"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Thursday, January 17, 2013

Benarkah Alexander Seorang Nabi?




Untuk menjawab soalan di atas saya ingin membuat sedikit andaian dan agakan untuk memahami soalan terlebih dahulu. Mudah-mudahan andaian saya adalah betul. Saya merasakan bahawa yang bertanya itu merujuk kepada individu yang disebut di dalam al-quran iaitu Zulqarnain atau lebih dikenali umum sebagai Iskandar Zulkarnain. Jika inilah yang dimaksudkan oleh penanya maka dia bertanya benarkah Iskandar Zulkarnain seorang nabi?

Alexander, dalam bahasa Arab yang juga diguna pakai oleh Melayu ialah Iskandar. Jadi Alexander Zulqarnain ialah Iskandar Zulqarnain. Di dalam al-quran, kisah Zulqarnain disebut dalam surah al-kahfi ayat 83 hingga 98. Mafhum al-quran surah al-kahfi ayat 83,84:

“ Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya.  Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.”

Dalam al-quran tidak ada perkataan Iskandar. Cerita bagaimana perkataan Iskandar disandarkan kepada Zulqarnain telah menjadi perbincangan hebat dan khilaf yang nampaknya tidak pandai selesai. Mungkin ini salah satu mukjizat al-quran yang mana para pengkajinya tidak pernah merasa cukup.

Dalam ruangan ini cukuplah jika saya merujuk kepada Zulkarnain yang terdapat di dalam al- quran. Ibnu Hajar menyatakan bahawa ulama khilaf tentang Zulqarnain, ada yang menyatakan bahawa dia seorang nabi. Ada juga pendapat menyatakan bahawa dia salah satu daripada malaikat. Pendapat yang paling sahih ialah Zulqarnain bukan nabi dan bukan malaikat.

Zulqarnain ialah salah seorang raja yang adil lagi saleh. Baginda menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk alam dan menentang kekufuran. Mujahid, salah seorang ulama tafsir menyatakan bahawa raja (pemerintah) bumi ini ada empat, dua mukmin dan dua kafir. Dua oarng mukmin ialah Nabi Sulaiman dan Zulqarnaian manakala dua orang kafir ialah Bikhtansar dan Namrud.

Adakah Iskandar Zulkarnain yang dikenali sebagai Alexander the Great adalah invidu yang disebut oleh Allah dalam al-quran (Zulqarnain)? Al Hafiz Ibnu Hajar menerangkan bahawa Iskandar (Alexander) ialah seorang Yunani musyrik, gurunya Aristotel manakala Zulqarnain ialah seorang arab muslim. Mereka ialah dua orang yang berlainan. والله أعلم

Kesimpulannya, Alexander bukanlah seorang nabi. Juga bukan Iskandar Zulkarnain yang disangka orang termaktub di dalam al-quran. Zulqarnain (tanpa Iskandar) yang diceritakan Tuhan dalam ql-quran juga bukan seorang nabi maupun rasul.

Friday, January 4, 2013

Penyakit al-Wahn



عن ثوبان قال
قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: "يوشك الأمم أن تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها" فقال قائل: ومن قِلّةٍ نحن يومئذٍ؟ قال: "بل أنتم يومئذٍ كثيرٌ، ولكنكم غثاءٌ كغثاء السيل، ولينزعنَّ اللّه من صدور عدوكم المهابة منكم، وليقذفنَّ اللّه في قلوبكم الوهن" فقال قائل: يارسول اللّه، وما الوهن؟ قال: حبُّ الدنيا وكراهية الموت

Daripada Thauban Rasulullah bersabda, “Hampir-hampir orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu makanan di dalam talam.” Seseorang berkata, “Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu?” Baginda bersabda, “Bahkan kalian waktu itu banyak sekali, tetapi kalian seperti buih di atas air bah. Dan ALLAH mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta mencampakkan ke dalam hatimu penyakit wahn.” Maka seseorang bertanya, “Apakah wahn itu?” Baginda menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.”

Cinta dunia dan takut mati. Penyakit yang sememangnya telah menjadi kronik dalam kalangan umat Islam sekarang. Penyakit ini tiada dalam pengajian ilmu doktor samada lama maupun moden. Penyakit ini disebut oleh baginda nabi s.a.w lebih 14 kurun yang lalu. Kerananya umat Islam sekarang berada dalam kondisi yang amat lemah.

