"SEBARKANLAH SALAM DI ANTARA KALIAN"

Thursday, January 26, 2012

Fitnah Harta dan Wanita

Harta dan wanita adalah dua bentuk kenikmatan yang diinginkan boleh insan bergelar lelaki. Adalah menjadi naluri manusia hidup mencari harta. Lelaki berharta sering menjdi idaman wanita. Ramai wanita mencari teman hidup mereka dengan menjadikan harta sebagai ukuran kebahagiaan.

Harta juga dianggap sebagai sumber kuasa. Dengan harta manusia mendapat kuasa manakala kuasa pula manusia boleh mengaut harta. Dengan harta inilah mereka menikmati kelazatan makan minum, seks, keseronokan, tempat tinggal yang indah dan sebagainya.

Sebenarnya harta bukanlah suatu benda yang seratus peratus membawa kepada bahagia. Ungkapan harta membawa bahagia adalah bukan mutlak benar. Harta sering menjadi punca sengketa antara adik beradik dan sanak saudara. Ramai orang merana kerananya. Harta punca perceraian suami isteri, pertelingkahan waris-waris, dan perpecahan adik beradik.

Kepada pencari harta, ingatlah hadis nabi SAW yang bermaksud:

Anak Adam berkata: Hartaku, hartaku, maka Allah berkata kepadanya: Wahai anak Adam apakah engkau memiliki dari hartamu kecuali apa yang telah engkau makan lalu habiskan, atau apa yang telah engkau pakai lalu menjadi lusuh dan apa yang telah engkau sedekahkan lalu diberikan balasan dengannya.

Fitnah wanita tidak kurang juga. Kata nabi SAW yang bermaksud:

Dunia ini memang indah menawan. Allah jadikan kamu Khalifah di atas muka bumi ini. Oleh itu hendaklah kalian bersikap waspada terhadap tarikan dunia dan wanita. Kerana bencana yang mula-mula menimpa Bani Israil adalah datangnya dari kaum wanita.

Allah berfirman yang bermaksud:

Ketahuilah bahawa harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah dan bahawa di sisi Allah tersedia ganjaran yang amat besar. (Al-Anfal: 28).

Allah mengingatkan lagi dengan firman-Nya yang bermaksud:

Barangsiapa yang berkehendakkan hidup dunia dan perhiasannya maka kami akan berikan hasil jerih payah mereka dan mereka tidak sedikitpun dianiaya. Akan tetapi orang-orang tersebut tidak ada apa-apa habuan untuk mereka di akhirat kelak kecuali api neraka. Pahala amalannya gugur dan sia-sialah apa yang mereka lakukan. (Hud:15-16).

Mafhum hadis nabi SAW:

Apabila umatku mengagung-agungkan dunia, nescaya akan direnggut daripada mereka kehebatan Islam. Jika mereka meninggalkan kewajipan amar ma’ruf dan nahi munkar nescaya mereka akan diharamkan daripada mendapat berkat wahyu. Apabila mereka saling mencaci antara satu sama lain, maka jatuhlah martabat mereka di sisi Allah.

Justeru, saya berpesan kepada diri saya dan anda semua agar berhati-hati dengan dua ta (harta dan wanita). Kepada wanita, peranan anda dalam dakwah amat besar. Lelaki dan juga wanita sebenarnya bantu membantu dalam usaha agama.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian mereka (adalah) menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(at taubah:71).”

0 comments:

Post a Comment