"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, April 30, 2011

Kelebihan menuntut ilmu bermanfaat

فصل في فضيلة طالب العلم النافع

Ini satu fasal pada menyatakan kelebihan orang yang menuntut ilmu yang memberi manfaat.

Ketahuilah bahawa orang yang menuntut ilmu itu tiga macam:

Pertama: Seorang yang menuntut ilmu kerana Allah untuk bekalan di negeri akhirat. Orang sebeginilah yang akan mendapat kemenangan di dunia dan akhirat, yang disebut oleh Allah SWT sebagai orang muttaqin.

Allah sebut:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa.

Juga firman Allah SWT:

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى

Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa.

Kedua: Seorang yang menuntut ilmu kerana dunia semata-mata, untuk mencari habuan, pangkat dan kekayaan melalui ilmu yang dituntut. Orang sebegini amat jahat dan jika ia mati dengan tidak bertaubat maka ia mati dalam maksiat. Sekiranya ia bertaubat maka ia juga mendapat kemenangan kerana orang yang bertaubat daripada dosa adalah seperti tiada dosa.

التائب من الذنب كمن لا ذنب له

Ketiga: Seorang yang menuntut ilmu kerana untuk mencari kemegahan di dunia, untuk mendapat ramai pengikut, mencari harta, pangkat dan tahta. Niatnya bukan kerana Allah SWT. Orang seperti ini akan binasa. Inilah yang diisyaratkan oleh baginda nabi SAW dalam hadis yang bermaksud:

"Aku lebih takut ke atas kamu daripada dajjal" maka ditanya kepada nabi "siapakah dia wahai rasulallah?" Jawab nabi: "ulama yang menyesatkan".

Marilah kita berdoa agar ilmu yang kita miliki ialah ilmu yang memberi manfaat kepada kita di dunia dan akhirat. Al Imam an Nawawi dalam kitabya "al azkar" ada naqal satu hadis nabi SAW:

عن أُمّ سلمة رضي اللّه عنها؛

أنَّ رسولَ اللَّه صلى اللّه عليه وسلم كان إذا أصبح قال‏:‏‏"‏اللَّهُمَّ إني أسألُكَ عِلْماً نافعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً‏"‏‏.‏

Daripada Ummi Salamah RA: Bahawa nabi SAW apabila berpagi hari baginda berdoa "Ya Allah! Ku mohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal dan amalan yang dikabulkan".

Molek benar kita berdoa dengan doa yang disebut oleh Nabi SAW:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ عِلْماً نافعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً‏‏‏.‏

0 comments:

Post a Comment