"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Sunday, May 10, 2009

Alahai ustad!

Seorang ustaz sedang menyampaikan ceramah kepada sekumpulan mualaf di sebuah dewan serbaguna bersebelahan dengan masjid. Tajuk ceramah berkenaan dengan solat berjemaah. Beliau antara lain menyatakan bahawa orang yang tak hadir berjemaah serupa kerbau. Beliau bercerita.

“Dalam satu kampung ada seorang pesawah, Pak Mat namanya. Pada satu senja sebelum azan maghrib berkumandang Pak Mat masih lagi di sawah. Tiba-tiba ia terpandang sekumpulan kerbau bermandi lumpur berdekatan dengan sawahnya. Pak Mat mendekati seekor kerbau yang bertindak seperti ketua kumpulan kerbau dan menegurnya.

Pak Mat: Assalamualaikum
Kerbau: Waalaikumussalam
Pak Mat: Wah, seronok main lumpur. Siapa mereka tu?
Kerbau: Ooo… yang besar tu isteri aku, yang kecil-kecil tu semuanya anak-anakku.
Pak Mat: Eh, serupalah kita. Aku pun kat rumah ada bini ada anak-anak.

Tiba-tiba azan maghrib berkumandang sayup-sayup dari masjid di hujung kampung.

Kerbau: Bunyi apa tu?
Pak Mat: Ooo… itu bunyi orang melagau untuk pergi sembahyang bah tu.
Kerbau: Kamu tak pergi ke?
Pak Mat: Tak...
Kerbau: Eh, serupalah kita. Kamu tak pergi, aku pun tak pergi. Meh kita berduet nyanyi lagu kita serupa...”

"Haaaa... kalau tak mahu jadi serupa kerbau kena pergi solat berjemaah." Jelas ustaz mengakhiri ceritanya. Sobri bin Abdullah, salah seorang peserta mengangguk tanda setuju dan faham.

Ceramah ustaz tadi berakhir apabila nak masuk waktu zohor dan akan bersambung selepas solat dan makan tengahari. Ustaz berpesan kepada para peserta supaya solat zohor berjemaah di masjid bersebelahan. Selesai berceramah sang ustaz masuk ke bilik rehat dan bersigup manakala para mualaf solat berjemaah. Selepas selesai semuanya para peserta masuk balik ke dewan untuk mendengar ceramah seterusnya yang akan disampaikan oleh ustaz lain. Tiba-tiba ternampak kelibat ustaz tadi keluar dari bilik rehat dan menuju ke masjid untuk solat zohor seorang diri. "Alahai ustad...serupa kerbau juga rupanya". Bisik Sobri bin Abdullah di dalam hati.


melagau:memanggil
bersigup:merokok

0 comments:

Post a Comment