"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, June 20, 2015

Tazkirah Tarawih 1436 – Malam 3



Ramadan: Jangan Persiakan Peluang Keemasan
Disampaikan oleh: al-ustaz Badrul Hisyam Sulaiman
Tempat: Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu

Dalam satu hadis yang terdapat dalam Sahih Ibnu Hibban, juga terdapat dalam at-targhib wat tarhib, 

Daripada Abi Hurairah Ra, Rasulullah naik ke atas mimbar, kemudian beliau berkata :
"Amin..amin. .amin..". Kemudian ditanyakan (para sahabat), kepada baginda:
"Wahai Rasulullah, saat Engkau naik ke atas mimbar, Engkau sampai mengatakan Amin (3x) (ada apakah gerangan?)" Kemudian Rasulullah memberikan keterangan sebabnya:

"Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : "Barang siapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadan, kemudian dia tidak mendapatkan pengampunan (pada bulan Ramadhan tersebut), maka ia dimasukkan kedalam api neraka, dan Allah jauh dari dirinya, maka katakanlah:Amin" Kemudian aku meng aminkannya. "Dan barang siapa yang mendapatkan orang tuanya, atau salah satu diantara kedua orang tuanya masih hidup, sementara, kemudian dia tak mau berbuat baik kepada keduanya, atau salah satu diantara keduanya (yang masih hidup tadi), kemudian mati, maka Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka, dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka aku katakan :Amin" "Dan barang siapa yang dimana namaku disebutkan (didepannya) , kemudian dia tak memberikan selawat kepadaku, maka Allah akan memasukkannya kedalam api neraka dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka katakanlah (amin), maka aku katakan "Amin"

Kesimpulan yang kita nak ambil ialah Ramadan yang datang ini janganlah kita lepaskan peluang untuk mendapat pengampunan tuhan. Bagaimana seseorang tidak mendapat Pengampunan? Mungkin dia tidak berpuasa kerana jika dia berpuasa maka dosanya akan diampunkan.
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Barangsiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keiman dan pengharapan, dosanya yang lalu diampunkan.

Mungkin juga dia berpuasa tapi puasanya tertolak. Amat rugi jika kita melalui Ramadan tapi masih lagi leka sehingga tak berjaya meraih kejayaan. Sepatutnya kita rebut peluang Ramadan ini untuk mendekatkan diri dengan amalan soleh.

Dalam surah Faatir ayat 37, dekat-dekat akhir surah, Allah menceritakan rintihan ahli neraka. Firman Allah:

وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ نَصِيرٍ

Dan mereka berteriak di dalam neraka itu : "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang saleh berlainan dengan yang Telah kami kerjakan". dan apakah kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mau berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? Maka rasakanlah (azab kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun.

Kita selalu dengar hadis al-Hakim dalam  al-mustadrak اغتنم خمسا قبل خمس “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu,Hidupmu sebelum datang kematianmu.”

Kita alhamdulillah masih hidup, kalau kita mati kita tiada di  masjid ini. di kubur tempat kita. Kita masih sihat alhamdulillah. Kalu kita sakit tak boleh mari masjid. Jadi peluang keemasan ini perlu dimanfaatkannya.

Dua tiga hari lepas ada dalam surat khabar berkenaan kerajan Kelantan tidak membenarkan perlawanan bola sepak sepanjang Ramadan. Bila kita baca kita terfikir ada juga orang yang masih lagi  minat bola walaupun bulan Ramadan. Tak taulah mungkin kalu ada perlawanan maka orang akan terbagi dua ada nak tengok bola ada nak solat tarawih. Kita tak boleh bayang ada jugak yang nak tengok bola. Adakah bola boleh menolong kita di kubur esok? Adakah bola akan memberi manfaat kepada kita di padang mahsyar?

Semoga kita semua tidak termasuk dalam golongan orang yang lalai dan leka. Semoga kita tak terpedaya dengan dunia sehingga kita lepaskan peluang berharga bulan Ramadan ini. والله أعلم kita terus dengan witir.

