Disampaikan oleh:
al-ustaz Badrul Hisyam Sulaiman
Tempat: Masjid Mukim
Padang Bongor, Kota Bharu
Biasa kita dengar pada
bulan Ramadan ini ialah mencari lailatul qadr. Ini untuk bulan Ramadan. Ada satu
lagi yang perlu dicari iaitu mencari husnul khatimah-penyudah yang terbaik.
Pencarian ini untuk setiap masa bukan bulan Rammadan saja.
Amalan kita berdasarkan
kepada penyudahnya.
إنما الأعمال بالخواتيم
Dalam satu hadis nabi yang panjang
إنَّ أَحَدَكُم يُجْمَعُ خلقُهُ فِيْ
بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ
ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ
فيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ،
وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ، فَوَاللهِ الَّذِيْ لاَ إِلَهَ
غُيْرُهُ، إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا
يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ
فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ
لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا
إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ
الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا.
"Sesungguhnya seorang dari kalian
dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk
nuthfah (mani), kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) seperti itu pula.
Kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) seperti itu pula. Kemudian seorang
Malaikat diutus kepadanya untuk meniupkan ruh di dalamnya, dan diperintahkan
untuk menulis empat perkara, rezekinya, ajalnya, amalnya, dan celaka atau
bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada tuhan selain-Nya, sesungguhnya salah
seorang daripada kalian beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak
antara dirinya dengan syurga hanya sehasta, tetapi catatan (takdir)
mendahuluinya lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka, maka dengan itu ia
memasukinya. Dan sesungguhnya salah seorang daripada kalian beramal dengan
amalan ahli neraka, sehingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya sehasta,
tetapi catatan (takdir) mendahuluinya lalu ia beramal dengan amalan ahli
syurga, maka dengan itu ia memasukinya"
Orang yang beramal baik, maka Allah akan memudahkan
baginya untuk menuju syurga. Manakala orang yang beramal jahat, maka Allah akan
memudahkan baginya untuk ke neraka. Hal ini menunjukkan tentang kesempurnaan
ilmu. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Meskipun setiap manusia telah
ditentukan menjadi penghuni syurga atau menjadi penghuni neraka, namun setiap
manusia mesti beramal di dunia ini.
Dalam satu hadis nabi menjelaskan ada seorang
hamba yang beramal dengan amalan ahli Syurga menurut apa yang nampak di hadapan
manusia, (namun) sebenarnya dia adalah penghuni Neraka, ada seorang hamba
beramal dengan amalan ahli Neraka menurut apa yang nampak di hadapan manusia,
(namun) sebenarnya dia adalah penghuni Syurga. Sesungguhnya amal-amal itu
tergantung daripada akhirnya.
Janganlah kita tertipu dengan amal-amal yang
telah kita kerjakan. Kita tidak boleh berkeyakinan, bahawa banyaknya amal yang
telah dilakukan menjamin kita akan masuk syurga. Akan tetapi, yang harus
dilakukan adalah, agar kita senantiasa memohon kepada Allah, sehingga
memasukkan diri kita ke dalam syurga dan dijauhkan dari api neraka, serta
memohon agar amal-amal kita diterima oleh-Nya.
Semoga kita semua mendapat husnul khatimah.
0 comments:
Post a Comment