلَكٌ كَرِيمٌ

Hadis ini memberi isyarat dan pengajaran bagaimana cara seorang murid menghadiri majlis ilmu. Kita hendaklah berpakaian bersih dan duduk dekat dengan guru dalam keadaan tertib dan sopan. Malangnya sekarang kita tengok tok guru bagi kuliah seolah-olah bercakap seorang diri kerana hadirin lebih selesa berjauhan daripada ustaz. Tiang-tiang dan dinding masjid menjadi pilihan untuk duduk. Lebih malang lagi jika ketika guru mengajar pelajar asyik dengan laptop dan sebagainya.

Seorang guru boleh mengambil iktibar daripada hadis ini ketika menjalankan aktiviti P & P. Antaranya ialah:

1. Menggunakan kaedah bersoal jawab. Inilah yang dilakukan oleh Jibril yang bertindak sebagai guru. Beliau datang mengajar para sahabat dalam bentuk bertanya soalan kepada nabi.

2. Menjawab soalan murid sekadar yang diketahui. Guru kena ingat bahawa tidak semua ilmu dia kuasai. Jika guru tak dapat jawab soalan pelajar, maka janganlah kelentong dengan memberikan jawapan yang bukan-bukan. Ingatlah firman Allah SWT:

وَلا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولا

And pursue not that of which thou hast no knowledge; for every act of hearing, or of seeing or of (feeling in) the heart will be enquired into (on the Day of Reckoning).(al isra’:36)

Inilah yang dijawab oleh nabi SAW tatkala Jibril bertanya tentang bila berlakunya kiamat. Nabi memang tak tahu bila tarikhnya. Jibril pun tak tahu. Hari ini kecoh ada orang bagitahu bahawa kiamat akan berlaku pada 2012.Macamlah kita lebih hebat daripada nabi dan Jibril.

3. Seorang guru mestilah mengambil berat kemajuan muridnya. kena tanya murid. Jika ada masalah atau persoalan maka guru kena menyelesaikannya. Jangan biarkan murid terpinga-pinga mencari penyelesaian. Dalam hadis ini nabi telah memberitahu kepada Umar bahawa yang datang itu ialah Jibril. Umar dah terdiam dua tiga hari tertanya-tanya siapa gerangan yang bertanya itu.

Kesimpulannya marilah sama-sama kita hayati hadis nabi dan seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan kita sehari-harian. Mudah-mudahan kehidupan kita terarah kepada reda Allah SWT.

والله أعلم

1 comments:

Unknown said...[Balas]

جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا

Post a Comment