Friday, June 19, 2015

Tazkirah Ramadan 1436 – Malam 2




Pertembungan Antara Manusia dan Syaitan
Disampaikan oleh: al-ustaz Badrul Hisyam Sulaiman

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu(al-baqarah:168).

Semalam kita baca hadis bahawa syaitan dibelenggu pada bulan Ramadan وصفدت الشياطين . Walaupun begitu titik perseteruan antara manusia dan syaitan tiada noktah. Semua manusia akan cuba disesatkan oleh Syaitan. Tak kira siapa saja jenis manusia akan disesatkan oleh syaitan samada kecil, besar, tua, muda, lelaki, perempuan asalkan nama keturunan Adam.
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آَدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Ayat ni kita selalu baca dalam surah yasin. 

Bukankah Aku Telah memerintahkan kepadamu wahai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu",(yasin:60)

Antara tipu daya syaitan terhadap manusia ialah dengan cara mengambil makanan yang tak baik. Alhamdulillah kita telah sembahyang, puasa, keluar zakat dan sebagainya kita dah lakukan tapi dalam bab mencari rezeki kita mungkin terlibat dengan haram. Perkara makan yang halal ini benda besar sebenarnya.

Dalam satu hadis

أيها الناسُ ! إنَّ اللهَ طيِّبٌ لا يقبلُ إلا طيِّبًا . وإنَّ اللهَ أمر المؤمنين بما أمر به المرسلين . فقال : يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ . [ 23 / المؤمنون / الآية 51 ] وقال : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ [ 2 / البقرة / الآية 172 ] . ثم ذكر الرجلَ يطيلُ السَّفرَ . أشعثَ أغبَرَ . يمدُّ يدَيه إلى السماءِ . يا ربِّ ! يا ربِّ ! ومطعمُه حرامٌ ، ومشربُه حرامٌ ، وملبَسُه حرامٌ ، وغُذِيَ بالحرام . فأَنَّى يُستجابُ له ؟

Wahai manusia! Sesungguhnya Allah ta’ala itu baik, tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang beriman sebagaimana dia memerintahkan para rasul-Nya dengan firman-Nya:  Wahai Para Rasul makanlah yang baik-baik dan beramal soleh. Dan Dia berfirman: Wahai orang-orang yang beriman makanlah yang baik-baik dari apa yang kami rezkikan kepada kalian. Kemudian baginda menyebutkan ada seseorang melakukan perjalan jauh dalam keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit seraya berkata: Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan kebutuhannya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan dikabulkan. (Riwayat Muslim).

Kita lihat dalam hadis ini Allah dahulukan dengan arahan mengambil makanan yang baik kemudian baru beramal soleh. Kita terlepas pandang dalam bab makan walupun kita solat sedangkan memakan makanan halal itu arahan pertama sebelum beramal soleh
 - كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا

Saya nak tambah dua permasalahan di sini, iaitu masalah saf kanak-kanak dan yang kedua berkenaan saf muslimah.

Yang pertama, umum masyarakat kita berpandangan bahawa kanak-kanak yang belum berkhatan, kita kata berkhatan- sebenarnya khitan. Mereka ini tidak boleh duduk dalam saf dewasa kerana akan menyebabkan saf terputus dan mungkin solat orang lain tak sah sebab menanggung najis.

Sebenarnya pandangan ini adalah daripada ijtihad yang mana dalil dan hujahnya tidak kuat. Kalau kita tengok daripada hadis sohih kita dapati kanak-kanak ini sebenarnya boleh berada dalam saf dewasa. Antaranya hadis daripada Anas bin Malik:

أن جَدَّتَه مُلَيكَةَ دَعَتْ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ؟طعامٍ صنَعَتْه، فأكَل منه، فقال قوموا فَلأصَلِّيَ بكم . فقُمتُ إلى حَصيرٍ لنا قد اسوَدَّ من طُولِ ما لُبِسَ، فنَضَحْتُه بماءٍ، فقام رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم واليتيمُ معي، والعَجوزُ من ورائِنا، فصلَى بنا ركعتين  .

