"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Sunday, April 24, 2011

Usrah umum

Usrah umum di masjid Pekan Keningau dijalankan sekali sebulan pada setiap malam Isnin, minggu terakhir bulan masihi. Pada bulan April 2011 usrah umum diadakan pada 24 April 2011, hari Ahad.

Alhamdulillah, kehadiran kali ini amat menggalakkan. Ahli jamaah sudah mula tidak rasa kekok untuk melontarkan pendapat dan persoalan. Usrah umum ini sebenarnya baru bermula setahun yang lalu.

Pada mulanya pengisian hanya diisi oleh para ustaz tapi lama kelamaan ia berjalan seperti yang dikehendaki dalam usrah. Saya sertakan di sini sedikit maklumat tentang usrah yang saya kongsi daripada Ustaz Yusuf Embong semasa beliau berkhidmat di Sabah.

TUJUAN DAN MATLAMAT USRAH

Tujuan usrah ialah menghubungkan diri dengan Allah, merapatkan ukhuwah Islamiah dan kejiranan, memelihara dan menghubungkan diri sesama manusia dan alam, mendalami fardu ain, meluaskan faham terhadap Islam, dan memberi galakan dan bimbingan dalam ibadah kepada generasi muda. Secara detailnya ialah;

1. Meningkatkan kefahaman anggota-anggota terhadap Islam dan menentukan sikap terhadap satu-satu masalah sebagai umat Islam.

2. Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jemaah.

3. Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai din wa daulah, menghayatinya dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendakwahkannya sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.

4. Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islamiah dalam diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.

5. Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan pelbagai bentuk cabaran dan godaan yang mengancam kemurnian Islam.

6. Mendidik perasaan masuliyyah مسئوليةdi hadapan ALlah dan Rasul-Nya.

7. Mewujudkan hubungan (صلة ) yang kuat dengan al-Quran dan as-Sunnah

8. Mendidik perasaan muraqabah مراقبة dengan ALlah dalam kehidupan.

9. Mengikhlaskan diri anggota kepada Allah untuk mencari keredaan-Nya, mengharapkan pahala dan berasa gerun terhadap seksaan-Nya. Sebaliknya bukan disebabkan segan dengan naqib usrah atau kumpulannya. Oleh itu setiap anggota hendaklah membetulkan niat, diikuti dengan amalan sekalipun tanpa arahan sesiapa.

10. Menggiat dan menyelaraskan usaha mempelajari dan memahami Islam di kalangan anggota.

11. Menyediakan tenaga yang benar-benar berkemampuan berketrampilan untuk bergerak demi kepentingan Islam.

12. Memelihara organisasi daripada dimasuki pemikiran yang keliru dan sumbang.

13. Mengukuhkan perasaan bersaudara dan memupuk semangat bertindak secara jemaah.

PERANAN USRAH

Usrah adalah Medan yang hidup untuk kita bekerjasama dalam melaksanakan Islam. Tempat menerima nasihat, pedoman, perbincangan dan lain-lain.

RUKUN-RUKUN IKATAN USRAH

i- Saling Berkenalan ( التعارف )

ii- Saling Memahami ( التفاهم )

iii- Saling Menyempurna( التكامل )

Rukun pertama ialah berkenalan (taaruf) iaitu berkenalan sesama sendiri dan berkasih sayang

di atas nama Islam dan cinta kepada Allah SERTA berusaha menghindarkan sebarang kekeruhan yang merenggangkan persahabatan. Elakkan perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah itu. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.

Antara firman Allah dan hadis ialah:

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

(Al-Hujarat : 10)

Berpeganglah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah. (AliImran :103)

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشده بعضه بعضا

Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain. Al-Hadith

المسلم أخَ المسلم لايُظلِمه ولايُسلمه

Orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya. Al-Hadith

مثل المؤمن في توادهم وتراحُمهم وتعطفهم كمثل الجسد الواحد

Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dalam perasaan belas

kasihan mereka, dan dalam simpati mereka adalah laksana badan yang satu. Al-Hadith

Rukun yang kedua ialah bersefahaman (tafahum) iaitu bersefahaman dalam memahami Islam dan menghayatinya.

Kita hendaklah berpegang pada kebenaran dengan mengerjakan apa-apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa-apa yang dilarang-Nya. Hisablah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan.

Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.

Sahabat yang dinasihati المنصوح itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat dengan sukacita serta berterima kasih.

Pemberi nasihat الناصح pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang dinasihati itu walaupun dengan kadar sehelai rambut sekali pun.

Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Jangan sekali-kali tawar hati terhadap sahabat yang silap itu. Sebaliknya, teruskanlah kasih sayang anda terhadapnya sehingga Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendaki-Nya.

