"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Tuesday, July 14, 2015

Tazkirah Ramadan 1436 – Malam 26: Apa Itu Ehsan?




Disampaikan oleh: al-ustaz Badrul Hisyam Sulaiman
Tempat: Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu

Suka kita memetik ayat  surah al-ahqaf:
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا
Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat ehsan kepada dua orang ibu bapaknya, 
Ehsan ini dengan makna mudahnya berbuat baik. Kita bukan saja disuruh berbuat baik kepada ibu bapa saja bahkan meliputi semua makhluk. Dalam satu hadis nabi صلى الله عليه وسلم  bersabda

Sesungguhnya Allah menulis (iaitu mewajibkan) Ehsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh, maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia menyenangkan haiwan sembelihannya itu.
Masa perang bila kita nak bunuh musuh pun kena ada ehsan, iaitu cukuplah sekadar bunuh dengan menghilangkan nyawa musuh, tak payah kita cincang-cincang jasad mereka. Kepada binatang sembelihan pun begitu juga. Contohnya kalau kita nak sembelih lembu korban maka jangan kita tunjuk kepada lembu-lembu lain.
Persoalannya sejauh manakah sifat ehsan kita setakat hari ini kita dah puasa 25 hari? Adakah kita tersentuh bila melihat seorang makcik meraih simpati kita? Apa perasaan kita jika orang itu mak kita atau mungkin mak saudara kita? Tiadakah perasaan ehsan kita terhadap mereka?
Ada satu kisah seorang wanita pelacur dalam kalangan Bani Israel, melihat seekor anjing yang kehausan maka dia telah memberi minum menggunakan sepatunya maka Allah mengampunkan dosanya kerana ehsannya terhadap anjing.
بينما كلبٌ يطيفُ بِرَكيَّة قد كاد يقتله العطش، إذ رأته بغيٌّ من بغايا بني إسرائيل، فنزعت موقَهَا ، فاستقت له به، فسقته إياه فَغُفر لها به

Dalam urusan jual beli kita amalkan sikap ehsan samada kita pembeli atau penjual. Pergi bazar Ramadan beli kuih harga sembilan ringgit tujuh puluh sen kita bagi sepuluh ringgit. Baki tiga puluh sen kita sedekah kat dia. Itu ehsan. Penjual pula sesama mereka jika ada sikap ehsan maka alangkah bagusnya. 
Ehsan juga mesti ada dalam ibadat kepada Allah. Dalam satu hadis tuan-tuan boleh rujuk dalam hadis empat puluh iaitu hadis yang kedua berkenaan dengan soalan Jibril kepada nabi. Jibril tanya nabi apakah itu Islam, Iman dan beliau tanya apakah itu Ehsan? Jawab nabi  
صلى الله عليه وسلم
أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Kamu sembah Allah seolah kamu melihat-Nya, jika tidak maka sesungguhnya Allah melihat kamu.
Semoga Allah memberikan kita sikap ehsan sesama Makhluk dan juga Ehsan dalam beribadat.

0 comments:

Post a Comment