"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Wednesday, March 22, 2017

Amalan-amalan Yang Dianggap Remeh



عن أنس -رضي الله تعالى عنه- قال: "إنكم لتعملون أعمالاً هي أدق في أعينكم من الشعر، كنا نعدها على عهد رسول الله -صلى الله عليه وسلم- من الموبقات، رواه البخاري.
Daripada Anas RA katanya, “Sesungguhnya kamu mengerjakan perbuatan yang pada pandangan kamu ianya lebih halus daripada rambut pada hal kami pada zaman Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- mengira perbuatan itu di antara perkara-perkara yang mencelakakan(dosa besar).”
(Riwayat Bukhari)
Anas bin Malik adalah sahabat nabi yang umurnya dipanjangkan oleh Allah. Beliau sempat hidup pada zaman tabiin yang mana ketika itu sudah berlaku perubahan keadaan masyarakat dalam penghayatan hidup beragama. Masyarakat sudah mula memandang ringan amalan yang sebenarnya amat dititikberatkan pada zaman para sahabat.

Apa yang disebut oleh Anas itu berlaku pada zaman tabiin yang dianggap sebagai zaman keemasan Islam. Tak tahulah apa yang Anas kata jika melihat masyarakat Islam pada masa sekarang. Umat Islam di serata alam dari Timur ke Barat dari Utara ke Selatan rata-rata tidak mengambil peduli tentang urusan agama.

Hadis ini nak bagitahu kita bahwa jangan kita pandang sepi sesuatu amalan, padahal ianya amat penting. Antara amalan yang dianggap remeh oleh masyarakat sekarang ialah solat jemaah. Pergilah tengok mana-mana masjid di tempat kita dan hitung berapa kerat yang menghadiri solat jemaah. Hari Jumaat penuh sampai melimpah di luar masjid tapi untuk lima waktu sehari semalam tak ramai yang hadir.

Siapa yang tak tahu kelebihan solat berjemaah berbanding solat bersendirian? Semua orang tahu. Budak sekolah diajar tentang solat jemaah ni masa tahun tiga lagi di sekolah kebangsaan. Mungkin peringkat tadika lagi. Ustaz  ajar kelebihan solat berjemaah tapi ustaz pun tak hadiri jemaah. Kenapa jadi begitu? Sebab memandang enteng solat jemaah. Katanya fardhu kifayah saja. Orang lain buat ustaz tak payah.

Masa zaman sahabat dahulu solat jemaah amat dititik beratkan. Mengikut satu riwayat nabi nak bakar rumah yang mana penghuninya yang sepatutnya solat berjemaah tapi tak solat jemaah. Dalam satu riwayat nabi bagitahu bahawa tiadalah yang tidak menghadiri jemaah itu kecuali dia seorang munafik yang dimaklumi kemunafikannya.  Dalam satu hadis daripada Ibn Mas’ud sabda nabi -صلى الله عليه وسلم-:
من سره أن يلقى الله غداً مسلماً فليحافظ على هؤلاء الصلوات الخمس حيث ينادى بهن، فإن الله شرع لنبيكم سنن الهدى وإنهن من سنن الهدى ولو أنكم صليتم في بيوتكم كما يصلي هذا المتخلف في بيته لتركتم سنة نبيكم ولو تركتم سنة نبيكم لضللتم وما من رجل يتطهر فيحسن الطهور ثم يعمد إلى مسجد من هذه المساجد إلا كتب الله له بكل خطوة يخطوها حسنة ويرفعه بها درجة، ويحط عنه سيئة، ولقد رأيتنا وما يتخلف عنها إلا منافق معلوم النفاق، ولقد كان الرجل يؤتى به يهادى بين الرجلين حتى يقام في الصف
Barangsiapa yang suka untuk bertemu Allah di besok hari (qiamat) dalam keadaan muslim, maka hendaklah dia menjaga solat lima waktu dengan berjemaah di mana sahaja azan berkumandang. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى telah mensyariatkan kepada Nabi kamu jalan-jalan hidayah, dan sesungguhnya solat berjemaah itu sebahagian daripada jalan-jalan hidayah. Maka jika kamu solat di rumah-rumah kamu sebagaimana orang yang tidak hadir ini bersolat di rumahnya, maka sebenarnya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan jika kamu meninggalkan sunnah nabi kamu, nescaya kamu akan sesat. Dan tidaklah sesorang yang bersuci dengan sebaiknya kemudian dia menuju ke masjid melainkan ditulis baginya setiap langkah satu kebaikan, diangkatnya satu darajah dan dihapuskanya satu dosa. Dan sesungguhnya kami menganggap bahawa tiada yang tidak hadir untuk berjemaah melainkan orang munafik yang jelas kemunafikannya. Dan sesungguhnya ada seorang lelaki yang uzur dibawa untuk berjemaah dengan dipapah oleh dua orang, sehinggalah dia diletakkan ke dalam saf.


Amalan lain yang dianggap remeh ialah berbohong. Sekarang ini bohong sudah dijadikan satu jenaka untuk suka-suka. Dalam radio ada slot apa nama tu? Panggilan hangit ke? Nak bergurau bukan tak boleh. Nabi bergurau tapi baginda tak akan kata kecuali yang benar. Orang-orang tua kita ada kata "Bercakap bohong lama-lama jadi pencuri".

Apa lagi amalan yang membinasakan tapi dianggap enteng oleh masyarakat kita? Makan dengan menggunakan tangan kanan. Hari ini kalau kita hadir kenduri maka dengan mudah kita akan lihat tetamu makan atawa minum dengan menggunakan tangan kiri. Tiada sunnah makan minum menggunakan tangan kiri. Orang kita lebih mengagungkan barat. Barat ajar kita guna tangan kiri semasa minum kita pun ikut cara mereka.

Permasalahan umat sekarang ialah masalah iman. Iman lemah menyebabkan meninggalkan sesuatu amalan danggap biasa walaupun ianya menyebabkan kita binasa. Orang mukmin menganggap dosa dia macam gunung menghempat kepala manakala orang munafik menganggap dosanya seperti lalat hinggap atas hidung. Semoga Allah merahmati kita.

0 comments:

Post a Comment