"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Thursday, January 17, 2013

Benarkah Alexander Seorang Nabi?




Untuk menjawab soalan di atas saya ingin membuat sedikit andaian dan agakan untuk memahami soalan terlebih dahulu. Mudah-mudahan andaian saya adalah betul. Saya merasakan bahawa yang bertanya itu merujuk kepada individu yang disebut di dalam al-quran iaitu Zulqarnain atau lebih dikenali umum sebagai Iskandar Zulkarnain. Jika inilah yang dimaksudkan oleh penanya maka dia bertanya benarkah Iskandar Zulkarnain seorang nabi?

Alexander, dalam bahasa Arab yang juga diguna pakai oleh Melayu ialah Iskandar. Jadi Alexander Zulqarnain ialah Iskandar Zulqarnain. Di dalam al-quran, kisah Zulqarnain disebut dalam surah al-kahfi ayat 83 hingga 98. Mafhum al-quran surah al-kahfi ayat 83,84:

“ Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya.  Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.”

Dalam al-quran tidak ada perkataan Iskandar. Cerita bagaimana perkataan Iskandar disandarkan kepada Zulqarnain telah menjadi perbincangan hebat dan khilaf yang nampaknya tidak pandai selesai. Mungkin ini salah satu mukjizat al-quran yang mana para pengkajinya tidak pernah merasa cukup.

Dalam ruangan ini cukuplah jika saya merujuk kepada Zulkarnain yang terdapat di dalam al- quran. Ibnu Hajar menyatakan bahawa ulama khilaf tentang Zulqarnain, ada yang menyatakan bahawa dia seorang nabi. Ada juga pendapat menyatakan bahawa dia salah satu daripada malaikat. Pendapat yang paling sahih ialah Zulqarnain bukan nabi dan bukan malaikat.

Zulqarnain ialah salah seorang raja yang adil lagi saleh. Baginda menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk alam dan menentang kekufuran. Mujahid, salah seorang ulama tafsir menyatakan bahawa raja (pemerintah) bumi ini ada empat, dua mukmin dan dua kafir. Dua oarng mukmin ialah Nabi Sulaiman dan Zulqarnaian manakala dua orang kafir ialah Bikhtansar dan Namrud.

Adakah Iskandar Zulkarnain yang dikenali sebagai Alexander the Great adalah invidu yang disebut oleh Allah dalam al-quran (Zulqarnain)? Al Hafiz Ibnu Hajar menerangkan bahawa Iskandar (Alexander) ialah seorang Yunani musyrik, gurunya Aristotel manakala Zulqarnain ialah seorang arab muslim. Mereka ialah dua orang yang berlainan. والله أعلم

Kesimpulannya, Alexander bukanlah seorang nabi. Juga bukan Iskandar Zulkarnain yang disangka orang termaktub di dalam al-quran. Zulqarnain (tanpa Iskandar) yang diceritakan Tuhan dalam ql-quran juga bukan seorang nabi maupun rasul.

0 comments:

Post a Comment