"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Tuesday, August 7, 2012

Tarbiah Diri Dalam Madrasah Ramadan



Ramadan adalah bulan yang paling istimewa dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa sebagai amalan wajib yang perlu dilakukan oleh setiap muslim yang mukallaf. Objektif pengsyariatan puasa adalah untuk melahirkan hamba yang bertakwa. 

Firman Allah s.w.t:
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.(al-baqarah:183)

Bulan Ramadan selalu disebut sebagai “madrasah Ramadan”. Madrasah ialah tempat seorang murid mendapat didikan dan tarbiah. Di sini murid akan belajar ilmu, peradaban, menyemai akhlak-aklak mahmudah dan lain-lain pelajaran.

Madrasah Ramadan adalah satu institusi tarbiah yang direncanakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Sebab itu amat rugi dan tercela jika seseorang memasuki Ramadan kemudian keluar daripada Ramadan dalam keadaan noda dan dosa belum terampun bahkan semakin bertimbun.

Antara didikan dan tarbiah daripada Ramadan ialah puasa mendidik manusia supaya pandai menjaga diri. Keistimewaan ibadat puasa ialah ianya sangat berkait dengan keimanan seseorang. Seseorang boleh saja mengaku dirinya sedang berpuasa, walaupun sebenarnya tidak.

Disebut di dalam al-Muwatta’, karangan Imam Malik bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang dia kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana,puasa adalah untuk-Ku dan aku sendiri yang akan membalasnya.

Ibadah puasa mendidik kita untuk melakukan pengendalian terhadap nafsu seksual, tapi bukan membunuh nafsu seksual sehingga kita tidak memilikinya lagi. Nafsu seksual perlu dikendalikan dengan baik agar ianya menjuruskan kepada keredaan Allah s.w.t. Puasa mendidik kita agar tidak kecundang dan tenggalam dalam nafsu.

Perkara yang selalu menjadikan manusia binasa ialah kerana gagal menahan nafsu serakah. Kerana mengikut hawa nafsu manusia menjadi lupa daratan, gagal membezakan yang mana kaca yang mana intan kerana dikuasai hawa nafsu lantas membelakangi pimpinan wahyu. Apabila nafsu seseorang menguasai diri, maka hatinya dikunci mati.

Firman Allah s.w.t.:

“Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu orang-orang berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): "Apakah yang dikatakannya tadi?" mereka Itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka.”(Muhammad:16)

Puasa mendidik kita supaya benar-benar mempunyai perasaan persaudaraan sesama Islam. Kita mungkin tidak pernah merasai kelaparan jika tidak berpuasa. Tatkala itu perasaan terhadap sesama Islam yang tidak bernasib baik dapat kita rasakan bersama. Perasaan ini akan lebih terasa jika kita menjamu orang untuk berbuka puasa.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) tanpa dikurangi sedikitpun”. (Hadith Riwayat Tirmidzi).

Puasa mentarbiah kita untuk menjadi manusia yang memiliki jiwa yang bersih. Tanda jiwa yang bersih adalah senang melaksanakan apa yang diperintah Allah, menjauhi apa yang dilarang-Nya serta selalu berupaya untuk menyempurnakan pengabdiannya kepada Allah s.w.t.

Sebagaimana yang kita maklum bahawa objektif terpenting syariat puasa pada bulan Ramadan ialah terwujudnya peningkatan takwa kepada Allah s.w.t. Justeru, takwa kita kepada Allah s.w.t. sepatutnya semakin berkualiti, ibarat orang menaiki tangga, semakin naik semakin tinggi. Jika dari tahun ke tahun ibadah Ramadan kita tunaikan, tapi tiada peningkatan takwa, maka kita gagal meraih hasil tarbiah Ramadan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

Betapa banyak orang yang berpuasa, tapi tidak mendapatkan pahalanya, melainkan hanya lapar dan haus saja” (Riwayat Ahmad dan Hakim dari Abu Hurairah).

Ramadan juga melatih kita untuk kembali ke masjid, kembali memakmurkan masjid, kembali beraktiviti di masjid. Sepanjang Ramadan, kita lihat masjid-masjid dipenuhi jamaah. Berakhirnya Ramadan tidak seharusnya menjadikan masjid kita kembali sunyi. Antara tanda berhasilnya tarbiah Ramadan ialah dapat dilihat dari perilaku kita yang istiqamah memakmurkan masjid.

Dalam satu khutbah idil fitr, As syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi pernah mengatakan:

Barangsiapa menyembah Ramadan, maka sesungguhnya Ramadan telah pergi. Namun barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah tetap hidup dan tidak akan pernah mati.”
Tarbiah tidak akan memberi sebarang kesan tanpa penghayatan dan praktik yang bersungguh-sungguh. Ramadan merupakan satu peluang keemasan untuk kita melalui proses ini dan seterusnya mengecapi hasil yang membanggakan. Kalau peluang yang begitu besar ini kita abaikan, peluang mana lagi yang ingin kita ambil. Ramadan akan kembali lagi, tapi adakah kita yakin umur kita masih berbaki setahun lagi?


0 comments:

Post a Comment