"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Monday, February 5, 2018

Al-Baqarah ayat 240 - 242




Dalam ayat 240 kembali semula kepada ayat-ayat tentang munakahat. Di antara ayat munakahat yang kita bincang banyak kali dah sebelum ini, Allah ada selit ayat berkenaan jaga solat terutamanya solat wustho – solat asar. Hubungan dengan Allah tak boleh putus walaupun hubungan suami isteri terputus.

Suami yang mati meninggalkan isterinya. Kita panggil balu. Ada hak yang mesti ditunaikan. Islam amat mementingkan kebajikan lebih-lebih lagi terhadap wanita.  Islam tidak meninggalkan keadaan balu wanita itu dalam keadaan tergantung tanpa hak dan penjagaan. Dalam hal ini suami itu hendaklah berwasiat iaitu meninggalkan pesan kepada walinya supaya menjaga isterinya itu. 

Mesti sediakan nafkah daripada harta yang ditinggalkannya sampai cukup setahun jikalau isterinya itu tidak kahwin lain. Diwasiatkan atas dasar jasa baik. Isteri-isterinya itu memang boleh kahwin lain tetapi jikalau mereka tidak kahwin lain, maka perlu diwasiatkan untuk penjagaan mereka.

Isterinya itu boleh tinggal di rumah yang dia tinggal dengan suaminya sebelum itu selama cukup setahun. Janganlah dihalau isteri itu keluar walaupun suaminya sudah tidak ada lagi. Kalau isterinya itu keluar juga, maka tidaklah ada kesalahan kepada wali-wali arwah suaminya itu. Tapi kenalah pastikan yang apa yang dilakukan oleh wanita itu adalah perkara yang makruf seperti dia kahwin lain, atau keluar mencari nafkah. 

Di sini jelas bahawa perempuan tak boleh keluar rumah selain daripada perkara makruf. Jika dia keluar dengan berhias, tidak tutup aurat, bercampur aduk dengan lelaki bukan mahram, maka walinya mesti melarangnya.

Ayat 241 pula nak bagitahu supaya wanita yang diceraikan diberikan pemberian sebagai saguhati. ‘Makruf’ itu bermaksud hadiah yang boleh mengurangkan sedikit kesedihan dan kemarahan kepada mereka. Kerana kalau seorang wanita diceraikan setelah sekian lama berkahwin, tentulah ada kesedihan dan serba sedikit rasa marah kerana ditinggalkan.

Maksud ‘makruf’ itu juga, hendaklah mut’ah itu diberikan dengan cara yang baik; waktu kita beri hadiah itu, kita berilah dengan cara baik tanpa ungkit mengungkit maki memaki. Tujuan memberi hadiah saguhati ialah supaya isteri merasa dihormati dan untuk mengurangkan kesedihannya. Ianya adalah satu tanggungjawab ke atas orang muttaqin. Adakah tidak muttaqin tidak termasuk dalam arahan ini? Jawabnya termasuk juga. 

Begitulah Allah mengajar kepada kita cara-cara untuk menjalani kehidupan kita supaya semuanya dapat hidup aman dan damai dan dapat menjaga hukum Allah di atas muka bumi ini. Kena guna akal kita yang waras untuk memahami segala perkara ini.Kita boleh faham daripada ayat ini bahawa Allah sudah menjelaskan satu persatu hukum kepada kita dengan jelasnya.

Al-Quran yang ada ini menjadi panduan hidup kepada kita dalam semua lapangan. Tak ada satu pun hal berkaitan dengan kehidupan kita yang tidak diterangkan dalam quran. 
ما فرطنا في الكتاب من شيء

Kalau kita kata al-Quran tidak ada sebut, maka sebenarnya kita yang tak mengaji quran dengan betul. Sebab tu kena bagi masa untuk memahami kalam Allah. Semoga hidup kita sentiasa dipandu oleh wahyu.
وصلى الله وسلم وبارك على نبينا محمد وعلى آله وصحبه

0 comments:

Post a Comment