عن أمير المؤمنين أبي حفصٍ عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله عليه وسلم يقول : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ( إنما الأعمال بالنيات ، وإنما لكل امرئ ما نوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه ) .
Daripada Amirul Mu'minin Abu Hafsh 'Umar bin al-Khattab Radhiyallahu 'anhu berkata: "Aku dengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperoleh apa yang dia niatkan. Barang siapa yang berniat hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa yang berniat hijrahnya kerana dunia yang dia akan perolehnya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia hijrahkan kepadanya"
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa amalan seseorang itu bergantung kepada niat. Ianya adalah penentu samada dia mendapat mendapat gajaran pahala atau sebaliknya. Sesungguhya Allah SWT tidak menyuruh kita kecuali supaya beribadat kepada-Nya dengan penuh keikhlasan. Firman Allah SWT:
Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan penuh keikhlasan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.(al-bayyinah:5).
Ikhlas ialah mengerjakan atau meninggalkan sesuatu hanya semata-mata kerana mengharapkan reda Allah SWT, bukan untuk dipuji, menunjuk-nunjuk, mencari nama dan sebagainya. Ulama ada mengatakan bahawa tanda keikhasan seseorang itu ialah hal ehwal keadaannya sama sahaja samada ketika orang melihatnya atau tidak.
Sesungguhnya Syaitan telah berjanji akan merosakkan amalan anak cucu Nabi Adam dari segenap penjuru, depan belakang kiri kanan atas bawah. Mereka tidak akan diam untuk merosakkan amalan manusia. Tidak ada kamus putus asa dalam kehidupan Syaitan untuk menyesatkan kehidupan manusia daripada landasan yang dikehendaki Allah SWT.
Senjata ampuh yang mesti dimiliki manusia bagi melawan perancangan jahat Syaitan ialah ikhlas. Manusia ikhlas yang mengharap reda Allah tidak mampu ditembus oleh bujukan dan rayuan Syaitan. Firman Allah SWT:
Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti Aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka".(al-hijr:39 – 40)
Orang yang riya’ dalam ibadat adalah orang yang telah mengambil Syaitan sebagai penolong dan temannya sedangkan Allah SWT bagitahu bahawa Syaitan adalah musuh manusia yang nyata.
Dan (juga) orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka kerana riya’ kepada manusia, dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian. barangsiapa yang mengambil syaitan itu menjadi temannya, Maka syaitan itu adalah teman yang seburuk-buruknya. Riya’ ialah melakukan sesuatu kerana ingin dilihat dan dipuji orang.
Kesimpulannya hadis pertama daripada hadis 40 karangan al Imam an Nawawi ini merupakan asas bagi kesempurnan amalan. Ianya menuntut kita supaya mengiklaskan segala kelakuan dan amalan kita. Hamba Allah yang ikhlas berupaya untuk menghadapi tipu daya dan pujukan Syaitan.
2 comments:
Salam..Mohon izin untuk share..
@Anonymous Dipersilakan
Post a Comment