Jumlah umat Islam di seluruh dunia sekarang ialah 1.57 bilion dengan nisbah satu orang Islam bagi setiap empat penduduk dunia. Satu jumlah yang amat banyak berbanding agama lain. Umat Islam yang berada sekitar Negara haram Yahudi pun amat banyak jika dinisbahkan dengan Yahudi tapi apa yang berlaku?

Apa yang dikesali ialah walaupun kita boleh di anggap menang dari segi kuantiti tetapi  kalah dari segi kualiti. Umum menyedari bahawa umat Islam di kebanyakan negara berada dalam situasi yang tidak boleh di banggakan. Lihat sahaja krisis yang melanda di kebanyakan negara umat Islam.

Sebagai contoh, Negara-negara Islam Arab mengelilingi Israel di segenap penjuru tapi Israel yang bilangannya sedikit dapat berdiri dengan sombongnya. Dikatakan kalaulah setiap orang Islam di Negara Arab bersatu membaling batu ke arah Israel secara serentak nescaya Israel akan tenggelam.

Realitinya umat Islam tidak saling bantu membantu bahkan bertelingkah antara satu sama lain. Salah satu daripada puncanya ialah kerana penyakit al-wahn. Kerana cintakan dunia maka tamak haloba menguasai umat. Kerana bencikan kematian maka manusia lupa ibadat. Hati mereka hanya untuk hidup senang di dunia walaupun hakikatnya tidak sedemikian.

Maka kita tidak boleh bangga dengan ramainya bilangan kita. Kita mahu manusia seperti sahabat dalam Badar. Walaupun bilangan mereka kecil tetapi dapat mengalahkan musuh yang banyak. Mereka adalah manusia yang cintakan akhirat dan mencari syahid di medan jihad.

Apa sebab umat Islam sekarang diperkotak katikkan oleh musuh Islam? Mengapa umat Islam tidak menang? Mengapa kualiti dan jati diri umat Islam terhakis? Hadis di atas menerangkannya. Kita diserang penyakit al-wahn – cinta dunia dan takut mati.

Thursday, January 3, 2013

Hafizah Mendaftar di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah




Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah (MTSTM) ialah salah sebuah sekolah kawalan di bawah pengurusan dan pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK). Syarat minimun untuk memasuki sekolah ini ialah mesti mendapat 5A dalam UPSR serta lulus ujian dan temuduga. Alhamdulillah, Hafizah berjaya mendapat tawaran ke  tingkatan satu sekolah tersebut untuk sesi  persekolahan Januari 2013. 
                                              Menunggu penerbangan ke Kota Bharu dari LCCT




Pada 30 Disember 2012, sejurus selepas mengajar subjek Falsafah Islam kepada pelajar Diploma Eksekutif, kelolaan UUM, saya dan keluarga terus ke Kota Kinabalu. Sekali lagi saya pulang ke Semenanjung, bertujuan menguruskan pedaftaran Hafizah di MTSTM. Isteri dan anak-anak yang lain duduk di rumah adik ipar di Kota Kinabalu.





                                                                daftar masuk bilik 312


Saya mendfatarkan Hafizah pada 31.12.2012, satu hari lewat daripada tarikh asal. Alhamdulillah, urusan pendaftaran berjalan lancar walaupun hujan turun dengan lebat sehingga kawasan sekolah dinaiki air. Hafizah ditempatkan di tingkatan satu Al-Kindi dan asrama bilik 312 bersama 3 rakan tingkatan satu dan 2 kakak tingkatan 4.

                                                           kawasan sekolah yang dinaiki air


Saya berdoa agar Hafizah menjadi hafizah al-quran suatu hari nanti. Mempunyai anak yang soleh dan solihah sememangnya menjadi idaman setiap ibu bapa mukmin. Ibu bapa yang mana anak mereka yang hafaz quran akan dipakaikan mahkota pada hari akhirat kelak.

Jadinya, kepada para ibu bapa yang mahukan kemuliaan pada hari akhirat maka pastikan anak anda menjadi salah seorang penghafal quran. Kepada anak-anak yang mahu membalas jasa kedua ibu bapa, antara jalannya ialah dengan menghafal al-quran.