"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Friday, April 1, 2011

Bina Insan Guru IPG Kampus Keningau


Pada 31 Mac hingga 3 April 2011 program Bina Insan Guru (BIG) diadakan di Borneo Paradise, Kinarut, Kota Kinabalu bagi pelajar PISMP ambilan Januari 2011 IPG Kampus Keningau. Jumlah peserta seramai 136 orang.

Saya ditugaskan sebagai fasilitator, jawatankuasa penilaian dan urusetia aktiviti agama. Tugasan ini adalah rutin saya sebagai pendidik di IPG.Antara objektif program ialah untuk memenuhi jumlah kredit mata pelajaran BIG bagi membina semangat jati diri pendidik, memupuk nilai positif dalam profesion perguruan dan memperkukuhkan hubungan mesra di antara para pelajar.

Pelaksanaan BIG adalah berasaskan kepada kesedaran bahawa profesion keguruan adalah mulia dan insan guru adalah pembina generasi, pembentuk jati diri, arkitek yang memanusiakan manusia, justeru pembinaan insan guru perlu dibina sebelum guru membina orang lain.

فاقد الشيء لا يعطي

Seseorang yang tidak ada sesuatu tak akan dapat memberi.

Melalui aktiviti yang dirancang, pelajar dapat mengenal diri (real-self) dan mampu mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh ke arah pembangunan diri sebagai insan guru secara berterusan.

“….pendidikan guru hendaklah berterusan sifatnya dan berpaksikan hasrat dan komitmen untuk melahir, membina, membentuk dan memupuk insan guru yang berkualiti iaitu yang memiliki keterampilan profesional yang tinggi dan dicirikan oleh penampilan diri yang terpuji selaras dengan hasrat negara”. (Resolusi Konvensyen Pendidikan kali pertama tahun 2003)

Adalah diharapkan para peserta dapat mempelajari sesuatu yang baharu bagi melengkapakan diri sebagai guru yang dikehendaki sepertimana yang dihasratkan. Sesungguhnya insan guru memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak dan sahsiah sesuatu bangsa dan negara.