"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Monday, April 5, 2010

Lima perkara daripada fitrah

عن أبي هريرة؛ قال:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((الفطرة خمس. أو خمس من الفطرة: الختان والاستحداد وتقليم الأظافر ونتف الإبط وقص الشارب)).

Daripada Abi Hurairah RA katanya sabda Rasulullah SAW: Fitrah itu lima, lima perkara daripada fitrah: khitan, mencukur bulu ari-ari, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misai.

Hadis ini terdapat dalam sunan Ibn Majah, bab fitrah, kitab bersuci dan sunat-sunatnya. Di dalam kitab الفقه المنهجي para pengarangnya telah memetik hadis ini dan diletakkan di dalam bab taharah.

Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan penganutnya samada daripada kotoran zahir mahupun batin. Hadis di atas menganjurkan kepada kita supaya menitikberatkan lima perkara yang termasuk daripada fitrah iaitu:

1.khitan

Berkhitan ialah memotong kulit yang menutupi kepala alat kelamin lelaki yang dipanggil hasyafah. Dalam bahasa Arab khitan juga digunakan sebagai nama lain alat kelamin lelaki dan perempuan sebagaimana hadis Nabi SAW:

عن عائشة زوج النبي صلى الله عليه وسلم قالت: إذا التقى الختانان فقد وجب الغسل. فعلته أنا ورسول الله صلى الله عليه وسلم، فاغتسلنا.

"Apabila terjadi pertemuan dua khitan, maka telah wajib mandi"

Menurut jumhur ulama, khitan bagi lelaki adalah wajib dan sunat bagi perempuan. Imam Hanafi mengatakan khitan wajib tetapi tidak fardhu. Ibnu Qudamah dalam kitabnya Mughni mengatakan bahwa khitan bagi lelaki hukumnya wajib dan kemuliaan bagi perempuan.

2.mencukur bulu ari-ari

Iaitu mencukur bulu-bulu yang tumbuh di sekitar qubul dan dubur. Ibnu Hajar dalan fathil bari menjelaskan bahawa sunat mencukur bulu-bulu yang tumbuh di sekitar kemaluan depan dan belakang. Di dalam hadis Anas bin Malik dijelaskan bahawa orang Islam tidak harus membiarkan kuku, bulu ketiak, bulu ari-ari dan misai lebih daripada 40 hari.

3.Memotong kuku

Tidak ada dalil yang sahih yang menetapkan hari-hari tertentu untuk memotong kuku. Kuku mesti dipotong apabila panjang. Ada ulama yang mengatakan sunat potong kuku pada hari Khamis dan Jumaat berdasarkan beberapa athsar.

4.mencabut bulu ketiak

Sunat mencabut bulu ketiak. JIka sakit maka bolehlah digunakan pisau cukur atau alat-alat yang lain. Boleh juga isteri mencabut bulu ketiak suami dan suami mencabut bulu ketiak suami. Amalan sebegini boleh menambahkan lagi kemesraan suami isteri.

5.menipiskan misai

Hukum menipiskan misai adalah sunat. Tidak harus dibiarkan panjang kerana ianya menyerupai orang majusi. Sabda Nabi SAW:

قصوا الشوارب واعفوا اللحى خالفوا المشركين

Nipiskan misai, biarkan janggut tumbuh, bezakan dengan musyrikin.

0 comments:

Post a Comment