bahawa neneknya, Mulaikah, mengundang Rasulullah صلى الله عليه وسلم  untuk menghadiri jamuan makanan yang ia sediakan. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bersabda: "Bangunlah kalian, sungguh aku ingin solat mengimami kalian semua." Anas berkata; Lalu aku berdiri di sedidang tikar milik kami yang warnanya telah menghitam kerana telah lama dipakai, lalu aku memerciki tikar tersebut dengan air. Kemudian Rasulullah صلى الله عليه وسلم  berdiri, lalu aku dan seorang anak yatim berdiri di belakangnya, sedang di belakang kami ada seorang nenek yang sudah tua. Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu solat dua rakaat bersama kami.

Nabi membiarkan Anas berdiri dengan kanak-kanak menunjukkan bahawa kanak-kanak boleh duduk dalam saf orang dewasa cumaya ada hadis dalam Riwayat Muslim:
ليلني منكم أولوا الأحلام والنهى ثم الذين يلونهم  hendaklah orang-orang yang cerdik pandai mengiringiku kemudian yang mengikuti mereka dan yang mengikuti mereka. an- Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini mengatakan maksudya ialah yang berada betul-betul dibelakang nabi ialah dalam kalangan orang cerdik supaya dapat jadi imam pengganti jika imam terbatal. Jadi kanak-kanak boleh berada di saf kedua atau ketiga.

Kita tak boleh belajar satu kitab saja. Belajar ni kena perlukan banyak sumber, dalil dan hujah untuk diguna pakai. Contohnya lagi dalam kitab تحفة الأحوذي oleh al-Mubarakpuri beliau menyimpulkan bahawa kanak-kanak boleh diletakkan dalam satu saf bersama orang lain.
Sebenarnya kita dah bincang masalah ni dalam kuliah kita tapi biasalah orang kita kalau tidak Ramadan tidak ramai yang datang. Bukan nak kata kat sesiapa tapi begitulah. Jadi malam-malam begini kita ambil peluanglah buat pengisian tazkirah.

Yang kedua berkenaan dengan saf muslimah. Muslimah disebalik sana kalu buleh tak payah bawa sejadah. Alhamdulillah masjid kita dah ada carpert. bukan tikar getah yang tak selesa. Dia jadi masalah saf tak lurus dan tak rapat jika masing-masing sembahyang atas sejadah masing-masing. Ini adalah bertentangan dengan sunnah nabi kata سدوا الخلل –hendaklah kamu penuhkan ruang-ruang.

Kita tak nampak muslimah di sebalik tabir tapi kita dapat tahu melalui sumber-sumber yang betul dan boleh dipercayai. Sebenarnya masalah ni lama dah cumanya bila dah ada orang mesej maka kita kena ambil beringat.

Tazkirah malam ni sepuluh minit. Semalam lima minit. Insya Allah tazkirah kita antara lima hingga sepuluh minit tak lebih daripada itu. Kita sambung dengan witir.


Thursday, June 18, 2015

Tazkirah Ramadan 1436 – Malam 1




Mengingati Nikmat Ramadan

Firman Allah :
فَاذْكُرُوا آَلَاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. (al-a’raf:69)
Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah kerana memberikan kita nikmat bertemu dengan Ramadan sekali lagi pada tahun ini. Dalam satu hadis:

إذا كان أولُ ليلةٍ من شهرِ رمضانَ : صُفِّدَتِ الشياطينُ ومَردَةُ الجنِّ، وغُلِّقَتْ أبوابُ النيرانِ فلم يُفتَحْ منها بابٌ، وفُتِّحَتْ أبوابُ الجنةِ فلم يُغلَقْ منها بابٌ، وينادي مُنادٍ يا باغِيَ الخيرِ أقبِلْ، ويا باغِيَ الشَّرِّ أقصِرْ وللهِ عُتَقاءُ من النارِ، وذلك كلَّ ليلةٍ
Apabila tiba malam pertama daripada bulan Ramadan, syaitan dan jin dibelenggu, dan ditutup pintu-pintu neraka tidak dibuka daripadanya walaupun satu pintu, dibuka pintu-pintu syurga tidak ditutup walaupun satu pintu, dan ditugaskan seorang Malaikat untuk menyeru “Wahai pencinta kebaikan datanglah, wahai pencinta keburukan berhentilah.” Dan bagi Allah ada pembebasan daripada api neraka dan ini berlaku setiap malam.

