"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Saturday, March 28, 2009

Cerita rokok



Semalam saya membaca Utusan Malaysia secara online. Antara yang menarik perhatian saya ialah berita bertajuk Perokok "lebih hina daripada lembu”-Nik Aziz. Laporan menyebut bahawa ketika menyampaikan ceramah Jumaat tuan guru antara lain berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

“Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah).“Maka, mereka yang melakukan perbuatan (menghisap rokok) itu dianggap lebih hina dari lembu,” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini,hari ini. Sejauh mana kesahihan laporan tersebut tidaklah saya tahu kerana saya tidak mendengar sendiri. Umum mengetahui bahawa laporan dalam Utusan Malaysia bukanlah mutlak benar.

Menyentuh tentang rokok saya teringat masa belajar di MML dulu. Saya adalah di antara orang yang "naik syeikh" apabila isu rokok diperkatakan. Pernah dalam satu resolusi muktamar kepimpinan pelajar meluluskan supaya rokok diharamkan di sekolah termasuk di kantin. Sebenarnya memang tak boleh pun tapi pada ketika itu guru-guru secara terang-terangan merokok di kantin sekolah. Usul ini dibawa dan diperbahaskan oleh saya. Saya juga penah di "basuh" oleh seorang ustaz lantaran keceluparan mulut bertanya kepada mudir Al-Ustaz Nik Ab. Kadir tentang kelakuan guru-guru merokok di sekolah. Ketika simposium pelajar di ITM Kem Kijang saya juga tersasul sebut tentang rokok sehingga rakan saya Ghazali Daud(Sekarang mengajar di Tawau) meminta maaf kepada sidang bagi pihak saya.

Kali terakhir saya singgung masalah rokok ialah di atas mimbar khutbah di Masjid Kampung Padang Bongor pada penghujung tahun 2007. Saya tak sebut banyak pun cuma menyokong kempen Kerajaan Negeri menjayakan kempen sifar rokok 2008. Beberapa orang ahli jemaah yang sebelum ini yang"jelira" dengan khutbah saya tak berjelira pada hari itu. Mungkin sebab kena atas batang hidung. Pada hari Raya Korban yang lepas saya mendapat sms:"Hari ini hari ke 100 ambo berhenti merokok. Doakan semoga ambo dapat istiqamah". Kepada perokok-perokok lain, sudah-sudahlah tu!

Utusan Malaysia, 27 Mac

0 comments:

Post a Comment