"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, September 4, 2010

Hari-hari terakhir Ramadhan 1431- satu muhasabah diri

Sungguh cepat masa berlalu. Ramadhan sudah berada di penghujungnya. Tak lama lagi Syawal menjelma. Tahun depan belum tentu lagi dapat bertemu Ramadhan lagi. Hari ini 25 Ramadhan. Bermakna ianya berbaki empat atau lima hari saja lagi.

Hati orang mukmin akan bersedih untuk berpisah dengan Ramadhan sepertimana kanak-kanak gembira menyambut lebaran. Peluang yang berbaki ini digunakan semaksima mungkin untuk mencapai taqwa hakiki.

Nabi SAW apabila menjelang sepuluh hari terakhir daripada Ramadhan maka banginda akan mempertingkatkan lagi amalan. Disebut dalam sahih Bukhari:

باب: العمل في العشر الأواخر من رمضان
عن عائشة رضي الله عنها قالت:
كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا دخل العشر شد مئزره، وأحيا ليله، وأيقظ أهله

Bab: beramal pada sepuluh hari terakhir daripada Ramadhan, Daripada Aishah RA katanya bahawa Nabi SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir maka baginda akan mempergiatkan ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarganya.

Bagaimana dengan sepuluh hari terakhir Ramadhan kita? Di manakh kita berada saat ketika mukmin bermunajat dan beriktikaf merebut pahala beribadah pada malam al-qadr? Adakah amalan kita bertepatan dengan petunjuk Nabi SAW?

Ironinya umat Islam sekarang amalannya terbalik. Pada sepuluh hari terakhir daripada Ramadhan kita dapati masjid sudah mula kembali sepi tidak seperti pada permulaan Ramadhan.

Sayyidatuna Aishah RA menyebut bahawa beliau tidak pernah lihat Nabi SAW bersunguh-sungguh beribadat seperti pada bulan Ramadhan dan beliau melihat nabi lebih-lebih lagi melipat gandakan ibadat apabila tiba sepuluh hari terakhir Ramadhan.

عن عائشة أن النبي صلى اللّه عليه وسلم كان يعتكف العشر الأواخر من رمضان حتى قبضه اللّه، ثم اعتكف أزواجه من بعده

Daripada Aishah RA bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan sehingga baginda wafat, kemudian para isteri baginda beriktikaf selepasnya.

Inilah petnjuk nabi SAW dalam menjalani hari-hari terakhir bulan Ramadhan. Satu perkara yang tidak dititikberatkan oleh umat Islam sekarang. Amalan iktikaf amat kurang dihayati oleh kita.

Kebanyakan umat Islam sekarang sibuk memenuhi pasaraya membeli belah untuk persiapan hari raya. Para suri rumah sibuk di dapur membuat pelbagai aneka kuih. Anak leaki mengecat rumah. Anak perempuan sibuk menukar langsir. Sang bapa pening kepala kerana lari bajet.

Kalau di bandaraya Kuala Lumput masjid sepi sebab katanya para perantau pulang ke desa. Intai di desa pun masjid sepi juga. Nak jawab apa gamaknya? Takkan nak jawab mereka tak sampai ke desa sebab mati kemalangan jalan raya.

Peluang yang berbaki ini saya menyeru kepada diri sendiri dan semua umat Islam agar kita bersungguh-sungguh lagi mendekatkan diri kepada Ilahi. Mudah-mudahan Ramadhan pada tahun ini cukup bererti dan kita mati puas hati sebab terlepas dari neraka yang membakar diri.

اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

0 comments:

Post a Comment