Bulan Ramadan datang lagi. Bulan yang penuh dengan
keberkatan. Kehadirannya dinanti manakala pemergiannya ditangisi oleh setiap
diri mukmin. Antara nikmat Allah ke atas hambanya ialah menjadikan Ramadan
sebagai bulan ibadat. Pahalanya digandakan manakala dosa diampunkan, rahmat dan
limpah kurnia Allah amat banyak.
{ شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى
لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ } [البقرة:185]
Bulan
Ramadan diturunkan padanya al-Quran yang menjadi hidayah kepada manusia dan keterangan
tentang petunjuk dan sebagai pembeza antara hak dan batil.
روى الإمام أحمد في مسنده عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : قال رسول الله
صلى الله عليه وسلم: ((هَذَا رَمَضَانُ قَدْ جَاءَ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ
الْجَنَّةِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ النَّارِ وَتُسَلْسَلُ فِيهِ الشَّيَاطِينُ)).
Sesungguhnya sudah datang Ramadan, dibuka padanya pintu-pintu syurga dan
ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.
Rasulullah menyatakan bahawan Ramadan sebagai bulan barakah. Sungguh, bahawa
bulan ini penuh dengan keberkatannya. Setiap detik dalam bulan Ramadan adalah
keberkatan. Berkat waktu, berkat amal, Berkat dalam balasan dan pahala.
Dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Amalan-amalan
pada bulan ini digandakan pahalanya. Bulan yang dijanjikan Allah sebagai bulan
pembebasan daripada api neraka.
وثبت في الصحيحين عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله
عليه وسلم : (( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا
تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ، وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا
وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ )
Barangsiapa yang
berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampun dosanya
yang lampau, dan barangsiapa mendirikan malam lailatul qadar dengan penuh keimanan
dan pengharapan, maka diampun dosanya yang lampau.
Maka amat rugi bagi
sesiapa yang tidak mengambil ruang dan peluang untuk merebut anugerah Allah
yang amat besar ini kerana tenggelam dengan nafsu dan cinta kepada dunia. Bulan
Ramadan adalah tetamu istimewa yang datangnya hanya sebulan dalam setahun. Maka
sayugia bagi setiap mukmin untuk melayan tetamu istimewa ini dengan melipat
gandakan amalan ke arah menuju taqwa ilahi.