Nikmat Allah kepada kita amat banyak
وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا
Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya (an Nahl:18).

Kita di Malaysia Allah bagi makanan dan minuman yang melimpah. Tak ada berlaku bekalan makanan kita terputus. Cuma tahun lepas kita kena banjir dan ada beberapa tempat makanan terputus beberapa hari itupun taklah sampai mati kebulur.
Jadi nikmat ini perlu kita syukuri.

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Ibrahim:7)

Esok hari pertama kita puasa. Kita kena balas nikmat Allah ini dengan sama-sama kita mentaati perintah-Nya. Mudah-mudahan pemberian Allah ini kita balasnya dengan amalan kebaikan. Insya Allah kita sambung dengan witir.





Wednesday, March 25, 2015

Bahagia Yang Sebenar




Setiap orang mencari bahagia dalam kehidupan mereka. Berbahagialah bagi mereka yang mendapat nikmat bahagia dalam hidup mereka. Menurut Kamus Dewan, Bahagia ialah suasana senang dan aman, aman damai serta gembira. Untuk mengecapi suasana begini manusia sanggup melakukan apa saja asalkan bahagia.

Ramai orang salah mentafsirkan bahagia sehingga menyebabkan mereka terseksa. Bahagia yang dicari tapi sengsara yang diperolehi. Ada yang menganggap bahagia apabila ada harta sehingga sanggup mengorbankan masa untuk mengumpul harta benda. Jika bahagia itu diukur dengan harta maka Qarunlah yang paling berbahagia tetapi Qarun binasa dalam keadaan penuh hina.  

“Maka kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya)”. (al-qasas:81).

Ada orang mengatakan bahagia itu ialah jika berjaya dalam perniagaan. Pelajar di sekolah atau di universiti pula menganggap bahagia itu ialah apabila lulus dalam peperiksaan manakala suami isteri mengatakan bahagia itu ialah apabila memiliki zuriat yang banyak. Jikalah pandangan mereka betul kenapa ramai ahli perniagaan  membunuh diri? Kenapa pelajar cemerlang dalam peperiksaan juga terlibat dengan dadah dan pil kuda? Kenapa pasangan suami isteri yang mempunyai ramai anak tapi akhirnya menghabiskan sisa hidup di rumah orang tua? Adakah itu bahagia?

Bahagia yang sebenar apabila seseorang itu dapat menjalankan kehidupannya di atas muka bumi sebagai seorang mukmin yang sebenar. Kemuncak bahagia apabila dia mati mencapai mardhatillah- reda Allah yang mana tempatnya adalah syurga yang kekal selamanya. Itulah dia bahgia yang sebenar. Al-quran mengungkapkannya sebagai “hayaatan thoyyibatan”- kehidupan yang baik.

“Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (an- nahl:97).

Kerana memiliki iman dan amal yang saleh maka Bilal bin Rabah mengecapi bahagia walaupun badannya diseksa. Mus’ab bin Umair berbahagia walupun saat matinya tanpa harta. Pejuang agama pula berasa gembira apabila syahid di jalan-Nya.

“Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergembira hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia yang yang besar daripada Allah, dan bahawa Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang beriman.” (Ali Imran:170-171).

Justeru marilah sama-sama kita mengejar bahagia dengan memperteguhkan iman dan amal kita. Jangan kita tersalah langkah sehingga rebah dalam mencari bahagia. Bahagia akan datang apabila kehidupan disinari iman, tapi jika iman malap kehidupan kita menjadi gelap.