Sahabat yang diberikan nasihat pula janganlah rasa hina diri dan keras kepala. Janganlah juga berubah hati walaupun sekadar sehelai rambut terhadap si pemberi nasihat.

Janganlah dikurangi kasing sayang sesama sahabat. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang kerana Allah الحب فى الله itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang.

Nasihat adalah Rukun ad-Dien.

Rasulullah s.a.w. bersabda الدين النصيحة , "Agama itu adalah nasihat."

Rukun yang ketiga ialah bantu-membantu (takaful)

Berimbangan Rukun usrah yang ketiga ialah takaful yang bermaksud memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar.

Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi dan membuat kebajikan. Bersegera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.

Sabda Rasulullah s.a.w.

لأن يمشي أحدكم فى حاجة أخيه خير له من أن يعتكف فى مسجدى هذا شهرا

, "Kalau seseorang daripada kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baginya daripada ia beriktikaf sebulan di masjidku ini.

Sabda baginda lagi (maksudnya), "Sesiapa memberikan kesukaan kepada keluarga sesebuah rumah orang muslim nescaya tidak lain yang dibalas Allah melainkan dengan syurga." Al-Hadith

PENGISIAN USRAH MINGGUAN /DWI BULANAN

i- Tafsir al-Quran dan al-Hadith.(bergilir) - 20 minit

ii- Teks Utama …… Kitab Muktabar, – 30 m

iii- Hal ehwal semasa ….ahli, jama’ah, perbincangan aktiviti dll. – 35 minit

iv- Tazkirah ringkas. – 5 minit

PELAKSANAAN USRAH

1 .Usrah diadakan seminggu atau dua minggu sekali.

2. Majlis usrah dikendalikan oleh seorang naqib atau naqibah.

3. Solat berjemaah, berwirid, membaca al-Quran adalah perkara utama majlis usrah.

4. Atur cara tetap usrah yang dicadangkan ialah solat Maghrib berjemaah, berwirid dengan al-Ma'thurat* dan membincangkan kertas-kertas kerja yang telah disediakan oleh naqib atau naqibah. Naqib hendaklah menghuraikan maksud al-Ma'thurat, kelebihannya dan maksud kandungannya.

5. Majlis usrah mestilah mempunyai tajuk yang tertentu yang telah ditetapkan terlebih dahulu dan dimaklumkan kepada anggota, sebaik-baiknya telah ditentukan bahan rujukan atau teksnya.

6. Sesudah berbincang dan berbahas dan bertukar-tukar fikiran dengan teliti, maka majlis mengambil satu keputusan atau rumusan yang menjadi pegangan kepada semua. Usrah ditegah sama sekali ditamatkan tanpa menghasilkan sesuatu persetujuan. Perbahasan boleh dilanjutkan kepada beberapa siri usrah sehingga dapat rumusan yang bulat dan konkrit, sekiranya tajuk perbahasan merupakan isu pokok dan memerlukan pandangan pimpinan yang lebih tinggi, maka hendaklah dirujuk kepada peringkat yang lebih bertanggungjawab dalam jemaah.

7. Tajuk yang akan diusrahkan pada minggu yang akan datang ditentukan oleh naqib atau menurut ketetapan bersama atau menurut arahan pimpinan.

8. Sebahagian daripada waktu usrah hendaklah diperuntukkan khusus kepada organisasi dan hal ehwal semasa dan perkembangan perjuangan umat Islam di dalam dan luar negara.

9. Usrah bersurai sesudah membaca tasbih kafarah dan surah Al-Asr.

ADAB-ADAB USRAH

1. Ikhlas. Ikhlas hanya kepada Allah.

2. Meminta izin masuk. Meminta izin untuk masuk serta memberi salam sebelum memasukir umah anggota atau tempat diadakan majlis usrah.

3. Menepati masa. Datang ke majlis tepat pada waktu yang ditetapkan.

4. Suci. Datang ke majlis dalam keadaan berwuduk dan memakai pakaian yang sopan, bersih,suci serta sempurna.

5. Beritahu naqib jika tidak hadir. Jika ada yang tidak dapat hadir kerana uzur syarie, hendaklah segera memberitahu kepada naqib atau naqibah atau sekurang-kurangnya kepada sahabat yang menjadi tuan rumah.

6. Bersedia dari segi mental dan perlakuan. Datanglah ke majlis dengan persiapan yang telah diamanahkan setelah kita sanggup untuk menunaikannya.

7. Membawa sumber dan alat tulis. Sediakan keperluan seperti al-Qur'an, teks surah, buku-buku catatan dan al-Ma'thurat (jika perlu) .

8. Mengukuhkan ukhuwah. Datang ke majlis dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwah dan berkasih sayang kerana Allah.

