Ucapan Pemangku YDP PAS Kawasan Keningau Sempena Mesyuarat Agung PAS
Ini kalilah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Para Perwakilan
Para Pemerhati,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekelian
MUQADDIMAH
الحمد لله، والشكر لله، والصلاة والسلام على
رسول الله، وعلى آله وأصحابه ومن والاه. رب اشرح لي صدري ويسرلي أمري واحلل عقدة
من لساني يفقهوا قولي.
"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang
selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya
atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga
mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah
menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat
menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia”. Surah Al-ra’d : Ayat 11.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt kerana dengan Taufiq,
Inayah dan Rahmat-Nya sekali lagi kita dapat berhimpun dalam mesyuarat agung
PAS kawasan Keningau kali ke-6. Mudah-mudahan, perhimpunan kita pada hari ini
imembuahkan natijah yang baik ke arah melaksanakan tuntutan sebagai khalifah di
atas mua bumi ini, lebih-lebih lagi di bumi Keningau.
Pada kesempatan ini, saya bagi pihak pimpinan PAS kawasan Keningau,
dengan besar hati mengalu-ngalukan kehadiran para tetamu, para perwakilan dan
pemerhati, dengan ucapan ribuan terima kasih dan ahlan wasahlan wa marhaban
bikum. Pastinya kehadiran tuan-tuan menambahkan seri, barakah dan makna
bagi mesyuarat pada kali ini.
SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN PAS KAWASAN KENINGAU.
Saudara saudari sekalian,
Pada
kesempatan ini suka saya menyorot kembali sejarah ringkas penubuhan PAS kawasan
Keningau. Peristiwa kemenangan PAS pada pilihanraya kecil Parlimen P003 Arau
pada 04.07 1998 telah memberi suntikan semangat kepada ahli PAS di seluruh
negara. Kemenangan tersebut telah memberi keyakinan bahawa perjuangan PAS terus
mendapat sokongan rakyat. Semangat tersebut telah sampai ke negeri di bawah
bayu sehinggalah ke pedalaman Sabah, Keningau.
Beberapa
usaha menubuh cawangan PAS di Keningau telah dilakukan dengan beberapa siri
pertemuan telah diadakan sekitar tahun 1998.
Diantaranya ialah melalui satu perbualan telefon pada 1hb november 1998
di antara Cikgu Isa dengan Pesuruhjaya PAS Sabah ketika itu Tuan Haji Mohamad
Abdullah mengenai hasrat ahli PAS di Keningau untuk menubuh Jawatankuasa Penaja
PAS Cawangan Kampung Minawo yang dicadangkan diletak di bawah pentadbiran PAS
Kawasan Tanjung Aru (Kota Kinabalu).
Ekoran
daripada perkembangan itu, pada 08.11 para aktivis PAS Keningau telah berjaya
menubuh Jawatankuasa Penaja PAS Cawangan Pekan Keningau. Satu surat bertarikh
25hb November 1998 kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah dan satu salinan
ke Pejabat Agung PAS Pusat, Taman Melewar Selangor telah dihantar bagi menyampai penyataan
hasrat ahli PAS Keningau untuk menubuh PAS Kawasan secara rasminya. Menurut catatan
tersebut surat telah diterima pada 26hb November 1998.
Senarai ahli PAS Keningau yang bertarikh 24hb nov
seramai 146 orang dimana 27 orang dari
Kg Minawo, 43 orang Pekan Keningau dan 10 orang Kg Baginda. Manakala 20 orang
dari Kg baginda, 40 orang dari Keningau dan Tenom masih dalam proses mengisi
borang ahli baru disamping 15 orang suami/isteri yang masih belum mengisi
borang. Hasil usaha berkenaan seramai 146 orang ahli telah berjaya dikumpul
sehingga akhir 1998 dan seterusnya menjadi kumpulan pertama sebagai memenuhi
cita-cita melahirkan PAS Kawasan Keningau.
Detik yang dinantikan telah tiba apabila permohonan
penubuhan PAS Keningau telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 30hb
Mei, 2000 di alamat Kg Minawo, Peti Surat 1964 89008 Keningau Sabah. No
pendaftaran ialah 26/52-6152.
Mesyuarat Agung Pertama telah diadakan pada 28hb
april 2001 di Pejabat PAS Keningau. Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh
Setiausaha Dewan Ulama PAS Sabah. Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.
Suadara Murkin Yusof selaku Pemangku Yang di Pertua
(Yang Di Pertua, Ustaz Zaib telah berpindah ke Perak) dalam ucapan beliau
sewaktu menyampaikan ucapan aluan mesyuarat agung PAS Kawasan Keningau yang
pertama menyatakan rasa syukur diatas pendaftaran PAS Kawasan. Justeru itu
meliau menyeru kepada semua ahli supaya bergiat aktif apatah lagi PAS kawasan
telah berjaya mempunyai pejabat di Bandar Keningau.
PAS Keningau sudah melalui ranjau perjalanan melebihi satu dekad. Umum
mengetahui bahawa PAS adalah salah satu parti yang wujud di Malaysia ini yang
mengamalkan sisten demokrasi berparlimen. Pemimpin dan ahli datang silih
berganti bagi menggalas amanah yang diberi.
