"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Tuesday, August 7, 2012

Untung 700 kali ganda


Suatu ketika penduduk Madinah mengalami kehidupan yang amat sukar akibat  kemarau yang berpanjangan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan banyak yang mati. Pada masa kesukaran itu, datang rombongan kafilah dari negeri Syam membawa barang dagangan milik Uthman bin Affan.

Para peniaga Madinah berebut-rebut ingin membelinya dengan maksud dijual kembali kepada masyarakat yang memang sangat memerlukankan dengan harga yang berlipat ganda . Mereka menawar barang dagangan itu dengan harga tiga kali ganda daripada harga pembeliannya.

Tetapi tawaran yang sangat menguntungkan itu ditolak oleh Ustman bin Affan, “Maafkan saya, barang dagangan ini telah terjual dengan harga yang lebih besar dari itu!” 

Para peniaga itu menjadi hairan , siapa orang yang berani membeli dengan harga tinggi itu. 

Mereka pun bertanya , “Wahai sahabat, siapakah orangnya yang telah membeli barang daganganmu dengan harga sangat tinggi itu?”

Uthman pun menjawab; “Allah!”.

Dengan kehairanan mereka bertanya lagi; “Bagaimana caranya Allah memberikan keuntungan itu kepadamu?”

Jawab Uthman, “Allah menjanjikan kepadaku keuntungan tidak kurang dari 700 kali ganda, tidakkah kalian ingat janji Allah itu dalam Al-Quran?” Lalu Uthman membacakan firman Allah SWT  maksudnya : 

“Perumpamaan  (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Al-Baqarah :261)

Para peniaga itu bertanya lagi; “ Apakah engkau akan sedekahkan seluruh dagangan yang sangat banyak ini?” 

Uthman pun menjawab , “Benar. Seluruhnya aku sedekahkan kepada masyarakat yang menderita kerana kesusahan ini!”

Kisah ini memberikan gambaran orang-orang yang memiliki kepercayaan penuh pada janji Tuhannya. Tidak ada sedikitpun ragu-ragu diatas janji-janji Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang sanggup menginfakkan hartanya dijalan Allah SWT. 

Jadinya sempena bulan Ramadan ini kita hendaklah memperbanyakkan infak. Kalau kat masjid kita ada kat belakang tabung warna hijau tu. Banyak lagi ruang dalam tabung itu yang belum terisi. Marilah sama-sama kita berinfak.

Kesimpulannya kita hendaklah menggembirakan orang lain. Semoga amalan kita diterima oleh Allah swt.

#catatan ini daripada tazkirah ustaz Nazari pada 07.08.2012 di Masjid IPGK Keningau


0 comments:

Post a Comment