9. Menuntut ilmu. Berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman bagi diamalkan dan disampaikan kepada orang lain kecuali perkara yang rahsia.

10. Duduk bersopan. Duduk dengan bersopan santun. Majlis usrah adalah majlis zikrullah dan dihadiri sama oleh para malaikat.

11. Fatihah dan selawat. Mulakan majlis dengan membaca al-Fatihah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.

12. Menyampaikan kepada orang lain. Mendengar segala penjelasan, bacaan-bacaan, arahan-arahan dan pengajaran dengan teliti dan tenang sambil cuba memahaminya, mencatat dan mengingati dengan tepat sebelum disampaikan kepada orang lain.

13. Bertanya dengan izin. Memohon penjelasan atau mengemukakan pertanyaan selepas diberi peluang atau setelah meminta izin naqib atau naqibah.

14. Mencelah apabila sangat perlu. Jangan mencelah ketika naqib atau sahabat sedang memberi penerangan kecuali dalam perkara yang memerlukan teguran yang segera (seperti membetulkan bacaan yang silap). Jika kita mencelah, naqib atau sahabat usrah mungkin kehilangan tumpuan terhadap perkara yang sedang diperkatakan.

15. Mengawal suara. Jangan mengangkat suara tinggi lebih daripada keperluan pendengar. Ini adalah perkara yang dilarang oleh Allah.

16. Tenang dan serius. Jangan banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah bersifat tenang dan serius.

17. Jangan bergurau. Jangan banyak bergurau. Umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara. Banyak bergurau akan menjadikan majlis usrah bertukar menjadi majlis jenaka, gurau senda dan gelak ketawa. Keperluan bergurau terkawal dan terhad pada perkara yang benar sahaja.

18. Jangan merokok. Jangan merokok di tempat usrah. Usahakanlah agar tabiat merokok ini boleh ditinggalkan terus. Bau asap boleh mengganggu sahabat dan tuan rumah yang tidak merokok.

19. Jangan banyak soal. Jangan mempersoalkan arahan-arahan yang telah diberikan dengan jelas dan menepati syaraK.

20. Izin keluar majlis. Minta izin dari naqib sebelum keluar dari majlis kerana sesuatu keperluan. Ini adalah kerana keluar dari majlis tanpa izin adalah perangai orang munafik.

21. Jangan bertengkar. Jangan sekali-kali bertengkar kerana ia akan merenggangkan ukhuwah sedangkan antara matlamat usrah ialah untuk memupuk ukhuwah.

22. Berusaha mengenali sahabat. Sentiasa berusaha di dalam dan di luar majlis usrah untuk mengenali sahabat-sahabat satu usrah.

23. Membaca tasbih kafarah. Akhiri majlis dengan membaca tasbih kafarah dan surah al-Asr secara sedar dan memahami serta menghayati maknanya.

24. Bersalaman. Bersalaman dan saling bermaaf-maafan selepas selesai majlis.

25. Bersegera pulang. Terus pulang apabila selesai majlis kecuali ada keperluan yang penting.

26. Menjaga rahsia jemaah. Merahsiakan setiap perbincangan, maklumat atau arahan yang telah diputuskan tentang sesuatu perkara itu sebagai rahsia atau setiap perkara yang dikirakan tidak patut untuk disebarkan.

NAQIB DAN TUGASNYA

· Naqib hendaklah seorang yang bertaqwa kepada ALlah dalam semua amalannya dan bermuraqabah kepada ALlah.

· Mempunyai sekeping hati yang besar yang dapat menampung seluruh cita-cita dan derita anggota jama’ah.

· Meneyediakan akal yang bijak untuk memberi nasihat dan diterima oleh ahli.

· Tunduk kepada hukum-hukum ALlah dan tidak dipengaruhi oleh rasa sombong, riya’, terperdaya dengan pangkat dan lainnya.

1. Bahan asas. Pastikan anak buah mempunyai bahan-bahan asas seperti al-Qur'an dan terjemahannya, buku dan alat tulis.

2. Muhasabah. Adakan satu sistem untuk muhasabah anak buah. Lakukan mengikut tahap-tahap tertentu, secara terbuka atau individu.

3. Jamuan. Jamuan boleh ada, boleh tiada. Jika diadakan, pastikan ia sederhana--> majlis menjamu selera.

4. Menjaga ibadah khusus: Kesempurnaan beribadat seperti solat, puasa, zakat dan ibadat nawafil mesti diutamakan. Pastikan anak buah anda benar-benar mengerti dan mengamalkannya. Sekali sekala, anjurkan ibadat nawafil jamai seperti qiamullail, puasa, zakat harta dan lain-lain.

