Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi yang telah menganugerahkan kepada kita Ramadhan pada tahun ini. Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nanti oleh setiap mukmin yang cintakan redha Allah. Pada bulan ini syurga dibuka, neraka ditutup manakala syaitan dibelenggu sebagaimana yang disebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari.
Apabila menyebut tentang Ramadhan maka ia amat sinonim dengan beberapa perkara yang akan saya sebut selepas ini. Antaranya ialah:
رمضان شهر الصيام Ramadhan bulan puasa.
Allah sebut dalam quran surah al-baqarah ayat 183:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa,
Puasa ialah menahan diri daripada perkara-perkara yabng membatalkan puasa bermula dari terbit matahari(subuh) sehingga terbenam matahari(Maghrib).
Objektif puasa ialah untuk melahirkan insan bertaqwa. Taqwa adalah pakaian terbaik orang mukmin. Allah sebut dalam quran surah al-a'raf ayat 26:
يَا بَنِي آَدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآَتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آَيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Hai anak Adam, Sesungguhnya kami telah turunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. dan Pakaian takwa Itulah yang paling baik. yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, Mudah-mudahan mereka selalu ingat.
Disebut oleh Al Imam Suyuthi dalam kitab tafsifnya الدر المنثور في التفسير بالمأثور di dalam mentafsirkan ayat 102 surah Ali Imran di antara lain beliau menukilkan kata-kata Ibnu Mas'ud tentang taqwa:
أن يطاع فلا يعصى، ويذكر فلا ينسى، ويشكر فلا يكفر
Allah hendaklah ditatati tidak diderhakai, diingati tidak dilupai, disyukuri tidak dikufuri.
Justeru mari sama-sama kita nilai adakah objektif puasa yang kita laksanakan ini dapat dicapai atau tidak. Tanya diri kita sendiri adakah kita taat semua suruhan Allah? Adakah kita ingat Allah sokmo? Adakah kita mensyukuri nikmat Allah?
رمضان شهر القيام Ramadhan bulan qiam
Di dalam bulan Ramadhan ada satu amalan qiam yang tidak ada dalam bulan lain iaitu solat tarawih. Sebut ta - ra - wih, bukan ta - wa - rih. Tawarih ialah kata nama plural bagi tarikh. Jangan salah sebut pula. Solat tarawih hukumnya sunat muakkadah, dilakukan selepasa solat isya' samada secara jamaah atau seorang.
Saya perhatikan ada orang yang tak solat isya' tetapi bila imam berdiri untuk tarawih maka dia ikut serta. Ini adalah salah dan tak betul sebab solat tarawih dilaksanakan selepas seseorang itu solat isya'. Samalah halnya orang datang seawal waktu subuh untuk solat idil fitri tapi tak solat subuh. Masya Allah! Bila ditanya kenapa tak solat subuh maka dijawabnya saya datang nak solat raya. Apabila ditanya kenapa datang telalu awal jawabnya sebab takut tak dapat tempat duduk.
لا حول ولا قوة إلا بالله!
Adapun masalah bilangan rakaat maka tak payahlah nak gaduh-gaduh. Siapa nak buat lapan silakan, nak buat dua puluh silakan. Kalau malas silakan tak payah buat. Cumanya saya nak bawa satu hadis tentang fadhilat orang yang menyertai tarawih dari mula sehingga imam selesai.
Imam Tirmizi dalam sunannya menyebut hadis nabi bab kelebihan qiam Ramadhan yang diantara lain kata Nabi SAW:
إنه من قام مع الإمام حتى ينصرف هو كتب له قيام ليلة
Sesungguhnya barangsiapa yang solat bersama imam sehingga imam selesai maka ditulis baginya pahala qiam satu malam. Hadis ini sahih.
Jadi untuk menyelesaikan konflik 8 vs 20 rakaat dan untuk dapat fadhilat pahala qiam sepanjang malam maka ikutlah imam. Jika imam buat 20 buatlah 20. Masjid Pekan kitani insya Allah buat 20 rakaat tarawih dengan bacaan 1 juz satu malam.
Ramadhan bulan quran رمضان شهر القرآن
Allah sebut dalam quran surah al baqarah ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
Para salafus soleh sebelum kita amat menitikberatkan membaca quran pada bulan Ramdhan. Tanggungjawab kita terhadap quran ialah belajar quran, baca quran, hayati quran, amal kandungan quran.
Setiap hari kita baca berbagai jenis akhbar dan tak boleh lekang daripadanya. Kita baca New Sabah Times, Berita Harian, Harakah, Utusan, The Star dan sebagainya seolah tanpa membaca akhbar satu hari macam tak makan dua bulan.
Alangkah baiknya kalau minat baca quran itu macam kita baca akhbar lebih-lebih lagi bulan puasa ini. Cubalah untuk habiskan sekurang-kurangnya satu juzuk satu hari supaya kita dapat khatam quran dalam satu bulan ini.
Cuba amalkan baca quran 2 helai selepas solat farhu. Jika ini dapat dilakukan maka kita dapat habiskan satu juzuk satu hari. Takkanlah kita tak ada masa 10 minit untuk tatap quran setiap selepas kali solat. Ataupun nak tunggu jadi gemulah baru mahu orang baca kepada kita. Masa tu dah tak bermanfaat lagi air mata tangisan penyesalan.
رمضان شهر الدعاء Ramadhan bulan berdoa
Doa adalah senjata ampuh orang mukmin. Tentang doa ini Allah sebut dalam quran surah al-baqarah ayat 186:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ (186)
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
Ayat ini letaknya antara dua ayat yang membicarakan tentang puasa. Dalam hal ini Imam Ibnu Kathir sebut dalam tafsiryna tentang peri pentingnya untuk kita bersungguh-sungguh berdoa ketika puasa. Seorang kawan saya di KK sms kat saya satu tazkirah daripada hadis nabi SAW:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
"ثلاثةٌ لا ترد دعوتهم: الصائم حتى يفطر، والإمام العادل، ودعوة المظلوم
Tiga jenis doa yang tidak akan ditolak:orang berpuasa sehingga dia berbuka,pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.
Jadi jangalah kita ralit dengar iklan kain mewah dan tepung gandum cap rama-rama sahaja sehingga lupa nak berdoa. Masa itu doa cukup mustajab. Berdolah dengan apa-apa doa yang bagus-bagus. Kalau tak pandai doa dalam bahasa arab berdolah dengan apa-apa bahasa sekalipun. Kadazan dusun , Murut, Melayu, bahasa orang putih pun boleh.
Semoga Ramadhan pada tahun ini menjadikan kita insan bertaqwa. Wallahu a'lam
1 comments:
terima kasih ustaz li..perkongsian yg sangat bermakna.
Post a Comment