Disampaikan oleh: al-ustaz Badrul Hisyam
Sulaiman
Tempat: Masjid Mukim Padang Bongor, Kota
Bharu
Banyak cara untuk kita
mendapatkannya secara terus menerus walaupun kita sudah mati dijemput Ilahi. Di
antaranya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al- Bukhari dan Muslim:
إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث:
صدقة جارية، أو علم ينتفع به، أو ولد صالح يدعو له
“Apabila matinya anak
Adam maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang
dimanfaatkan ataupun anak soleh yang mendoakan untuknya.”
Sedekah jariah ini
bukan sedekah biasa. Sedekah jariah maksudnya sedekah yang berjalan pahalanya.
Contohnya buat masjid atau bina jalan. Pahala itu akan sampai kepada si pemberi
sedekah selagi mana masjid dan jalan itu digunakan orang. Walaupun sipemberi
sedekah tadi dah lama mati.
Ilmu bermanfaat. Ini
kelebihan yang Allah beri kepada orang alim yang mengajar orang lain. Selagi
mana ilmu yang diajar tadi dimanfaatkan oleh orang maka pahalanya berterusan
sampai kepada yang mengajarkan ilmu tadi.
Begitu juga anak soleh
yang sentiasa mendoakan untuk ibu bapanya yang sudah meninggal. Memiliki anak
soleh adalah idaman semua orang. Tak ada orang yang tak mahu anaknya menjadi
baik. Memiliki anak yang soleh bukanlah perkara mudah. Ianya memerlukan didikan
dan asuhan yang sempurna daripada kedua orang tua. Anak yang soleh akan menjadi
legasi untuk ibu bapanya terus mendapat pahala.
Bahkan ada satu hadis
menceritakan seorang bapa yang terkejut mendapati di dalam kuburnya dirinya
bertuah kerana pahalanya sentiasa melimpah ruah. Bila dia bertanya maka dijawab:
فَيُقَالُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ
Kamu mendapatinya dengan istighfar anak
kamu untuk kamu.
Dalam satu hadis lain yang diririwayatkan
oleh Ibnu Majah, juga terdapat dalam at-targhib wat tarhib oleh al-Munziri
قال رسول الله صلى الله عليه
وسلم " إن مما يلحق المؤمن من عمله وحسناته بعد موته علماً علمه ونشره ,
وولداً صالحاً تركه , ومصحفاً ورثه أو مسجداً بناه , أو بيتاً لابن السبيل بناه ,
أو نهراً أجراه , أو صدقةً أخرجها من ماله في صحته وحياته تلحقه من بعد موته "
"Sesungguhnya di antara amalan dan kebaikan seorang
mukmin yang akan menemuinya setelah kematiannya adalah: ilmu yang diajarkan dan
disebarkannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf yang diwariskannya,
masjid yang dibangunnya, rumah untuk ibnu sabil yang dibangunnya, sungai (air)
yang dialirkannya untuk umum, atau sedekah yang dikeluarkannya dari hartanya
diwaktu sihat dan semasa hidupnya, semua ini akan menemuinya setelah dia
meninggal dunia".
Dalam
hadis ini ada tujuh perkara yang mana jika dibuat oleh seseorang maka pahalanya
akan berterusan sampai dia mati. Pertama ilmu seperti hadis tadi, kedua anak
soleh juga sudah kita bincangkan. Yang ketiga mushaf yang diwariskan.
Mushaf ialah kitab yang ditulis padanya ayat quran. Kita kata
“tolong ambil quran”. Sebenarnya quran tak boleh diambil dipegang. Yang kita
ambil kita pegang ialah mushaf. Quran boleh dibaca. Selagi ada orang baca quran
melalui mushaf yang diwarisi oleh seseorang maka pahala akan sampai kepadanya.
Yang keempat membina masjid. Kita mungkin tak mampu buat satu
masjid tapi kita boleh bagi seberapa yang kita mampu mudah-mudahan sedekah kita
termasuk sebahagian daripada binaan masjid.
Kemudian yang kelima ialah membina rumah untuk orang musafir.
Kita sekarang dah bina dah tapi untuk perniagaan. Orang panggil pondok musafir,
homestay, gapo lagi? Chalet. Yang ini ialah kita bina untuk mereka tanpa
bayaran.
Yang keenam sungai yang dialirkan untuk kegunaan orang lain. Zaman
dulu orang guna sungai sebagai punca untuk dapatkan air. Sesiapa yang bina
sungai kemudian ianya digunakan untuk manfaat orang ramai maka dia dapat pahala
berganda.
Yang ketujuh sedekah. Ini pun sama sepeti hadis pertama tadi
yang kita sudah bincang. Kita buatlah mana-mana satu yang kita boleh buat.
Rasanya sedekah kita mudah untuk buat. Sebenarnya sedekah ini akan menjadi
cahaya pada hari akhirat.
Tuan-tuan balik buka surah al-hadid ada dua muka surat Allah
sebut tentang sedekah ini. Muka surat
yang berada sebelah meyebelah. Kenapa orang munafik tak dapat cahaya sehingga
mereka mahu tumpang cahaya orang beriman?
نَقْتَبِسْ مِنْ نُورِكُمْ
Sebab orang munafik
tak mahu bersedekah ataupun mereka bersedekah tapi dalam keadaan tak suka.
وَمَا مَنَعَهُمْ أَنْ تُقْبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَاتُهُمْ
إِلَّا أَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ وَلَا يَأْتُونَ الصَّلَاةَ
إِلَّا وَهُمْ كُسَالَى وَلَا يُنْفِقُونَ إِلَّا وَهُمْ كَارِهُونَ
Dan tidak ada yang
menghalangi mereka untuk diterima dari mereka nafkah-nafkahnya melainkan kerana
mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak mengerjakan
sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka,
melainkan dengan rasa enggan.(at-taubah:54)
Semoga kita diberi
taufik untuk beramal.
0 comments:
Post a Comment