5. Pemilihan tajuk. Gunakan kebijaksanaan dalam memilih tajuk usrah supaya dapat mengubati kelemahan yang wujud dalam diri anak buah anda dengan memilih tajuk yang sesuai dengan suasana anak buah anda, contohnya sekiranya usrah anda lemah dalam ikatan persaudaraan atau tidak cukup mesra maka jadikan tajuk usrah persaudaraan dan tuntutannya dalam Islam.

6. Cungkil bakat. Naqib hendaklah mencungkil bakat yang terpendam di dalam organisasi.

Mereka mempunyai kebolehan dalam menulis kertas kerja dan mengajar, ceramah dan lain-lainnya mestilah diasah bakatnya dalam usrah.

7. Tambah ilmu. Anda mestilah menggalakkan anak buah anda membaca buku-buku ilmiah, pengetahuan termasuk majalah-majalah, surat khabar, kertas kerja, kajian ilmiah dan lain-lainnya.

8. Wujudkan subkumpulan. Anggota usrah yang sedia ada hendaklah ditugaskan mengadakan kelompok-kelompok usrah yang baru, mereka ditugaskan memimpinnya. Anda hendaklah menjadi penyelia kepada kelompok-kelompok baru itu.

9. Teks usrah. Pada peringkat permulaan dinasihatkan supaya setiap usrah mempunyai kitab atau teks yang tertentu. Sekiranya perlu, hendaklah membeli kitab-kitab rujukan tersebut.

10. Tabung usrah. Usahakan sedaya upaya usrah mempunyai tabung, setiap kali berusrah hendaklah dipungut derma walaupun kadar yang paling sedikit.

11. Aktiviti sokongan. Sekali sekala anjurkan perkelahan di tempat-tempat yang difikirkan munasabah seperti di tepi pantai di sungai, di pedalaman dan ziarah tempat-tempat bersejarah atau tokoh-tokoh seperti para ulama. Jadikan muhasabah ini suatu peluang mengenali rakan seperjuangan saudara dari dekat.

12. Profil ahli. Adalah amat berguna sekiranya naqib mempunyai nota atau diari, khususnya mengenai anggota usrah. Diari ini mengandungi maklumat yang membolehkan mengetahui kebolehan, keistimewaan kedudukan serta iltizam ahli usrahnya.

13. Mengikuti perkembangan sahsiah. Naqib bertanggungjawab mengembang dan mengikuti kemajuan sahsiah anggota usrah. Adab mestilah dijaga--jangan sama sekali berlaku jadal (berbalah) dan perbincangan yang tidak berguna sehingga terkeluar daripada adab seperti mengeluarkan suara nyaring.

NERACA USRAH YANG BERJAYA.

i- Sejauhmana dapat meningkat kefahaman dan kesedaran Islam.

ii- Sejauhmana dapat meningkatkan kerjasama-ta’awun تعاونdalam menghayati Islam.

iii- Sejauhmana dapat menumbuhkan “masuliyyah fardiyyah” – مسؤولية فردية

PENGKELASAN/ PEMERINGKATAN USRAH

Tahap Pertama : Memahami Islam yang syumul.

: Membina asas iman, ibadat dan akhlak yang asas.

Tahap Kedua Memenuhi ciri-ciri “tahap pertama” & persetujuan naqib.

: Memahami kewajiban ‘amal jama’i.

: Menekankan lagi aspek ibadah dan akhlak.

Tahap Ketiga : Memenuhi ciri-ciri “tahap kedua” & persetujuan naqib.

: Menunjukkan ciri-ciri intima’ dengan jama’ah.

: Memahami uslub, manhaj dakwah, ciri-ciri jama’ah dan

matlamatnya.

MARHALAH DAKWAH

Pertama : Marhalah takrif ( مرحلة التعريف ) atau tabsyir al-Fikrah ( تبشير الفكرة )

Iaitu peringkat menyebarkan dakwah secara umum melalui ceramah, forum, kuliah, buku dll.

Kedua : Marhalah takwin ahli ( مرحلة التكوين ). Iaitu peringkat membentuk

dan membina anggota jama’ah dalam saf perjuangan.

Ketiga : Marhalah Tanfiz ( مرحلة التنفيذ ). Iaitu peringkat melaksanakan tugas-

tugas dan kerja-kerja dakwah.

PENUTUP

Sudah ramai mereka yang gugur dalam perjalanan dakwah ini. المتساقطون على طريق الدعوة

Maksudnya, “Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). at-Taubah ayat 42

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa. Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya. At-Taubah : 44 - 45

BERTEKAD MENERUSKAN PERJUANGAN ISLAM

Uye050501

0 comments:

Post a Comment