BERDEPAN DENGAN CABARAN
DAN DUGAAN
“Kalau yang kamu serukan
kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak
seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat
jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah:
"Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." mereka
membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya
mereka benar-benar orang-orang yang berdusta”. Surah at taubah: ayat 42
PAS bukan sekadar sebuah parti untuk mendapatkan sokongan politik
atau undi dalam pilihanraya. PAS yang merupakan parti Islam yang mempunyai
dasar, ideologi dan pegangan yang berterusan seperti diperuntukkan dalam
perlembagaan, tidak perlu berkompromi dalam perkara dasar.
Perjuangan PAS untuk menegakkan keadilan Islam sememangnya
mendapat tentangan dan larangan daripada mereka yamg tidak mahu melihat Islam
tertegak memerintah. Tidak hairanlah mereka cuba untuk menjauhkan masyarakat
daripada mendekati dan mengenali PAS.
Cabaran dan dugaan yang dihadapi tidak seharusnya menjadikan kita
takut untuk menyatakan kebenaran Islam. Sememangnya kita perlu diuji dengan
ujian ini. Inilah hakikat hidup orang beriman.
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka
dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka
tidak diuji lagi”? Surah al ankabut: ayat 2.
HALA TUJU PAS KENINGAU
Saudara dan saudari sekelian,
PAS keningau komited dan beriltizam untuk mencapai sasaran
berikut:
- Mengkaderkan ahli PAS dalam kalangan Sabahan
Alhamdulillh, Pas
semenjak daripada zaman penubuhannya telah dapat menarik hati ramai anak Sabah
untuk menyertainya. Sesungguhya PAS bukanlah milik individu tertentu. PAS
adalah sebuah parti dan jamaah yang membuka ruang dan peluang keahliannya
kepada semua yang layak. PAS bukan hak mutlak anak semenanjung. Walaupun pada
realitinya banyak jawatan utama PAS Keningau dipegang oleh mereka yang datang
dari Semenanjung tetapi sebenarnya ia terbuka luas kepada Sabahan. Justeru,
program perkaderan kepada anak Sabah perlu dilaksanakan ke arah kesinambungan
perjuangan menegakkkan Islam di bumi Sabah ini. Saya menyeru kepada masyarakat
tempatan agar tampil bersama kami untuk melestarikan bumi Sabah ini dengan amal
Islami. Mungkin sepuluh tahun akan datang, anda akan berada di saf hadapan.
- Memberi penerangan Islam kepada masyarakat
PAS bukan sahaja sebuah
parti politik tetapi ianya juga merupakan wadah dakwah Islaamiyyah. Penerangan
dan dakwah tentang Islam perlu disebar luaskan kepada masyarakat setempat
supaya mereka dapat memahami dan menghayati ajaran Islam yang syumul. Masih
ramai orang Islam di sini yang hanya tahu dirinya beragama Islam tetapi kosong
daripada penghayatan. Menjadi kewajipan kepada penyokong dan pendukung PAS
untuk mara ke hadapan sebagai dae ilallah.
- Memparkasakan pendidikan Islam
Pendidikan adalah suatu
perkara yang dititik beratkan dalam Islam. Masyarakat perlu mendapat pendidikan
yang sempurna. Kewujudan satu sekolah Islam perlu diadakan memandangkan tidak
ada sekolah Islam di Keningau ini. Insya Allah, Pusat Pendidikan Islam keningau
(PUPIK) sedang dalam pembinaan dan akan beroperasi suatu hari nanti.
PILIHANRAYA KE 13 – Ini kalilah.
Tempoh Parlimen Ke 12 berbaki tidak sampai satu tahun. Suasana
sekarang ialah suasana gendang pilihanraya. Ianya boleh dilaksanakan pada
bila-bila masa sahaja. Gerakerja ke arah perubahan perlu diperhebatkan. Ini kalilah
masanya untuk kita berubah. Angin untuk berubah sememangnya terasa sampai ke
Sabah. Janganlah slogan “ini kalilah” berubah kepada “Lain kalilah”. Jadinya
momentum untuk berubah ini perlu direalisasikan dalam bentuk undi. Setiap ahli perlu bekerja ke arah ini.
KERJASAMA PAS DALAM PR
PAS, di atas dasar tahaluf siyasi akan tetap bekerjasama dalam
satu gagasan pakatan rakyat. Cita-cita untuk menegakkan keadilan, membenteras
rasuah, kehidupan bermaruah adalah cita-cita bersama PAS dalam pakatan. Justeru
kerjasama dan permuafakatan ini perlu untuk mencapai kemenangan. PAS Keningau
akan mendepani perubahan ini. Sesungguhnya PAS bukanlah sebuah kelompok picisan
yang mengharapkan ehsan. Pengalaman kerjasama kita dalam pilihanraya lalu
banyak membantu melicinkan kerjasama ini dan akan menjadi asas kepada kerjasama
selanjutnya. PAS bersedia untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja bagi mencari
titik pertemuan yang boleh dimanafaatkan bersama.
Penutup
Ahli-ahli PAS yang ingin memartabatkan Islam di atas muka bumu ini
perlu untuk merealisasikan terlebih dahulu Islam dalam diri masing-masing.
Ingatlah kata-kata Hassan Hudhaibi: “Hendaklah kamu tegakkan Islam dalam diri
kamu, nescaya Islam akan tertegak di atas bumi kamu”. Kita mestilah menjadi
qudwah hasanah kepada mad’u kita. Akhlak dan iltizam yang Islami perlu
dipraktik dalam kehidupan seharian. Solat jamaah dan budaya ilmu perlu
dihayati.
Sekian
0 comments:
Post a Comment