"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Wednesday, March 25, 2015

Bahagia Yang Sebenar




Setiap orang mencari bahagia dalam kehidupan mereka. Berbahagialah bagi mereka yang mendapat nikmat bahagia dalam hidup mereka. Menurut Kamus Dewan, Bahagia ialah suasana senang dan aman, aman damai serta gembira. Untuk mengecapi suasana begini manusia sanggup melakukan apa saja asalkan bahagia.

Ramai orang salah mentafsirkan bahagia sehingga menyebabkan mereka terseksa. Bahagia yang dicari tapi sengsara yang diperolehi. Ada yang menganggap bahagia apabila ada harta sehingga sanggup mengorbankan masa untuk mengumpul harta benda. Jika bahagia itu diukur dengan harta maka Qarunlah yang paling berbahagia tetapi Qarun binasa dalam keadaan penuh hina.  

“Maka kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya)”. (al-qasas:81).

Ada orang mengatakan bahagia itu ialah jika berjaya dalam perniagaan. Pelajar di sekolah atau di universiti pula menganggap bahagia itu ialah apabila lulus dalam peperiksaan manakala suami isteri mengatakan bahagia itu ialah apabila memiliki zuriat yang banyak. Jikalah pandangan mereka betul kenapa ramai ahli perniagaan  membunuh diri? Kenapa pelajar cemerlang dalam peperiksaan juga terlibat dengan dadah dan pil kuda? Kenapa pasangan suami isteri yang mempunyai ramai anak tapi akhirnya menghabiskan sisa hidup di rumah orang tua? Adakah itu bahagia?

Bahagia yang sebenar apabila seseorang itu dapat menjalankan kehidupannya di atas muka bumi sebagai seorang mukmin yang sebenar. Kemuncak bahagia apabila dia mati mencapai mardhatillah- reda Allah yang mana tempatnya adalah syurga yang kekal selamanya. Itulah dia bahgia yang sebenar. Al-quran mengungkapkannya sebagai “hayaatan thoyyibatan”- kehidupan yang baik.

“Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (an- nahl:97).

Kerana memiliki iman dan amal yang saleh maka Bilal bin Rabah mengecapi bahagia walaupun badannya diseksa. Mus’ab bin Umair berbahagia walupun saat matinya tanpa harta. Pejuang agama pula berasa gembira apabila syahid di jalan-Nya.

“Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka bergembira hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Mereka bergirang hati dengan nikmat dan kurnia yang yang besar daripada Allah, dan bahawa Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang beriman.” (Ali Imran:170-171).

Justeru marilah sama-sama kita mengejar bahagia dengan memperteguhkan iman dan amal kita. Jangan kita tersalah langkah sehingga rebah dalam mencari bahagia. Bahagia akan datang apabila kehidupan disinari iman, tapi jika iman malap kehidupan kita menjadi gelap.





1 comments:

Dewi Aja said...[Balas]

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas mendowload dn upload music, foto-foto, video dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Post a Comment