"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Tuesday, August 5, 2014

Meraikan Kemenangan 1 Syawal: Menangkah Kita?










Setiap tahun menjelang satu Syawal umat Islam menyambut hari raya puasa yang dikenali juga sebagai idul fitri.  Di dalam Islam menyambut hari raya bukan sekadar untuk bergembira dengan pakaian baharu dan segala aneka kuih muih tetapi ianya lebih daripada itu. Hari raya adalah manifestasi penghambaan  hamba kepada al- Khaliq yang telah memberikan nikmat yang amat banyak.

Anugerah hari raya adalah sebagai meraikan kemenangan umat Islam menundukkan hawa nafsu selama sebulan dengan melakukan amalan puasa yang mana objektifnya adalah untuk melahirkan insan bertaqwa. Ironinya umat Islam sekarang menjadikan 1 Syawal sebagai hari untuk bersuka ria sehingga terleka dan tenggelam dalam noda dan dosa.

Sepatutnya hari raya dihiasi dengan takbir, tahmid dan taqdis memuji dan membesarkan Allah swt sepertimana yang dianjurkan oleh baginda nabi saw dan inilah yang menjadi praktik para salafus solih sebelum kita. Satu fenomena yang amat ketara ialah bilamana golongan remaja yang terbabit dalam gaya hidup yang tak selari dengan nilai-nilai Islam, maka wujudlah gejala seperti lepak, pergaulan bebas, bersekedudukan tanpa nikah, perzinaan, minum minuman keras, berpoya-poya pada hari raya.

Segala puji bagi Allah yang telah memudahkan bagi hamba-Nya menempuh jalan untuk kembali kepada Nya, Allah menjadikan berulang-ulang setiap tahun adanya hari raya sesudah hambanya itu membersih jiwa sebulan Ramadan. Manusia kembali kepada fitrah. Hatinya bersih lagi suci seperti bayi yang baru dilahirkan.

Ibadat puasa yang telah kita kerjakan berdasarkan syariat Allah swt. bukanlah sekadar menahan makan dan minum semata-mata tetapi kita dituntut mengawal seluruh anggota zahir dan batin agar kita tidak melakukan yang mungkar dan keji.

1 Syawal adalah hari kegembiraan dan kesyukuran kepada orang yang beriman yang telah mendapat kemenangan dan kejayaan menyempurnakan ibadat puasa Ramadan disamping memperolehi rahmat keampunan dan kebebasan daripada api neraka.

Persoalannya menangkah kita jika jiwa kita masih kotor dengan noda dan dosa? Menangkah kita jika sesama kita masih bersengketa? Menangkah kita jika kehidupan kita bersalut dengan muamalat riba? Menangkah kita jika masih berdendam dengan sanak saudara? Menagkah kita jika kehidupan kita hanya untuk memuaskan nafsu semata?

Semoga sambutan hari raya kali ini lebih bermakna kepada kita dalam rangka menuju insan taqwa. Selamat Menyambut Hari Raya kepada anda semua. Mudah-mudahan amalan kita diterima dan kita meraih reda-Nya.

1 comments:

Anonymous said...[Balas]

buatlah setakat yang mampu....utk diri dan keluarga.....walaupun sikit...mohon allah perkenankan....juga selama mana..kerajaan yg ada blum berubah ke daulah islamiyyah....mana mungkin......perlaksanaan dan penguatkuasaan undang...islam..terlaksana....tahniah ust..tugas daie apapun suasana...tugas itu hndaklah diteruskan....

Post a Comment