"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Friday, July 10, 2015

Tazkirah Ramadan 1436 – Malam 22: Mencari Bahagia Dengan Iman dan Amal Soleh



Disampaikan oleh: al-ustaz Badrul Hisyam Sulaiman
Tempat: Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu


Setiap orang mencari bahagia dalam kehidupan mereka. Berbahagialah bagi mereka yang mendapat nikmat bahagia dalam hidup mereka. Untuk mengecapi suasana begini manusia sanggup melakukan apa saja asalkan bahagia. Ramai orang salah mentafsirkan bahagia sehingga menyebabkan mereka terseksa. Bahagia yang dicari tapi sengsara yang diperolehi.

Dalam satu hadis nabi صلى الله عليه وسلم
من أحب لله وأبغض لله وأعطى لله ومنع لله فقد استكمل الإيمان
"Barangsiapa berkasih kerana Allah, marah kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan kerana Allah maka sesungguhnya sempurnalah imannya".

Dalam Islam hakikat bahagia yang sebenar ialah apabila iman berada pada tahap kesempurnaan. Hasil daripada iman maka terserlahlah bahagia sesorang.

Bahagia yang sebenar apabila seseorang itu dapat menjalankan kehidupannya di atas muka bumi sebagai seorang mukmin yang sebenar. Kemuncak bahagia apabila dia mati mencapai mardhatillah- reda Allah yang mana tempatnya adalah syurga yang kekal selamanya. Itulah dia bahgia yang sebenar. Al-quran mengungkapkannya sebagai “hayaatan thoyyibatan”- kehidupan yang baik. 

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (an- nahl:97). 

Kalau kita tengok realiti kehidupan sekarang. Ramai artis selebriti yang kita tak perlu sebut nama mereka. Berapa ramai yang kahwin tak lama kemudian bercerai. Mereka tak dapat membina bahagia dalam perkahwinan mereka sebab mereka kahwin tak diselaputi iman. Haiwan pun kahwin juga cumanya tak ada ijab kabul.

Satu ketika sahabat tanya nabi apakah amalan yang paling afdhal maka jawab nabi beriman kepada Allah. Beriman kepada Allah adalah amalan hati. Ia adalah sebesar-besar amalan. Semoga dalam bulan Ramadan yang mulia ini kita memperoleh bahagia bilamana iman kita dapat dibajai dengan benih taqwa yang dterjemah dengan amal soleh.

Justeru marilah sama-sama kita mengejar bahagia dengan memperteguhkan iman dan amal kita. Jangan kita tersalah langkah sehingga rebah dalam mencari bahagia. Bahagia akan datang apabila kehidupan disinari iman, tapi jika iman malap kehidupan kita menjadi gelap.

0 comments:

Post a Comment