"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Wednesday, November 9, 2011

Islam Amat Sesuai Dengan Fitrah Manusia

Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Fitrah ialah sifat semulajadi, bakat, pembawaan perasaan keagamaan kepada mentauhidkan Allah SWT. Fitrah manusia pada mulanya adalah bersih daripada sebarang kesyirikan dan kemunafikan.

Mafhum daripada hadis nabi SAW bahawasanya manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang akan membentuk anak ini menjadi yahudi, nasrani ataupun majusi.

Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Allah SWT sebut dalam al-quran mafhumnya "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ar rum:30)."

Fitrah Allah bermaksud ciptaan-Nya. Manusia diciptakan Allah mempunyai naluri beragama iaitu agama tauhid. Kalau ada manusia tidak beragama tauhid, maka hal itu tidaklah wajar. Orang yang tidak beragama tauhid itu adalah kerana pengaruh didikan ibu bapa seperti sabda nabi SAW tadi.

Islam ialah agama Allah SWT. Satu-satunya agama yang diredai Allah ialah Islam. Dalilnya Allah sebut dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama (yang diredai) disisi Allah hanyalah Islam. Tidak berselisih orang-orang yang telah diberi al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, dengan sebab kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya.”

Maksud al kitab ialah kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al Quran. Firman Allah lagi dalam surah yang sama ayat 85 yang bermaksud “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”

Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Sudah menjadi fitrah manusia bahawa lelaki memerlukan wanita sebagai teman hidup. Untuk itu maka dalam Islam ada satu syariat iaitu nikah kahwin. Islam mengharamkan zina, iaitu persetubuhan tanpa akad nikah yang sahih. Untuk meraikan fitrah manusia maka Islam menyuruh umatnya supaya berkahwin.

Allah sebut dalam surah ar rum ayat 21 mafhumnya “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Ajaran Islam menitikberatkan tentang kebersihan samada kebersihan zahir maupun kebersihan batin. Sebab itu antara ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari umat isslam ialah dalam bab bersuci. Amalan solat yang menjadi tiang seri dalam islam tidak akan bernilai tanpa bersuci.

Allah SWT suka kepada orang yang bersuci. Dalilnya firman Allah dalam surah al baqarah ayat 222 yang bermaksud “Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: "Haidh itu adalah suatu kotoran". oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.

Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Antara perkara pokok yang menjadi asas dan dasar maksud syariat Islam ialah menjaga akal. Dalam hal ini Islam mengharamkan apa-apa jalan yang boleh merosakkan akal. Islam mengharamkan arak kerana arak menyebabkan manusia rosak.

Banyak kajian mendapati bahawa peminum arak boleh mengakibatkan penyakit kronik, membahayakan diri ketika memandu, menyebabkan pergaduhan dalam keluarga, peminumnya menjadi tidak waras dalam tindakan, membunuh, merogol dan lain-lain kerana minum arak.

Dalam Islam Allah SWT menjelaskan “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan (al maidah:90)

Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Antara makna Islam itu sendiri ialah selamat, sejahtera. Lafaz salam itu sendiri mengandungi makna doa keselamatan yang disebarkan sesama muslim. Sesungguhnya hanya dengan Islam sahaja kita akan selamat. Tiada keselamatan yang hakiki melainkan melalui jalan Islam. Islamlah, nescaya anda akan selamat!

0 comments:

Post a Comment